Wednesday 26 September 2012

BAB 3: Bidadari Salju

BAB 2


 
Rutin setiap hari, ayah Kayra akan menghantarnya ke sekolah dengan motor honda C70 yang sudah berkarat-karat dan buruk itu. Bukan hinaan tapi kenyataan. Banyak mata yang memandang sinis dan ada yang ketawa melihatnya. Ayahnya yang berpakaian lengkap dengan gaya seorang penoreh getah dengan memakai kasut bot turut mengundang kelucuan. Mana ada penoreh getah yang pakai blazer? Eleh, macam lah diorang tu anak jutawan, entah-entah mak bapak diorang pun penoreh getah juga, cuma tak pernah hantar diorang ke sekolah.

Kayra bersalam dengan ayahnya lalu melangkah masuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Syed Ahmad. Tiba-tiba dia terdengar namanya dipanggil. Tidak lain tidak bukan budak perasan bagus si Hariz and the geng. Pelajar lelaki yang sering mencari fasal dengan Kayra. Entah apa salah dan dosa Kayra pada si Hariz ini. Suka menyakat dan membulinya.

"Kayra! Oi, pekak ke budak ni? Tunggulah...."Hariz menyaingi langkah Kayra yang kian laju. Lalu berjaya menapak di hadapan gadis itu untuk menghalangnya dari melangkah lagi. Kayra rasa geram dan merengus perlahan. Tahu sangat lah niat Si Hariz dan konco-konconya ini.

"Tepilah! Aku nak jalan ni!"Marah Kayra dengan suara yang perlahan. Hariz hanya tersengih-sengih macam kerang busuk. Kerang busuk lagi wangi lah dari mulut mamat poyo ni. Dasar mulut longkang!

"Amboi, dahlah muka buruk, telinga pekak, sombong pula tu! Cukup pakej beb nak buat awek ni! Hafizan, kau kata kau nak dengan budak ni! Ni Hafizan minat giler dengan kau! Dia minta nombor phone kau. Eh lupa pula, kau kan miskin mana ada telefon. Takpe bagi je nombor public phone yang terdekat!" Usik lelaki itu dengan sengihan. Kayra merengus perlahan. Bukan kenyataan pun tapi mainan kata dari Hariz. Penipu besar. Sengaja memprovokasikan suasana damai ini.

Hafizan berubah wajah, jatuh martabatnya dikaitkan dengan Kayra.

"Ufhh, gila kau Riz! Tolong sikit, apa class perempuan berkilat ni? Meraba aku nanti tak nampak. Tak larat aku nak muntah nanti tengok muka dia. Geli geleman aku. Orang gaji aku lagi cun lah.......Tak layak lah jadi awek aku. Buat malu jer!" Luah Hafizan apabila menjadi mangsa gosip murahan dari wartawan tak bertauliah, Hariz bin Azman. Mereka berlima ketawa berdekah-dekah. Entah apa yang melucukan sangat. Lawak bodoh yang tahapnya tak ingat!

Kayra mengetap bibir menahan geram. Tidak habis-habis merangka ayat nak menghina dan mempermainkan aku. "Dah habis kan? So boleh ke tepi?" Pinta Kayra dengan nada suara yang menekan. Geram sangat.

Hariz melebarkan tangannya. Menahan gadis itu dari terus pergi.

"Amboi, sombong kau yea? Kau ingat kau siapa? Apasal aku bau macam-macam kat kau ni? Ada bau getah sekerap, ada bau ikan.....! Busuknya.......ni manusia ke kambing gurun?" Hina Hariz lagi sambil hidungnya terjungkit sedang menghidu sesuatu. Kayra mengelengkan kepalanya. Sabarlah wahai hati. Kayra terus melangkah tetapi ditahan lagi.

"Tunggulah, aku ada hajat besar ni! Aku nak pinjam motor bapak kau lah. Canggih lah beb, berwarna emas! Silau satu pekan! Boleh lah aku nak pergi merempit malam ni...Sure menang beb! Orang dah sampai Alor Setar aku kat Kuala Nerang lagi! Hahahhahaha....." Hariz and konco-konconya mengetawakan Kayra lagi. Kayra melepas keluhan. Hinaan yang sudah lali didengarinya. Bukannya berwarna emas, tapi sudah berkarat-karat. Sajalah tu nak sindir-sindir aku!

Kayra memilih untuk berdiam dan buat muka selamba. Malas hendak melawan ataupun berbalas pantun. Lelaki-lelaki ini memang jiwanya kering. Tiada hati dan tiada perasaan. Bukannya peduli air muka Kayra. Dia malu ke, marah ke, geram ke, tak adanya mereka ambil tahu. Mereka lagi seronok menghinanya. Hari-hari idea si Hariz tidak pernah kering.

"Marah nampak. Hmm, lagi kau marah lagi bertambah cun lah. Dari hantu pontianak dah bertukar menjadi langsuir. Hi....hihii......." Hariz mengilai pula.

"Ya ampun, eeeee, kenapa dengan muka kau ni, berkudis-kudis. Geli geleman aku, macam-macam penyakit orang miskin ni!" Hariz sedikit nampak jijik memandang Kayra. Jarinya di tujukan ke muka Kayra.

"Ini jerawat lah, bukan kudis!"Balas Kayra menepis tuduhan itu. Jawapan itu mengundang ketawa lagi.

"Ye ke? Isk, isk, isk....kesiannya aku tengok kau ni. Dah lah muka hitam terbakar macam buntut kuali, penuh jerawat pula tu, pakaian kau ni selekeh! Dah bertahun agaknya umur baju kau ni, dah lusuh...singkat! Kasut kau ni dah koyak rabak. Miskin sangat ke bapak kau ni sampai kasut anak pun tak mampu beli! Kalau aku dah lama aku lari dari rumah pergi duduk kat rumah anak-anak yatim! Nasib diorang tu lebih baik dari nasib kau, tau tak? Tengoklah kau ni, hidup melarat! Teruk betul lah mak bapak kau ni, tak guna tau tak? Memang keturunan pemalas! Sebab tu hidup merempat..." Mereka ketawa lagi. Ketawa lah, ketawalah sepuas hati! Biar sampai terkeluar semua tahi gigi! Ada aku kisah? Telinga aku ni dah ada perisai pun. Tak rasa apa-apa dah. Dah kebal dengan hinaan dan cacian.

Kayra terus berlalu tanpa menghiraukan panggilan lelaki bernama Hariz itu. Pelajar tingkatan lima yang tidak habis-habis membuli dan mencari fasal dengannya.

Kayra menghayun kakinya dengan pantas terus masuk ke kelas nya iaitu kelas 4 perakaunan 1, lalu segera ke tempat duduknya. Selamat rasanya tatkala berada di dalam kelas.

Tanpa disedari dalam diam Hariz mengekorinya dari belakang. Tatkala melihat gadis itu berkira-kira untuk duduk, akal jahatnya datang. Hariz perlahan-lahan menarik kerusi Kayra.

Kayra melepaskan keluhan. Sedih kerana dia tidak habis dihina oleh Hariz. Cuba melabuhkan punggung ke kerusi, namun punggungnya terus jatuh ke lantai. Kedebuk! Aduh, bisanya......bagai nak berkecai tulang punggung.

Seisi kelas mengetawakannya termasuklah suspek utama Hariz. Dia dijadikan bahan ketawa mereka. Aku dah agak memang mamat ni punya angkara. Kayra benar-benar malu, merah padam mukanya. Agaknya kalau ditoreh mesti darah keluar membuak-buak kerana semuanya berkumpul di situ. Geramnya melihat Hariz yang sedang berpesta sakan ini. Rasa hendak mencekik leher lelaki ini sampai dia mampus.

Mata Kayra mula berkaca. Sedih diperlakukan sebegitu. Sabar Kayra, sabar. Kau kan orang beriman jadi kau mesti bersabar. Kau nak jadi penghuni syurga kan?

Kayra cuba bangun dengan penuh keperitan dan kepayahan. Sakit gila. Kemudian duduk atas kerusi, sempat lagi Hariz menjelirkan lidahnya yang persis biawak pasir itu padanya sebelum berlalu. Kayra hanya merenung tajam, tidak mampu lagi untuk marah dan membentak. Hanya matanya sahaja yang mula menerbitkan mutiara jernih.

"Hai Kayra...Good morning my lovely friends!" Tegur Diana sahabat baik Kayra. Cuma Diana yang sudi berkawan dengannya dan menyelami isi hatinya. Berkongsi suka dan duka dengannya.

"Hai...."Hambar suara Kayra, muram wajahnya.

"Hmm, ni tak lain tak bukan mesti Si Hariz and the geng tu cari pasal dengan kau kan? Dia buat apa lagi pagi-pagi buta ni?" Tanya Diana yang bersimpati dengan nasib rakannya ini.

"Entahlah Diana, aku pun tak tahu apa salah dan dosa aku pada dia! Pagi-pagi dah tunggu aku depan sekolah semata-mata nak hina dan ketawakan aku. Tak cukup dengan itu dia ikut aku sampai kelas, selamba je dia tarik kerusi masa aku nak duduk! Aku apalagi, jatuhlah. Rasa nak berkecai tulang pinggul aku ni. Satu kelas ketawakan aku bagai nak rak." Adu Kayra dengan suara yang lirih. Terasa keluar asap dari telinga Diana. Hidungnya kembang kuncup. Perasaan marah mula membara. Mendidih darahnya tiba-tiba. Kalau lah dia berada ditempat kejadian, dia akan humban kerusi itu ke kepala Hariz. Biar pecah kepala lelaki yang tidak berotak itu.

"Memang tak ada hati perut lah manusia macam tu! Dia ingat dia tu siapa? Perasan bagus! Muka macam tenuk bengkak, ada hati nak menghina orang!" Balas Diana dengan nada yang marah. Dia merengus seperti lembu gila nak mengamuk.

Kayra hanya tersenyum hambar. Punggungnya masih terasa sakit. Marah dan geram macam mana sekalipun pada Hariz, Kayra tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya berani memaki hamun lelaki itu dalam hati saja.

"Dahlah tu, patutnya aku yang harus marah. Relakslah, aku okey lah. Aku masih boleh sabar lagi........" Pujuk Kayra sambil mengelus lengan rakannya itu. Cuba untuk meredakan ketegangan yang jelas di wajah Diana.

"Kau ni bagi sangat muka kat mamat tak guna tu! Patutnya kau report je kat cikgu!" Rungut Diana. Kayra terlalu berlembut sangat, sebab tu Hariz tu naik minyak.

"Tak boleh Diana. Aku ni siapa, mentimun. Hariz tu durian! Dia tu boleh buat apa sahaja Diana. Aku tak nak cari pasal dengan dia nanti lagi teruk aku kena!" Kayra segera menolak cadangan Diana itu.

Semalam lelaki itu membuat kacau di gerai makan Kak Pah. Mula-mula dia sengaja menghadang kaki Kayra dengan kakinya sampai tertumpah habis semangkuk bihun sup ke atas badan Kayra. Hampir melecur tangannya, mujurlah tidak serius kerana Kak Pah cepat-cepat menyapu kicap dan ubat gigi di tempat yang melecur itu.

Tidak cukup dengan itu, Hariz berpura-pura naik angin apabila mee goreng yang di masak oleh Kak Pah itu berbau sabun kerana pinggan tidak dicuci dengan bersih. Tanpa mempedulikan orang ramai di situ, Kayra ditengking dan dihinanya sehingga pendapatan Kak Pah terjejas. Ramai pelanggannya lari kerana Hariz melabelkan gerai Kak Pah ssebuah gerai yang kotor. Busuk betul hati lelaki yang bernama Hariz itu.

Kayra sudah mengagak yang Hariz sengaja mencolekkan sabun ke pinggan itu kerana sabun tersebut berbau lemon sedangkan sabun Kak Pah hanya sabun biasa. Licik sekali lelaki itu. Entah apa dosa dan salah Kayra padanya. Tidak cukup di sekolah, di luar sekolah pun masih mahu membuli Kayra.

"Tapi sampai bila kau nak bertahan dengan budak gila tu? Dia dah melampau lah..."

"Tak ke mana perginya si Hariz tu. Dia cuma mengusik ja. Dah lah, aku okey. Aku tak nak serabutkan fikiran kau lagi. Eh, kau dah siap kerja sekolah matematik? Cikgu Amran nak tau hari ni?" Tanya Kayra cuba menukar topik.

"Alamak, ada sikit lagi lah. Dua soalan aku tak sempat siapkan sebab aku tak faham lah. Agaknya aku termakan semut kot. Tolong aku Kayra!" Pinta Diana dengan kelam kabut mengeluarkan buku dari beg adidasnya.

"Okey....sempat lagi ni nak siapkan. Nah, kau tengoklah buku aku...." Kayra membuka bukunya untuk ditiru oleh Diana.

"Thanks Kayra. Kaulah kawan aku dunia akhirat!" Puji Diana. Kayra tersenyum senang hati.

Jam berbunyi menandakan waktu kelas telah bermula. Muncul cikgu Atilia, guru perdagangan. Kayra menumpukan sepenuh perhatiannya pada pembelejarannya itu.



 


Kringgg.....!!!!!!!!! Berdesing telinga mendengar. Loceng berbunyi menandakan waktu rehat bermula. Kayra mengambil bekalnya dan botol air lalu berjalan beriringan dengan Diana ke kantin. Nasi goreng bawang, itulah bekalan makanan yang dibawanya setiap hari kerana dia memahami kesusahan keluarganya. Kadang-kadang lebihan makanan dari gerai Kak Pah akan disimpan dan dihangatkan untuk sarapan pagi. Itu pun kalau tidak basi kerana di rumah Kayra tiada peti ais.

Kayra hanya memerhati Diana yang sedang membawa sepinggan nasi ayam yang tampak begitu menyelerakan. Setahun sekali pun belum tentu dia dapat makan nasi ayam.

"Eh, bawa bekal apa hari ni?"Tanya Diana sebaik sahaja duduk disisi Kayra.

"Hmm...mak aku masak nasi goreng.." Diana tersenyum pada Kayra. Dia tahu Kayra orang susah. Setiap hari rakannya itu membawa bekal ke sekolah. Kasihan melihat nasi Kayra yang tidak berlauk itu.

"Nampak sedap. Meh aku rasa. Emm, iyalah! Sedap! Patutlah kau tak nak beli makanan kantin, tak sedap macam mak kau masak rupanya! Okey, nah! Ambil ayam ni sikit. Lagi umph..." Diana memasukkan sepotong ayam ke dalam bekas makanan Kayra.

"Ishh, tak payahlah. Aku okeylah. Tak apa..." Kayra meletakkan semula ayam ke pinggan Diana namun segera dilarikan pinggan itu. Segan menerima sedekah Diana itu. Sudahlah Diana selalu memberi baju-baju terpakainya pada Kayra.

"Kalau kau sayang aku, jangan ajar aku jadi manusia buruk siku. Faham? Dah makanlah..." Kayra serba salah. Diana terlalu baik padanya. Dia benar-benar terharu kerana masih ada insan yang sudi berkawan dengannya.

"Ni apasal buat muka sedih ni. Makan lah! Ha, macam tulah...Baru sempoi kawan aku ni!" Kata Diana tatkala melihat Kayra kelihatan muram. Kemudian sekelip mata sahaja wajah itu bertukar, manis dengan senyuman.

"Kau ni memang baik lah. Muka syurga betul..." Puji Kayra dengan senang hati.

"Sebab nak masuk syurgalah aku berkawan dengan kau! Eh, tu kau nampak tak lelaki yang sedang makan bawah pokok tu?" Kayra melontar pandang ke arah lelaki yang dimaksudkan. Lelaki itu sedang memandang Diana lalu tersenyum padanya. Tidak dinafikan Diana memang cantik manis orangnya. Ramai lelaki ingin mengenalinya. Jauh berbeza dengan aku yang begitu hodoh ini. Buang sahaja angan itu jauh-jauh.

"Siapa tu?"

"Naufal. Pemain bola sepak sekolah kita. Dia nak berkenalan dengan aku dan aku pun telah sambut salam perkenalan dia! Handsome tak?" Tanya Diana sambil tersenyum-senyum.

"Ishh, mana aku tau nak menilai orang ni. Kalau kau rasa dia handsome, handsome lah agaknya. Okeylah, sepadan dengan kau. Tapi, kau jangan abaikan study. Tahun depan kita nak SPM tau..." Kayra sempat menyelitkan nasihat.

"Tahun ni kan kita honeymoon. Ala relakslah, aku tak pernah rasa macam ni tau. Aku dah jatuh cinta lah dengan Naufal! Dia pun sama juga. Cinta kami bukan main-main, serius tau! Suatu hari nanti, bila kau jatuh cinta baru kau tahu betapa indahnya dunia!" Sempat lagi Diana melambai ke arah Naufal.

"Terpulanglah pada kau Diana. Kau cantik, ramai peminat. Lain lah aku, hodoh, buruk, jelek! Aku hanya jadi bahan ketawa, hinaan dan kutukan lelaki je! Lagipun, aku rasa lebih baik kalau aku tumpukan perhatian pada pelajaran. Aku tak nak fikir lagi soal-soal cinta ni!" Balas Kayra dengan penuh rasa rendah diri.

"Kau ingat muka cantik je cukup ke? Tak Kayra, yang penting hati kau cantik. Sebab tu aku berkawan dengan kau. Kau terlalu suci bersih bagi aku. Dahlah, tak payah fikir lagi pasal tu. Eh, kau dengan Aiman macam mana?" Kayra terdiam mendengar nama itu disebut. 'Aiman'? Dia berkawan dengan Aiman sejak tingkatan 1 lagi, dan Aiman tingkatan 2. Lelaki yang beria-ria ingin menjadikannya teman istimewa tidak lagi mesra seperti mula-mula kenal dulu. Hubungan mereka sudah renggang semasa Kayra tingkatan tiga.

Matanya sudah tidak sudi menatap wajah Kayra lagi dan bibirnya begitu mahal untuk mengukirkan senyuman. Kayra sudah mengagak, hubungan ini tidak akan kekal kerana dia sedar siapa dirinya. Miskin, selekeh dan buruk. Pastinya Aiman yang begitu kacak dan popular itu malu berdampingan dengannya. Mujur dia tidak menaruh sebarang harapan dan perasaan pada lelaki itu. Biarlah, biarlah jika ini kesudahannya. Dia malas mahu memikirkannya.

"Amboi, amboi. Nak buat kantin macam bapak korang yang punya! Bangunlah, aku nak makan ni! Dah sudah makan, blahlah jangan dok mengatal pula kat sini!" Tiba-tiba muncul Marisa, minah gedik yang kekwat tahap gaban bersama konco-konconya. Kononnya dia ratu cantik sekolah yang diiktirafnya sendiri.

Kayra tunduk. Marisa merupakan kekasih kepada Hariz. Lelaki yang sering membuli dan menghinanya. Dia tidak suka mencari fasal dengan mereka.

Diana mula berapi. Bukan dia tidak tahu, yang Marisa and the geng cukup anti dengannya. Al maklumlah, dia berjaya memecahkan rekod kumpulan mereka apabila orang luar dari kumpulan mereka berjaya menawan hati Naufal, pemain bola sepak sekolah. Buat pengetahuan, Marisa and the geng menganggap atlit-atlit bola sepak sekolah merupakan hak milik kumpulan mereka yang mutlak. Hanya ahli kumpulan mereka sahaja yang layak memiliki hati pemain-pemain bola sekolah yang rata-ratanya handsome dan popular. Barang siapa merampas hak mereka itu adalah musuh yang wajar ditentang.

Hati Diana mendidih dengan tiba-tiba. Geram betul dengan speseis manusia yang suka menganggu ketenteraman orang lain dan gemar mencari musuh.

"Cakap elok-elok tak boleh ke! Telinga aku tak pekak lah. Muka dah lah buruk, perangai pun buruk!" Kasar nada suara Diana. Kayra cuba meredakan Diana yang sedang marah tapi, Diana menepis tangannya. Baginya orang begini patut diajar. Elokkan Marisa tu couple dengan Hariz. Sama-sama kurang ajar, gila dan bermulut longkang.

"Hei, kau ingat kau hebat sangat ke dapat takcle Naufal? Blahlah......! Naufal tu cuma nak berseronok je dengan kau! Playboy macam dia tu dah biasa mainkan perempuan! Dengan Ayu pun dia couple tau! Naufal tu Ayu yang punya! Jangan nak perasaan lah! Blah lah, menyampah aku tengok, ingat kau cantik sangat!" Begitu angkuh kata-kata Marisa ini. Tak padan dengan bulu hidung terkeluar. Hidung tinggi betul punya perempuan!

"Aku cantik? Hah, terima kasih kerana puji aku. Tak sangka!" Diana berpura-pura terharu lalu menyambung kata-katanya. "Hei Marisa, kau siapa nak nasihatkan aku! Cermin diri kau tu dulu. Kau ingat aku ni perempuan murah macam kau ke? Yang dah puas dirosakkan si Hariz kat stor belakang sekolah tu!" Luah Diana tanpa berselindung. Kayra terpempam. Dia bimbang pergaduhan ini berlarutan. Marisa kelihatan berang. Merah padam muka putih gebunya itu..

"Kau! Eeeee, tak guna! Kau cakap baik-baik sikit ya, aku report kat boyfriend aku nahas kau nanti! Dah lah, blah nak termuntah tengok muka korang ni! Blahlah...." Sebelum berlalu, Diana tersenyum sinis lalu menuang air ke atas kerusi yang bakal diduduki oleh Marisa and the geng.

"Tempat lain banyak lagi kan...." Diana menarik tangan Kayra lalu berlalu dari situ.

"Tak guna!!!!!!!!!!!!"Jeritan Marisa itu hanya dibiarkan terbang dek angin. Diana puas!



 


Sampai ke kelas Diana meraup wajahnya berulang kali. Dia masih marahkan Marisa. Benteng kesabarannya benar-benar hilang hari ini. Sakit hatinya mengenangkan gelagat dan kata-kata Marisa yang cukup menjengkelkan hatinya. Aku tak kacau hidup dia pun! Sibuk je nak kacau hidup aku!

"Kau ni kenapa Diana? Aku dah tak kenal kau tadi. Tak payahlah layan orang macam tu! Dia tu awek Hariz tau! Kalau dia report kat Hariz macam mana? Kau tak kenal Hariz tu macam mana. Aku takut, Hariz melepaskan dendam Marisa tu, pada aku! Kalau Marisa mengadu pada Hariz, aku yang dapat susah!" Kayra menasihatkan Diana. Dia sendiri susah hati dan bimbang kalau-kalau Hariz akan menyusahkan hidupnya.

"Aku tak boleh sabar dengan orang macam tu. Kurang ajar sangat. Sepadan sangat dengan si Hariz tu! Marisa tu dengki bila aku couple dengan Naufal! Sebab tu dia cari pasal tadi! Bukan aku tak tau Ayu kawan dia tu terhengeh-hengeh nak kan si Naufal!"

"Betul ke Naufal tu playboy Diana? Aku takut dia main-mainkan kau nanti. Kau kena berhati-hati..." Kayra risau jika benar kata-kata Marisa tadi. Bimbang gadis sebaik Diana dipermainkan.

"Tak Kayra. Naufal bukannya macam player lain yang playboy. Dia bukan bercampur sangat dengan geng Hariz tu walaupun mereka satu pasukan. Naufal bukan baik pun dengan Hariz sombong tu. Kau jangan risau, aku takkan terima mana-mana lelaki selagi aku tak siasat latar belakang dan perangai dia. Uhh, Marisa tu ingat dia siapa agaknya nak nasihatkan aku! Kalau kau nak tahu, hujung minggu je Hariz and the geng akan mengusung Marisa and the geng keluar sampai larut malam tau. Membonceng motor beramai-ramai! Pergi mandi air terjun kat Puncak Janing lah, Pantai Merdeka lah...pi Alor Setar lah.... Rosak-rosak..." Kayra hanya terdiam mendengarnya. Dia takut untuk mengambil tahu hal lelaki yang bernama Hariz. Mendengar namanya mengundang trauma dan fobia padanya.

Loceng berbunyi menandakan sesi pembelajaran bermula. Giliran Cikgu Amran, cikgu matematik yang sangat garang dan suka mendenda pula masuk mengajar. Paling pantang apabila kerja sekolah tidak disiapkan.

"Semua letak buku atas meja. Saya nak periksa!" Arah Cikgu Amran kepada seisi kelas dengan bengisnya. Rotan ditangannya mula ditayangkan. Semua pelajar menelan air liur. Mula gentar dan takut. Kayra mencari-mencari buku latihan matematik. Hah, biar betul, mana pergi buku aku ni? Aku bawa buku ke sekolah. Diana pun melihat dan meniru tadi. Dia mula mengelabah.

Jantung Kayra bagai mahu gugur. Dia mula panik, puas dicari di dalam beg dan di bawah meja. Tetapi tiada, Diana turut membantu mencari tetapi, hasilnya amat mengecewakan dan sukar dipercayai.

Langkah kaki Cikgu Amran mula menghampiri. Matanya mencerun tajam ke muka Kayra.

"Mana buku kamu?"tanya Cikgu Amran, tidak kuat tetapi tegas. Kayra menelan liur. Cemas. Pucat mukanya, jantung berdegup kencang. Mengigil tubuhnya kerana takut.

"Saya tanya mana buku kamu?" Kali ini suara itu bertambah nyaring. Cit, sampai memercik air liurnya ke muka Kayra.

"Sa...sa...ya bawa cikgu...Ke...kerja saya pun...siap! Betul cikgu!" Kata Kayra tergagap-gagap. Sudah, nampaknya ada gunung berapi hendak meletup. Takutnya melihat wajah bengis Cikgu Amran. Kalah harimau kumbang. Ngaum!!!

"Awak jangan cuba nak main-mainkan saya. Kalau awak bawa buku, habis mana perginya buku awak?" Jerkah cikgu Amran lagi. Fuh, cair tahi telinga mendengarnya. Bingit sekali.

"Betul cikgu saya bawa... Tapi, tiba-tiba buku saya hilang!" Kayra bagaikan ingin menangis. Cuba untuk menegakkan kebenaran yang sukar.

"Awak ni memang sengaja nak naikkan darah saya. Awak ingat dengan buat muka seposen awak ni saya akan percaya dengan tipu helah awak. Sepatutnya dalam usia begini, kamu haruskan tumpukan perhatian pada pelajaran sahaja. Ini tidak malam-malam berpeleseran kat pekan. Bila masanya awak nak siapkan kerja sekolah? Perangai macam gadis liar! Muka dah lah tak seberapa! Kalau dah tak berminat nak belajar, berhenti je sekolah. Tak payah menyemak kepala saya dengan penipuan awak ni! Saya pun tak ingin ada pelajar malas pada awak!"Tengking Cikgu Amran. Kayra benar-benar terpana dengan tuduhan itu. Terasa begitu perit untuk ditanggung.

"Maafkan saya cikgu. Saya memang tiap-tiap malam keluar, tapi bukan untuk berpeleseran. Saya tolong jiran saya berniaga di gerai Fama cikgu! Tak apalah kalau cikgu tak percaya cakap saya, saya sedia dihukum cikgu. Saya minta maaf....." Kayra tunduk, matanya mula berkaca-kaca. Malang betul nasib aku hari ini.

Kayra menghulurkan tangan. Zap! Fuh, ngerinya. Sakit gila tangan aku. Ada lagi? Zap! Rasa nak hancur tangan aku. Kayra menggigit bibir menahan kesakitan. Berbirat tangannya, merah.

"Sekarang, awak keluar. Berjalan itik sebanyak 20 pusingan sambil letakkan tangan dikepala! Ingat, amaran terakhir! Saya tak mahu perkara yang sama berulang." Kata Cikgu Amran lagi dengan tegas.

Kayra tersentak. Berjalan itik? Punggung aku sudahlah tengah sakit angkara Hariz jahanam tu. Kayra melepaskan keluhan. Ya Allah, kenapa jadi begini? Apa salah aku? Sedangkan aku membawa buku tadi. Aku dah siapkan kerja sekolah aku. Kenapa nasib aku malang sangat hari ini?

Kayra menjalani hukuman yang diberikan padanya. Berjalan itik. Ramai pula yang menyaksikannya, malu bukan kepalang. Semua yang memandang mengetawakan dia. Aiman turut menyaksikannya dan turut ketawa. Setitis air mata gugur jua kerana malu yang teramat.



 


Kringgg, loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan telah tamat. Kayra bangun dari kerusi dengan perlahan. Kakinya terasa sakit dan begitu lenguh. Kesan dari terjatuh dari kerusi dan denda berjalan itik sebentar tadi.

"Kau okey ke Kayra?" Tanya Diana penuh simpati.

"Okey...." Kayra tersenyum hambar, cuba untuk menyembunyikan sakitnya.

"Peliklah, macam mana buku kau boleh hilang, sedangkan pagi tadikan aku meniru kau?" Getus Diana dengan pelik.

"Ehem...."Kayra berpaling ke arah suara itu. Hariz? Bala apa lagi yang bakal mengundang aku ni? Kelihatan lelaki ini sedang tersenyum nakal padanya. Bulat mata Kayra melihat buku latihan matematik ditangan lelaki itu. Dengan bersahaja, Hariz mencampakkan buku ke muka Kayra.

"Jadi kau yang ambil buku aku? Sampai hati kau, tak pasal-pasal aku kena denda dengan cikgu Amran!" Rintih Kayra dengan penuh sebak.

"Berdrama pula minah ni. Kau memang layak terima semua ni. Macam mana kena denda? Best tak? Satu kelas aku bawa rombongan. Nak kata berjalan macam itik, itik pun lagi cun dari kau! Padan muka kau! Hahahahah!!!! Dahlah, aku nak keluar dulu sebab aku dah pening dengan bau busuk kat sini. Ada bau getah sekerap, campur hanyir ikan. Uwekk, mengalahkan bangkai! Kayra, Kayra! Malang betul nasib perempuan macam kau ni........" Hariz ketawa lalu terus berlalu. Kayra terhenyak di atas kerusi. Air matanya terus gugur.

Diana tidak dapat menahan kemarahan dan geramnya lagi. Tidak sanggup membiarkan diri Kayra terus diperkotak-katikkan. Geramnya dengan Hariz. Diana merampas buku dari tangan Kayra lalu bingkas bangun. Kayra terpinga-pinga dengan tindakan Diana.

"Kau nak kemana ni Diana?"Tanya Kayra ingin tahu.

"Jangan banyak tanyalah. Aku tahu apa nak buat, kau tunggu je kat sini!" Diana terus berlalu keluar dari kelas.

Panggilan dari Kayra tidak dipedulikan oleh Diana. Kayra terduduk dikerusi, tidak mampu mengejar Diana. Kayra takut kalau-kalau Diana membuat tindakan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Hariz nampaknya sudah berani mengambil tindakan diluar jangkaan. Lima belas minit kemudian, Diana kembali lalu memulangkan buku Kayra.

"Kau pergi mana?"Tanya Kayra ingin tahu. Diana menarik nafas panjang. Dia rasa puas hati.

"Jumpa cikgu Amran lah. Tunjukkan buku ni pada dia! Suka hati je dia tuduh kau macam-macam tadi. Mentang-mentang dia cikgu, suka hati je nak menjatuhkan hukuman!"

"Ya Allah, Diana. Tak baiklah kau kata kat cikgu Amran macam tu! Memang bukan salah aku tapi, kalau aku jadi dia pun aku akan mengambil tindakan yang sama juga. Dia cikgu kita, kita kena hormat dia! Jangan-jangan kau bagitahu dia yang Hariz curi buku aku?" Kayra mula khuatir. Bimbang kalau-kalau kes ini dipanjangkan. Bimbang kalau-kalau cikgu Amran mengetahui hal yang sebenar kemudian menghukum Hariz.

"Kau jangan risau, esok Hariz akan menerima hukumannya, padan dengan muka dia! Jangan nak bagi muka lagi dengan lelaki tak guna tu, faham?" Kayra terpempam mendengarnya. Serta merta dia jadi takut. Dia dapat rasakan nasibnya akan malang tidak lama lagi. Lelaki itu tidak akan berdiam diri.

"Ya Allah, Diana! Kenapa kau beritahu cikgu Amran? Aku takut Hariz akan mencari pasal dengan aku lagi. Kau tak kasihankan aku ke? Aku tak habis -habis kena buli dengan dia! Aku yakin dia tak akan duduk diam." Luah Kayra dengan rasa takut.

"Kau jangan takut Kayra, kau kena berani tegakkan kebenaran. Sampai bila kau nak sembunyikan perangai jahat Hariz tu? Apa jaminan nya dia tak akan buli dan main-mainkan kau lagi? Tak ada bezanya, aku tengok dia tu dah makin melampau!" Perasaan takut dan risau benar-benar menguasai diri Kayra kini. Memikirkan untung nasibnya.



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

No comments: