Wednesday, 26 September 2012

BAB 5: Bidadari Salju


BAB 5

Cikgu Atilia tidak dapat mengajar kerana menghadiri mesyuarat di Pejabat Pelajaran Daerah Padang Terap/Pendang. Kayra mengambil masa yang terluang ini untuk menyiapkan kerja sekolahnya kerana petang ini dia harus membantu ayahnya mengutip getah sekerap untuk dijual.

"Kau ni rajinnya siapkan kerja sekolah. Relaks lah, jom kita sembang-sembang!"Ajak Diana tatkala melihat Kayra yang begitu khusyuk menyiapkan kerja sekolahnya.

"Aku kena siapkan kerja sekolah ni sebab petang ni aku kena tolong ayah aku kutip sekerap. Nanti kalau aku jumpa ulat beluncas yang berwarna hijau tu, aku bawakan untuk kau ya?" Kayra cuba mengusik Diana yang sememangnya fobia dengan ulat bulu.

"Eeee, geli bulu tengkuk aku ni. Janganlah sebut Kayra." Sampuk Diana. Kayra ketawa kecil. Lucu melihat tubuh Diana yang mengeliat kerana kegelian itu.

"Errr, sebenarnya Kayra, aku ada hal penting nak cakapkan pada kau ni. Tapi aku harap kau tabah mendengarnya. Cuma aku nak kau tahu, yang aku akan sentiasa mempercayai kau dan aku akan berada disisi kau selalu walau apa pun yang terjadi. Begitu juga dengan Naufal, dia yang membantu aku menyiasat fasal gambar yang Marisa cakapkan hari tu." Ujar Diana dengan suara yang bergetar. Dia menarik nafas dalam-dalam. Berat hati untuk memberitahu Kayra tentang perkara ini.

Dada Kayra mula berdebar-debar. Rasanya dia bakal dikejutkan dengan berita buruk. Berkali-kali dia menelan air liurnya.

Diana mengeluarkan sekeping foto dari begnya lalu dihulurkan kepada Kayra. Bulat mata Kayra melihat gambar itu. Gambar seorang perempuan separuh bogel namun, wajahnya digelapkan dengan dakwat hitam. Bagai tersentap jantung Kayra membaca coretan di bawah gambar itu.




Ingin mendapatkan perkhidmatan seks dari saya? Pastinya layanan yang istimewa. Harga boleh runding janji sama-sama seronok. Hubungi saya Kayra binti Ilias 019- ********* untuk melanggan. Lokasi tak kisah, dalam semak pun boleh.






Kayra menekup mulutnya kerana terlalu terkejut. Kepalanya bagaikan ditimpa batu batan. Berdentam dentum bunyinya. Menggigil tubuhnya menahan kepedihan yang teramat. Jantungnya bagai direntap kasar. Berkali-kali dia beristighfar dalam hati dengan mata yang diceliknya luas-luas. Astafirallahalazim!!!!!!

Empangan matanya mula pecah. Dia tidak mampu menahan tangisnya lagi. Siapa yang begitu tega menzaliminya dengan fitnah yang begitu dahsyat ini?

"Kayra. Sabarlah. Aku tahu kau terkejut. Sebenarnya, gambar ni dah tersebar di seluruh sekolah dan sekarang ni dah sampai ke kampung kita! Naufal kata, Hariz dalang dalam hal ni. Aku betul-betul tak sangka sejauh ini tindakannya terhadap kau! Keterlaluan sangat!" Diana begitu bersimpati dengan nasib Kayra sekarang. Kasihannya Kayra. Esakan tangisan sahabatnya ini benar-benar mengundang rasa hiba dihatinya. Diana terus memeluk Kayra demi untuk menenangkannya.

Kayra rasa masa depannya sudah musnah. Dia benar-benar tidak menyangka lelaki ini sanggup mengambil tindakan begini demi untuk membalas dendam padanya gara-gara Diana melaporkan pada Cikgu Amran mengenai buku yang telah dicurinya itu. Patutlah ramai yang memandang sinis dan memanggilnya bohsia. Dia semakin popular dengan gelaran jijik itu. Dia dianggap gadis yang sudah rosak akhlaknya.

Tiba-tiba muncul seorang pengawas sekolah di pintu kelas mereka. Pengawas tersebut meminta Kayra berjumpa dengan guru disiplin sekarang. Kayra terpana seketika. Jantungnya mula berdebar. Malapetaka apakah lagi yang bakal mengundang?




 

Sampai di depan pintu bilik guru disiplin dengan lafaz Bismillah, Kayra mengetuknya. Kedengaran suara cikgu Shuhaimi memanggilnya masuk. Kayra menelan air liurnya. Dadanya seakan mahu pecah kerana terlalu berdebar dan takut.

Perlahan-lahan dia masuk. Kayra tergamam melihat Hariz berada di situ. Apa lagi yang telah direncanakan oleh lelaki ini? Ya Allah, tolonglah hamba Mu yang lemah ini. Kayra cuba meredakan perasaannya yang mula berbaur resah. Bagaikan nak terputus nafasnya.

"Kamu tahu kenapa saya panggil kamu ke sini?" Kayra mengelengkan kepalanya. Kelihatan Cikgu Shuhaimi sedang memegang misainya yang melenting itu. Menyerlahkan lagi kebengisannya.

"Hariz memberitahu saya, yang kamu ada menulis surat cinta padanya dan kamu sering menganggunya dengan pangilan-panggilan lucah di tengah-tengah malam!" Kayra tergamam mendengarnya. Surat? Panggilan lucah? Ya Allah apa semua ni?

"Surat? Surat apa ni cikgu? Saya tak faham...." Kata Kayra dengan penuh ketakutan dan debaran. Kelihatan cikgu Shuhaimi mengambil sekeping kertas lalu menghulurkan kepada Kayra.

Bergetar tangan Kayra menyambutnya. Dia menatap surat itu dan membaca isinya.





Assalamualaikum,

Kehadapan Hariz yang amat diminati dan dicintai, Kayra harap Hariz sihat dan gembira selalu. Hariz, sudah lama Kayra menyimpan perasaan cinta ini. Sudah tidak tertanggung rasanya. Makan tak lalu, tidur pun tak lena. Kayra tidak dapat melupakan Hariz walaupun sesaat dan sering merindui Hariz dalam lena serta didalam jaga.

Tolonglah Hariz terima cinta Kayra, Kayra sanggup melakukan apa sahaja demi Hariz malah Kayra sanggup meyerahkan diri Kayra sebagai bukti cinta Kayra pada Hariz. Percayalah, kalau Hariz menolak cinta Kayra, Kayra tak sanggup menerimanya. Rasa diri ini tidak berguna lagi dan tolonglah jangan mengecewakan Kayra.

Kayra janji Kayra akan membahagiakan Hariz selama-lamanya. Kalau Hariz terima Kayra, Kayra sedia memperhambakan diri demi untuk menikmati cinta darimu sayang. Please jangan hampakan Kayra. I love you like crazy.

Yang Ikhlas,

Kayra binti Ilias.






Kayra menekup mulutnya sambil mengelengkan kepalanya. Tidak menyangka lelaki ini tergamak menambahkan lagi kesengsaraannya. Air matanya terus merembes tanpa henti.

"Cikgu. Bukan saya yang tulis surat ni cikgu, percayalah!" Kayra cuba menegakkan kebenarannya. Dia mahu mencuba kerana dia tidak bersalah. Hariz tersenyum puas. Berhasil lagi rancangannya untuk mengenakan si buruk ni. Menyusahkan dan menyemakkan hidup orang ja. Silap banyak kau cuba nak cari fasal dengan aku dan dengan awek aku. Bodoh betul! Lebih baik kau mampus lagi baik! Maki Hariz dalam hatinya. Benci tahap tak ingat rasanya.

"Saya tak akan tuduh kamu tanpa sebarang bukti Kayra. Ini buku latihan kamu, tulisan ini mirip dengan tulisan kamu. Kamu jangan cuba nak menafikannya lagi." Tengking Cikgu Shuhaimi dengan begitu kuatnya. Dia nampak begitu marah. Terhenjut bahu Kayra kerana ditengking begitu.

"Cikgu, memang tulisan ni mirip tulisan saya tapi saya tak tulis surat ni, percayalah!" Beritahu Kayra dengan suara yang begitu lirih. Hariz mula resah dengan alasan Kayra itu. Bimbang kalau-kalau Cikgu Shuhaimi mula mempercayai Kayra lalu dia segera mencucuk jarumnya.

"Jadi, awak nak tuduh yang saya ni bohong lah? Cikgu, saya mengadu kepada cikgu ni kerana saya betul-betul tak tahan diganggu oleh dia cikgu. Dah banyak kali dia hantar surat pada saya cikgu, dan dia selalu kerap menelefon saya sehingga menganggu tumpuan saya nak belajar! Dah berkali-kali saya tolak cinta dia cikgu, tapi dia tak faham bahasa juga. Dia memang dah gila cikgu, dia ajak saya buat benda tak senonoh! Dia ingat perempuan murah macam dia tu saya terliur sangat? Memang muka tak tahu malu!" Celah Hariz dengan lakonan yang cukup berjaya. Kalah aktor Shah Rukh Khan. Boleh dapat anugerah pelakon lelaki terbaik kalau dicalonkan.

"Astafirallahalazim! Apa ni Hariz? Jangan cuba nak fitnah saya. Bila masa saya tulis surat pada awak, bila masa saya menelefon awak? Nombor telefon awak pun saya tak tahu."Celah Kayra pula dengan tangisan yang sukar dibendung lagi. Cikgu Shuhaimi mula naik angin melihat dua pelajar saling salah menyalahi.

"Sudah! Saya panggil kamu ke sini bukan nak dengar kamu saling tuduh menuduh. Kayra binti Ilias, dah berapa kali saya beritahu dalam perhimpunan, jangan campur adukkan cinta dengan pelajaran! Jangan cuba nak mengatal di sekolah, ini bukan tempat nak cari jodoh! Apa nak jadi dengan kamu ni? Kamu sedarlah siapa diri kamu, kalau orang dah tak sudi tak payahlah terhengeh-hengeh lagi. Kamu ni tak ada rasa malu ke?" Cikgu Shuhaimi meninggikan suara.

Hariz tersenyum puas. Jarumnya sudah mengena hasil dari lakonannya yang mantap.

"Tapi, cikgu....."Kayra cuba lagi pantas dicelah oleh Cikgu Shuhaimi.

"Saya betul-betul tak sangka, ada pelajar sekolah ini yang berkelakuan buruk seperti kamu. Sepatutnya kamu menjaga maruah awak Kayra, dengan rupa tak seberapa apalagi yang kamu ada? Kamu tak kasihankan mak ayah kamu ke? Kamu tu orang susah, Jangan kerana Hariz menolak cinta kamu, kerana kecewa kamu sanggup menjual maruah kamu. Saya tahu, kamu sebarkan gambar bogel kamu untuk melacurkan diri kamu kan? Sebelum keadaan menjadi buruk dan ramai pelajar terpengaruh dengan perangai kamu, sebelum perut kamu berisi, saya harus mengambil tindakan pada kamu. Ini amaran terakhir. Kalau kamu masih mengulangi kesilapan kamu, saya tak teragak nak gantung sekolah ataupun buang kamu dari sekolah ni. Saya akan rotan kamu sebanyak 10 kali di tangan. Saya tak mahu perkara begini berulang. Kamu akan menghadiri sesi kaunseling selepas ini! Faham?" Jerkah Cikgu Shuhaimi dengan tegas.

"Cikgu, saya tak bersalah. Kenapa cikgu begitu mudah menghukum atas kesalahan yang tidak saya lakukan? Saya tak bersalah cikgu, saya difitnah! Kalau diperhatikan betul-betul tulisan ni dengan tulisan saya, ada banyak perbezaannya, huruf 'a' ni tak sama dengan 'a' saya cikgu. Surat ni, bukan saya yang tulis. Pasal gambar tu pun saya tak tahu menahu. Saya ni nak makan pun tak ada duit, bagaimana saya boleh ada duit nak cuci gambar ni banyak-banyak dan sebarkan pada semua orang? Hariz, kenapa awak buat saya macam ni? Apa salah saya pada awak? Tolonglah ceritakan hal sebenar pada cikgu. Saya merayu pada awak...."Air mata yang sudah lencun di pipi Kayra tidak mampu mengundang rasa simpati di hati Hariz. Hariz berdengus, perempuan ni memang tak guna betul. Bikin rosak rancangan aku! Memang nak kena lagi dengan aku. Aku paling pantang dengan orang yang cuba mengajar aku! Dia ingat dia siapa? Orang gaji aku, lagi tinggi tarafnya dari si buruk ni.

"Kayra, mengaku sajalah. Awak memanglah tak ada duit nak cuci gambar ni, tapi bapak ayam awakkan banyak duit? Jangan kerana saya tolak cinta awak, awak gadaikan maruah awak. Saya datang sekolah nak belajar, bukan nak bercinta. Tolong jangan ganggu saya lagi. Saya laporkan pada cikgu kerana saya dah tak tahan diganggu oleh awak. Cikgu, kalau begini jadinya lebih baik saya pindah sekolah lain, saya betul-betul tertekan cikgu!" Hariz menjayakan watak kaki kelentongnya sekali lagi. Cikgu Shuhaimi mula tertekan. Keliru dengan keputusannya.

"Sudah!" Jerkah Cikgu Shuhaimi dengan kuat. Kali pertama dia keliru dalam membuat keputusannya. Hatinya tersentuh dengan tangisan Kayra dan dia dapat melihat ada kejujuran dari mata itu. Tetapi, sukar untuk menyangkal aduan Hariz ini. Mungkin Kayra juga hanya berlakon kerana inginkan simpati dan lepas dari hukuman.

"Kayra!" Panggil Cikgu Shuhaimi dengan tegas sebelum menyambung. "Baik awak mengaku sebelum saya panggil ke dua ibu bapa awak ke sekolah? Awak ni benar-benar dah melampau! Saya dah dengar banyak rungutan dari cikgu tentang sikap pemalas kamu. Tak bawa buku ke sekolah lah, suka conteng bukulah! Ni buku latihan yang saya ambil ni, awak contengkan 'I love Hariz', awak boleh nak nafikan lagi?" Kayra tersentak dengan tuduhan terbaru itu. Buku latihan perdagangan itu sudah dua hari hilang. Dia sudah mengagak Hariz telah mencurinya. Kalau tidak masakan lelaki itu boleh meniru tulisannya.

Segala masalahnya ini bukan datang dari dia, tetapi Hariz. Lelaki yang begitu licik mengatur segala rancangan untuk menjatuhkan dan mengenakannya.

"Baiklah. Kalau cikgu anggap saya bersalah, saya tak berdaya lagi nak membantah. Cikgu boleh hukum saya apa saja, dan cikgu boleh panggil ibu bapa saya ke sekolah tapi saya tak akan mengaku kesalahan yang saya tak buat cikgu. Adil ialah menimbang sama berat, menyalahkan yang salah, membenarkan yang benar, mengembalikan hak yang empunya dan jangan berlaku zalim. Buku latihan saya tu sudah dua hari hilang, entah siapa pencurinya. Tak apalah, saya sedar siapa diri saya cikgu. Hodoh, buruk, selekeh dan miskin. Tak perlu cikgu nak ingatkan saya. Baiklah saya sedia dihukum kalau itu yang cikgu mahu!" Begitu lirih dan sendu suara itu benar-benar membuatkan Cikgu Shuhaimi serba salah dan keliru.

Namun, melihat Kayra mula menghulurkan tangannya untuk dirotan membuatkan Cikgu Shuhaimi menjalankan hukuman itu. Tetapi hanya tiga kali, rotan itu singgah di tangan Kayra. Simpati dan rasa bersalahnya begitu menggunung. Entah kenapa? Dia dapat merasakan yang Kayra tidak bersalah.

Kayra tidak merasakan sakit akibat dirotan. Tiba-tiba cikgu Shuhaimi berhenti.

"Kamu boleh keluar sekarang!" Pinta Cikgu Shuhaimi dengan tegas. Kayra tergamam melihatnya, namun segera keluar. Tertanya-tanya kenapa cikgu Shuhaimi tidak merotannya sebanyak 10 kali seperti yang dikatakan. Walaupun hanya tiga kali, namun begitu perlahan dan langsung tidak mendatangkan kesakitan.


(Ingin tahu perjalanan seterusnya, dapatkan Bidadari Salju di pasaran sekarang)



 

 

 

 

 

 

 






 

2 comments:

Liza said...

Tengah baca buku ni sekarang... Memang sgt best!

Anonymous said...

salam,kak mia kiff asal org Kedah ker?