Wednesday 26 September 2012

BAB 2: Bidadari Salju

BAB 2

Kayra membuka kunci rumahnya. Rupa-rupanya ayahnya, Ilias masih belum tidur lagi. Sibuk mengasah pisau menorehnya.

"Hmm... lewat balik malam ni? Siapa yang hantar tadi? Kak Pah mana?" soal Ilias yang sentiasa mengambil berat akan anak perempuan tunggalnya ini.

Risau juga kerana Kayra pulang agak lewat malam begini, dihantar oleh lelaki pula. Sebagai ayah, dia rasa tidak sedap hati.

"Err... Kayra balik dengan Abang Pian, ayah. Yang meniaga kat gerai sebelah. Kak Pah pun balik sekali juga, tapi Abang Pian hantar Kak Pah dulu. Kereta Kak Pah rosak. Puas jugalah dia start enjin, tapi tak mahu juga hidup. Ayah, ni ada sikit duit. Ayah buatlah belanja. Malam ni, Kayra dapat upah lebih sikit sebab pelanggan ramai."
Kayra menghulurkan wang RM 20 kepada ayahnya. Upah selebihnya akan diberikan kepada emaknya.

Tersentuh hati Ilias di kala itu. Dia memang sudah kehabisan duit. Minyak motor, beras dan barang-barang dapur perlu dibeli untuk kelangsungan hidup.
Lusa, barulah dia punya wang kerana sekerap sudah boleh dikutip. Begitulah nasib seorang penoreh getah sepertinya. Apabila hujan turun, hasil torehannya tidak dapat membeku kerana bekas takungan susu getah dipenuhi air hujan.

"Hmm... Pergilah tidur, dah lewat ni. Kayra mesti penat." Ilias mengambil wang itu dengan penuh syukur, namun untuk mengucapkan terima kasih pada anaknya itu dirasakan sukar sekali. Biasalah lelaki, ego.
"Ayah bila nak tidur? Dah lewat ni, subuh esok kan nak pergi menoreh. Kayra masuk dulu ya... Assalamualaikum, ayah!" ucap Kayra sambil menyalami tangan ayahnya dan masuk.
Ilias memerhatikan anaknya itu sehingga hilang ke dalam bilik. Setitis air mata seorang ayah gugur jua mengenangkan betapa tulusnya hati seorang anak.

Kayra menatap wajahnya pada cermin. Ternganga mulutnya. Kalau lama lagi, alamatnya lalat akan masuk. ‘Hah, terkejut beruk! Iya ke ni muka aku?
Apasal teruk sangat? Salah cermin ke atau memang muka aku yang dah serupa jalan tak siap ni? Cermin cap ayam 50 sen ni boleh percaya ke?’
Kayra membesarkan lubang hidungnya yang dah serupa telaga buruk itu lalu memasukkan jari kelengkengnya. Niat hati nak pecahkan jerawat yang sedang ranum itu. Berjaya! Pergh, sakit gila!
Mariam, emak Kayra menggeleng-geleng melihat keletah anaknya itu. Kesian pula, tentu Kayra sedih melihat jerawat pada mukanya yang kian teruk itu.
"Jangan dipicit jerawat tu! Nanti tinggal parut, susah nak hilang..." tegur Mariam lalu menampar paha anak perempuannya itu. Kayra mengaduh lalu mengurut pahanya itu. Dia menarik muka masam. Sakit hati melihat kulit mukanya yang bertambah kritikal, membuatkan wajahnya yang sudah tidak berapa cantik itu bertambah jelik.

Kesan sunburn pada mukanya juga sangat jelas kelihatan gara-gara berjemur di tengah panas semasa berkawad di sekolah. Hitam macam lempeng hangit. Kalau dia tidak bertudung, mukanya seperti
memakai topeng.
"Habis tu nak buat macam mana lagi mak, takkan nak tunggu ada hasil kot dari penternakan jerawat Kayra ni! Geramlah tengok, menyampah!
Dahlah muka Kayra ni dah buruk, kawan-kawan sekolah asyik ketawakan Kayra je mak! Macam mana nak hilangkan jerawat batu-batan ni! Tolonglah mak!" Bibir Kayra mengomel lagi.
Di sekolah, Kayra digelar jelmaan hantu langsuirlah, pontianaklah. Dia sering dipermain dan diketawakan terutama sekali pelajar lelaki.
Semuanya memandang hina dan jijik padanya seolah-olah muka dia tu buruk sangat. Ada ke patut disamakan dengan hantu?
"Tak baik Kayra mengeluh macam ni. Kita harus bersyukur dengan apa yang kita ada. Kan mak dah cakap, paras rupa tak penting. Yang penting sekali, budi bahasa dan hati kita sentiasa bersih. Pedulikan apa orang nak cakap. Itu semua dugaan Allah. Kayra kena tabah, Allah sedang
menguji Kayra kerana dia ingin memberikan sesuatu kepada Kayra. Bersabarlah..." Elusan lembut jari-jemari Mariam melembutkan hati Kayra yang sedang menggelegak panas itu.
"Kayra bukan tak bersyukur mak. Masalahnya, Kayra tak ganggu hidup orang. Apasal yang dia orang asyik cari pasal je dengan Kayra? Mentang-mentang kita ni miskin, orang asyik pandang hina je. Kayra rasa Kayra tak nak sekolah la mak. Kayra nak berhenti. Lagipun, Kayra nak bantu ayah. Kesian ayah mak, hasil menoreh kena bahagikan kepada tiga kepala. Berapa aje yang ayah dapat mak. Tak patutlah ketua kampung kita buat macam tu. Mentang-mentang kita ni miskin, tak ada harta, suka hati dia jer nak aniaya kita..." luah Kayra dengan penuh sebak.

‘Beginilah nasib diriku yang malang, oh Tuhan. Tak dapat bersenang-lenang. Amboi, menyanyi pula aku!’ Mariam sedar, hidup mereka memang susah sekarang. Setiap malam, Mariam tidak dapat lena kerana memikirkan masalah wang. Mujurlah Kayra selalu memberikan duit upahnya membantu Pak
Ali dan Kak Pah berniaga.  Mariam dan suaminya sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk anak-anaknya. Tapi, mereka tidak mampu dari segi kewangan. Makan mereka bercatu, pakaian pun tidak pernah berganti.
Setiap kali hari raya, Kayra pasti memakai pakaian yang disedekahkan orang kepadanya. Kayra memang seorang anak yang baik, solehah dan rajin. Menitis air matanya kerana memiliki anak yang begitu tulus hatinya ini.
"Sabarlah sayang. Hidup kita memang tengah susah sekarang. Apa pun, kita harus bersyukur dengan
rezeki yang Allah beri. Mak tak kan benarkan Kayra berhenti sekolah. Susah macam mana sekalipun, Kayra kena habiskan juga pelajaran Kayra. Ayah tengah usahakan untuk bayar yuran sekolah Kayra."
Kayra terkedu mendengar nasihat emaknya. Dia langsung tidak bersemangat ke sekolah kerana sering dibuli, dihina dan dipermainkan rakan-rakan sekolah gara-gara kemiskinan dan kekurangannya.
"Kayra tak bersemangatlah mak nak ke sekolah. Lagipun, kasihan ayah hari-hari kena ambil Kayra kat sekolah. Bas pun tak masuk jalan kampung kita ni. Motor ayah pun asyik rosak aje mak. Dah berapa kali Kayra balik jalan kaki. Kalau tak ke sekolah, bolehlah Kayra kerja lebih masa, dapat pendapatan lebih sikit." Kayra mengharapkan persetujuan dari emaknya. Dia tahu dia bukannya pandai sangat pun. Kategori sederhana sahaja.
"Kayra, dengar cakap mak. Hanya dengan ilmu saja akan mengangkat martabat kita ke tempat yang tinggi. Mak nak Kayra tak payah fikirkan tentang kerja lagi. Kayra kena belajar rajin-rajin sampai masuk universiti. Tak kan Kayra tak nak ubah nasib keluarga kita, tak nak jadi contoh pada adik?
Sampai bila kita nak hidup susah macam ni kalau kita sendiri tak nak berusaha untuk berubah? Kita takada harta benda Kayra, tapi ilmu tu boleh menjadi harta yang akan menjaga Kayra sampai bila-bila." Kayra menghela nafas panjang. Memikirkan kata-kata emaknya itu.
‘Betul juga, kalau aku
berhenti sekolah macam mana aku nak ubah nasib keluarga aku? Mana ada orang jadi kuli di gerai makan boleh hidup senang-lenang? Nak kerja kilang? Ke nak tunggu orang kaya masuk meminang?’
Diam-diam Kayra memasang tekad. Dia harus kebal dan tidak melatah dek cacian dan makian orang. Kayra harus menguatkan semangat dan belajar rajin-rajin. Berhenti menangis!
 
"Baiklah mak. Kayra akan belajar rajin- rajin dan tunjukkan contoh yang terbaik pada adik. Kayra pun malas nak fikirkan hinaan dan kata-kata orang ni! Buang masa dan buang karan aje mak!"
"Ha, macam tu lah anak mak! Sayang dia!"
Satu ciuman hinggap ke pipi Kayra. Terasa diri disayangi. Kayra bersyukur walaupun keluarganya miskin harta benda, namun mereka mewah dengan kasih sayang. Ilias yang baru pulang turut sama tersenyum pada Kayra, kemudian merangkul bahunya dengan mesra.
Dari jauh, sepasang mata memerhati keluarga itu dengan pandangan yang tajam dan sinis. Penuh cemburu dan penuh kesakitan.
 

 

 


 

No comments: