Friday, 12 October 2012

BAB 2 PENAWAR TANGISKU

2




"Awal Nia balik? Dah habis ke nasi lemaknya?" Soal Aminuddin sambil terbatuk-batuk. Dia meraup buluh dengan pisau racipnya. Ingin membina sebuah sangkar burung. Ramai yang memuji rekaan sangkar burungnya unik dan kreatif. Sudah ada yang menempah sangkar burung darinya.

Dania melepaskan lelahnya setelah mengangkut peralatan-peralatan jualannya. Nafasnya dihela panjang. Penat juga hari ini.

"Hmm, awal habis pagi ni. Rezeki ayah. Ayah ni terbatuk-batuk, dah makan ubat ke belum?"Soal Dania dengan tegas. Bukan dia tak tahu betapa liatnya ayahnya ini nak makan ubat. Puas bagi motivasi, kaunseling dan psikologi. Macam-macam alasan yang dia bagi mengalahkan budak-budak. Eleh, mengata ayah konon, kau pun sama juga Dania. Bapak borek anak rintik!

"Semalam kan dah makan? Sudahlah! Bukannya sedap pun, lagipun ayah ni dah tua, sakit pun dah jadi sahabat baik. Makan lah ubat bergelen pun, tak adanya nak sembuh."Kata ayahnya sambil meneruskan kerjanya itu.

"Ishh, ayah ni degil lah. Nia tak kira, ayah kena makan juga ubat. Kalau tak Nia akan merajuk, tak nak cakap dengan ayah!" Dania bertegas kali ini.

"Iyalah! Ayah makan! Dania ni, tau je ayah kelemahan ayah kat mana. Kaki membebel!"Ngomel Aminuddin dengan gelaknya. Lalu dia memakan ubat.

Dania mengelengkan kepalanya. Kadang-kadang geram juga dengan kedegilan ayahnya. Dalam tidak sihat pun, masih mahu melakukan pelbagai kerja.

"Kan Nia suruh ayah rehat je, ayah kan tak sihat? Tak payahlah nak buat semua kerja ni," Dania mengulangi semula pesanan pada ayahnya itu.

"Nia pun tahu ayah ni bukan jenis yang suka duduk diam. Kaki ayah ni dah tak boleh berjalan, habis tu kerja apa sangatlah yang ayah boleh buat? Ayah dah banyak susahkan Nia. Sepatutnya dalam usia macam ni, Nia sambung belajar, bukannya susah payah cari duit nak bela ayah yang dah tua ni?" Aminnuddin mengeluh berat.

"Ayah, Nia tak kisah. Nia ikhlas lakukan semua ni. Dah jadi tanggungjawab Nia sebagai seorang anak untuk berbakti kepada orang tuanya. Nia cuma ada ayah sahaja dalam dunia ni. Saudara mara kita pun, entah kemana perginya. Kepada siapa lagi Nia nak menumpang kalau bukan dengan ayah?"Tiba-tiba situasi bertukar syahdu pula.

Aminuddin melepaskan keluhan yang berat. Berat mata yang memandang berat lagi bahu yang memikul. Sedih memikirkan nasib anaknya ini.

"Ayah ni dah tua, bila-bila masa ajal akan datang menjemput ayah. Ayah sentiasa mendoakan kebahagiaan dan keselamatan Nia. Berjanji dengan ayah, walau apa pun yang terjadi selepas ni, banyak-banyak bersabar, jangan berputus asa dari rahmat Allah. Teruskan kejar cita-cita Nia sampai Nia berjaya, ayah sayang Nia!" Aminuddin mengelus rambut ikal milik Dania itu. Dania yang mendengar berasa tidak sedap hati kerana tiba-tiba sahaja ayahnya bermain dengan emosi. Hatinya begitu terusik.



 


Dania mengayuhkan basikalnya selaju yang mungkin untuk sampai ke rumah. Selepas jualan nasi lemaknya habis awal tadi, dia terus ke pasar untuk membeli barang-barang basah kemudian ke pejabat pos untuk membayar bil elektrik dan bil air. Ramai betul orang di pejabat pos tadi, membazir hampir dua jam di situ.

Sudah seminggu Khaliff  memborong nasi lemak Dania. Pukul 9.00 pagi sahaja habis jualan nasi lemak Dania. Ramai yang merungut-rungut kerana sudah beberapa hari tidak dapat membeli kerana kehabisan. Pernah juga suatu pagi tu, hujan turun dengan lebatnya. Jualan nasi lemak agak merosot pagi itu. Boleh pula Khaliff datang memborong semuanya. Rasanya hampir-hampir 250 bungkus.

'Kadang-kadang pelik memikirkan pelanggan aku yang sorang tu, terlebih suka benar membeli nasi lemak aku ni! Dah tahap kronik sangat, katanya sudah ketagih. Hisyy, ingat aku ni jual air ketum ke? Tiap kali dia datang, suka tenung muka aku lama-lama. Sampai aku ni dah perasan, tapi belum sampai ke tahap syok sendiri. Pertama kali aku berjumpa lelaki pelik macam tu. Tapi entahlah, aku tak berminat langsung dengan dia, tak ada rasa sesuatu pun dalam hati.'

Teringat perbualan dengan lelaki itu dua hari yang lepas.

"Nia, saya sebenarnya nak kenal awak dengan lebih rapat lagi." Pinta Khaliff dengan suara yang begitu yakin. Berkerut dahi Dania mendengarnya.

"Hah? Kenal rapat? Macam mana tu?"Soal Dania dengan bendulnya. Tangannya ligat membungkus nasi.

"Pertama saya lihat awak, hati saya ni dah terpikat. Asyik terbayangkan wajah awak. Err, apa kata kita mulakan hubungan kita dengan ikatan persahabatan dulu? Saya harap err...awak sudi. Sebenarnya ini pertama kali saya cakap macam ni dengan perempuan. Saya sebenarnya sukakan awak..." Khaliff meluahkan isi hatinya.

Dania yang mendengarnya terlopong. Hampir-hampir mahu tercampak jantungnya kerana terkejut. Apa jenis lelaki lah ni, cakap terus terang, langsung tak ada kias-kias? Buat malu aku je...

Melihat reaksi negatif Dania itu membuatkan Khaliff segera berkata, "err, saya tak akan paksa awak terima saya. Awak fikirkan dulu. Saya betul-betul ikhlas." Ujar lelaki itu sebelum berlalu.

Dania tersedar dari lamunannya. ' Hissy, pehal pula aku terfikirkan mamat tu? Lagipun sekarang bukan masanya untuk aku memikirkan soal lelaki. Banyak benda lagi aku kena fikir dan ayah adalah keutamaan aku sekarang. Aku nak kumpul duit banyak-banyak, nak rawat kaki ayah sampai sembuh. Alhamdullilah, dalam minggu ini sahaja aku dapat simpan RM1000. Syukur alhamdullilah! Ingat jual nasi lemak, tak boleh cari makan ke? Kalau laku, memang boleh buat duit tau!'

Dalam kesungguhan Dania mengayuh basikalnya tiba-tiba sahaja sebuah kereta mewah dipandu dengan begitu laju melewati Dania. Kelajuan yang sangat menakutkan.

"Hisyy, apalah orang ni bawa kereta laju gila. Tak takut accident ke? Nak mati kot agaknya?" Sebaik sahaja menghabiskan katanya, tiba-tiba kereta yang laju tadi melanggar pembahagi jalan dan jatuh terbalik dihadapan mata Dania membuatkan Dania terlopong dan terkesima. Berdentum bunyinya!

Ya Allah, masinnya mulut aku!! Dania menelan air liurnya. Dia memerhati sekitarnya. Tiada kereta mahupun motosikal yang melewati jalan. Ya Allah, apa aku nak buat ni? Serta merta dia tenggelam dalam situasi cemas dan mendebarkan kerana pertama kali dia menyaksikan kemalangan secara langsung di depan matanya.

1 comment:

Unknown said...

oh..ya ALLAH ape lh tindakan nia...nk buat ape??mmg leh panik kalu dh benda terjadi depan mata...so nk mintak tlg sape ye nia!