Friday 28 September 2012

BAB 2 DILARANG MASUK DALAM HATIKU

Arrian Syah buat-buat bodoh, tahu sangat siapa gerangankah orangnya.

"Waalaikumussalam, Isma. Masuklah!" pelawa Hasnah dengan mesranya.

Ismaliza tersenyum lalu masuk membawa dua tupperware. Pastinya ada lauk yang dimasak untuk Arrian Syah. Dikerlingnya Arrian Syah yang buat muka selamba.

"Err, makcik. Ini ada sikit lauk, kebetulan Isma masak lebih." Ismaliza menghulurkan tupperware pada Hasnah. Hasnah tersengih.

"Ya ALLAH, Isma ni rajin sungguh. Bertuahlah siapa yang jadi suami Isma nanti. Tentu tak sampai sehari, dah boroi perut dia sebab kerja makan je. Terima kasihlah Isma, duduklah. Makan sekali, kebetulan makcik masak nasi lebih.

Arri pun dah hentam kat tiga pinggan, tak padan dengan badan kurus kering. Itulah, kalau berbini naiklah sikit badan tu. Ini tak, dok Penang tu makan minum pun tak menentu. Hai, susahnya nak cakap. Isma, mari makan sekali!" pelawa Hasnah yang tidak mungkin Ismaliza menolaknya.

Ismaliza mengerling Arrian Syah yang selalu kacak dimatanya. Rindunya pada Arrian Syah. Hampir sebulan lelaki ini tidak pulang ke kampung. Malang nasibnya apabila merindu pada yang tidak sudi. Apa yang harus dia lakukan untuk merompak hati Arrian Syah? Kalau setakat memikat Hasnah, sudah tiada masalahnya.

Apa kurangnya dia? Rasanya dia juga kategori perempuan yang cantik. Dari kecil lagi, sejak mereka bermain pondok-pondok atau kahwin-kahwin, sampailah sekarang, dia masih mencintai Arrian Syah. Bukannya Arrian Syah tidak tahu akan perasaannya, bukan setakat kasi hint, dia juga berterus-terang yang dia memang menyimpan hati pada Arrian Syah namun Arrian Syah buat tak tahu saja bagaikan orang yang tiada perasaan.

Tengoklah ni, sanggup Ismaliza membeli pakaian baru dan bersolek cantik-cantik semata-mata untuk mencuri hati lelaki ini. Minta-minta Arrian Syah akan jatuh cinta padanya pagi ini. Berkat dia pergi mandi bunga semalam. Fuh kiri, fuh kanan!

Ismaliza duduk berhadapan Arrian Syah.

"Arri sihat? Bila nak balik Penang?" Tanya Ismaliza, mesra dan ramah. Arrian Syah tersentak.

"Hah, Isma tanya apa tadi?" Arrian Syah yang sedang berangan menyelam di Batu Feringgi terhenti lamunannya. Kacau daun betul, baru terserempak dengan ikan duyung tadi.

"Isma tanya, Arri sihat ke? Bila nak balik Penang?" Tanya Ismaliza lagi soalan yang sama. Arrian Syah mengaru sekejap kepalanya. Kemudian mengangguk tanda mendengar jelas soalan itu.

"Oh, sihat. Lusa baliklah Penang." maklum Arrian Syah. Hasnah yang mengikuti perbualan itu, tiba-tiba menyampuk.

"Aduh....aduh..., tiba-tiba perut mak ni memulaslah Arri. Nak kena berlepas ni, kang kalau terkentut kat sini, mahu padam selera korang nanti. Mak pergi melabur jap," terkocoh-kocoh Hasnah berlari ke tandas.

Arrian Syah mengelengkan kepalanya. 'Berlakon lah tu, macam tak tahu perangai mak aku tu. Sengaja nak kenen-kenenkan aku dengan si Isma.'

"Arri, kenapa Arri tak pernah jawab call Isma? Mesej Isma pun tak balas," tanya Ismaliza setelah sekian lama memendam perasaan.

Arrian Syah tenang mendengarnya. Macam mana hendak membalasnya kalau mesejnya mengandungi unsur-unsur luahan cinta yang menjengkelkan Arrian Syah.

'Terpacak bulu roma membacanya. Miang sungguh perempuan ini. Nampak saja lemah lembut, berlakon agaknya. Macamlah, aku tak tahu menilai diri dia yang sebenar. Ini Arrian Syah lah, silap haribulan kau nak hipokrit depan aku'.

"Tak ada hal yang penting pun kan, sebab tu Arri rasa tak ada sebab Arri nak balas mesej Isma. Isma, kan Arri dah banyak kali cakap. Isma cantik, baik, ramai lagi lelaki diluar sana yang berebut-rebut nakkan perempuan macam Isma.

Arri minta maaf yang Arri memang tak boleh anggap Isma lebih dari seorang kawan. Dah banyak kali Arri cakap soal ni kan. Jodoh ditangan Tuhan, kalau memang kita ni dah ditakdirkan berdua, dah lama Arri terima Isma. Masalahnya Arri memang tak boleh." Adiputra cuba bertegas.

Dia faham perasaan Ismaliza yang kecewa sebab itu dia cuba bercakap baik-baik dengannya.

"Tapi kita boleh cuba kan? Arri langsung tak beri Isma peluang. Apa halangannya sekarang? Arri pun masih kosong, Isma pun belum ada yang punya. Keluarga kita pun merestui kita. Sekarang ni, tinggal Arri je. Isma tak boleh terima lelaki lain, sebab Isma cintakan Arri dari dulu lagi.

Isma tak peduli, kalau orang cakap Isma ni perigi cari timba, yang penting hati Isma ni ikhlas. Kalau Arri bagi Isma peluang jadi isteri Arri, Isma akan layan Arri bagaikan raja. Isma janji, yang Arri akan bahagia. Arri akan cintakan Isma perlahan-lahan," pujuk rayu Ismaliza dengan muka yang kasihan.

Arrian Syah rasa semakin bengang pula mendengarnya. Perempuan zaman sekarang ini, memang begini ke perangainya? Susahnya nak jumpa perempuan yang 'mahal' dan meletakkan 'nilai' yang tinggi untuk dirinya.

Arrian Syah dapat rasakan, Ismaliza bukan gadis yang jujur, dia hipokrit. Dia lakukan semua ini, semata-mata untuk mendapatkan cinta. Ini dipanggil kegilaan atau obses.

Apabila dia sudah mendapatkan apa yang sudah dihajati, dia akan sia-siakannya. Dia kenal Ismaliza sejak dari kecil lagi. Perangainya yang tidak mudah mengalah memang sudah sebati dalam dirinya.

Arrian Syah terus bangun dan melangkah ke biliknya. Bosan! Cuba buka topik fasal Safee Salie join kelab Pelita jaya ke, syok juga mendengarnya.

Ismaliza memandang Arrian Syah dengan mata yang berkaca. Apalagi yang harus dilakukannya untuk mendapatkan Arrian Syah? Semuanya gagal, termasuklah dengan cara yang baik dan cara yang kotor. Dia pernah cuba bomohkan Arrian Syah agar tergila-gilakannya, tapi kata bomoh tersebut Arrian Syah mempunyai pendinding yang sukar ditembus.

Tidak dinafikan Arrian Syah memang tinggi ilmu agamanya. Arwah datuknya, merupakan seorang pengamal perubatan Islam yang telah menurunkan ilmu pada Arrian Syah. Itu yang sukar untuk Ismaliza mendapatkan lelaki itu dengan cara kotor seperti itu.



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

2


Jam
di dinding dikerling, sudah pukul 2.00 petang. Kifayah mengesat peluh di dahi. Sempat mencuri masa untuk solat zohor, itu pun dileteri maknya kerana banyak kerja yang harus diselesaikan di dapur. Sejak dari pagi tadi, kerjanya asyik memotong bahan-bahan untuk dilambakkan atas laksa, laksam, bihun sup, bakso dan moi sup.

Emaknya pula sedang sibuk menyiapkan kerja-kerja memasak. Adiknya, Eja sedang memotong daging untuk diisi dalam bungkusan bihun sup. Selalunya pukul 4.00 petang, emaknya akan bergerak ke Pasar Malam untuk berniaga. Dalam seminggu, empat hari emaknya akan berniaga.

"Mak, pergilah solat dulu." Tegur Kifayah sambil mata mengerling ibunya yang ralit memasukkan bihun dalam bungkusan.

"Kejap lagi, banyak kerja ni. Alah sempat lagi nak solat. Korang berdua ni bukannya boleh harap. Pemurah tak kena tempat, jual sebungkus RM 2.50 tapi, bubuh bahan bukan main banyak. Macam harga RM 10 sebungkus. Eja, potong daging tu nipis-nipis, jangan tebal-tebal. Bankrap mak nanti, barang semua mahal-mahal sekarang ni." Leter Rafeah seperti biasa.

Eja hanya mengangguk. Kasihan kakaknya, Kifayah yang akan mengambil peperiksaan STPM tidak lama lagi. Langsung tidak berpeluang hendak belajar. Harus menolong emak berniaga saja sejak Kak Rihanna berkahwin.

"Tak baik lewat-lewatkan solat mak. Sikitnya bihun mak isi. Nak buat tahi gigi pun tak cukup." Tegur Kifayah tidak puas hati.

Kadang-kadang emaknya ini kedekut yang tahap melampau. Bila ditegur, tidak pernah mahu mendengar, degil lebih pada budak-budak. Bila tidak laku, mulalah nak salahkan semua orang.

"Jangan nak mengajar mak, mak tahulah. Tu Si Doyah pun isi bihun sikit ja. Laku jugak!" Ada saja jawapan bijak emaknya.

"Doyah tu jual sebungkus dua ringgit. Kita ni sebungkus RM2.50 mak, biarlah orang yang beli nanti makan puas hati!" Jawab Kifayah lagi. Namun emaknya buat bodoh saja. Terus mengisi bihun seperti biasa.

"Mak, Kifa tak nak ikut mak berniaga hari ni boleh tak? Adik jelah yang ikut. Kifa nak belajar, tak lama lagi kan nak STPM." Pinta Kifayah dengan harapan agar emaknya bersetuju.

Sejak kakaknya berkahwin, dia pula membantu emaknya berniaga di Pasar Malam hampir setiap malam, kalau dulu dia akan bergilir-gilir dengan kakaknya.

Kalau mengikut emaknya berniaga di Pasar Malam, mesti sampai ke rumah dalam pukul 11.00 malam kerana emaknya akan menunggu sampai jualannya habis, baru akan balik. Bila balik, badan pun penat. Sudah tidak larat untuk belajar.

Hujung minggu beginilah, dia boleh menumpukan sepenuh perhatian pada pelajaran. Dia juga menganyam impian ingin belajar tinggi-tinggi. Keputusan percubaannya tidak berapa baik sangat. Hanya dapat Bahasa Melayu C, Sejarah B, Pengajian AM D, Kesusateraan Melayu B dan Pengajian Perniagaan B.

"Kalau Kifa ikut mak, Kifa lagi cekap buat kerja dari adik. Adik tu tak berapa cekap lagi. Lagipun, peperiksaan percubaan Kifa bukannya ada A pun, tak payah nak bagi alasan.

Kalau dah tak pandai tu, pulun belajar 24 jam, tak kan pandai punyalah! Lagipun boleh percaya ke nak belajar? Entah-entah nak tengok TV, nak menaikkan bil elektrik dalam rumah ni!" Rafeah tidak menerima alasan.

Kifayah mengeluh, dia langsung tidak berpeluang hendak belajar. Hanya ke sekolah sahaja dia berpeluang untuk belajar sepenuhnya. Balik sekolah, dia harus membantu emaknya di dapur. Kadang-kadang, emaknya melarang dia ke sekolah apabila pembantu emaknya, Piah tidak dapat menolong di rumah. Macam mana Piah nak datang, kerja bukan main meletihkan, tapi emaknya cuma membayar RM8.00. Ada ke patut?

Kifayah cukup masak dengan perangai ayah dan emaknya yang jenis bakhil dan berkira itu. Entah bila ke dua ibu bapanya akan berubah perangai!

Opah Jah, ibu pada Rafeah yang sedang makan sirih mencelah. Dari tadi dia sibuk juga membantu anaknya itu mengupas bawang merah.

"Kamu ni, Peah. Bagilah peluang Kifa belajar. Sebab keputusan percubaan dia tak elok lah, dia nak belajar bagi dapat elok. Cubalah kasihankan anak-anak kamu ni sama. Hidup mati, asyik berniaga saja. Biarlah dia nak belajar, mana tau dapat peluang nak pergi universiti." Tegur Opah Jah membuatkan Rafeah ketawa besar.

"Mak, mak agak-agaklah nak cakap pun. Anak-anak Peah semuanya tak bertokoh langsung nak masuk U. Percayalah cakap cucu mak tu, nak belajar konon? Entah-entah berlingkar buat tahi mata dalam bilik. Lebih berfaedah kalau ikut Peah berniaga," beritahu Rafeah.

Sudah jadi tradisi dari anak sulungnya, belajar setakat SPM lepas itu dia akan menerima pinangan dari lelaki kaya yang akan memberikan duit bulanan untuknya. Hanya Kifayah yang tiba-tiba lepas sampai ke peringkat STPM hasil sokongan Opah Jah. Kalau tidak jangan harap dia akan benarkan anaknya itu belajar lagi.

Hidayah, anak sulungnya telah berkahwin dengan tauke balak, Hussein. Setiap bulan, menantu kayanya itu akan memberikan duit untuknya RM1000.

Rihanna, anak ke duanya pula sudah dikahwinkan sebulan yang lalu dengan anak Ketua Kampung, Rosli yang mempunyai banyak kebun-kebuh getah. Hantaran anaknya saja berpuluh ribu, memang membuatkan dia bangga dan dipuji oleh seluruh orang kampung. Bertuah sungguh anak-anaknya itu.

Rafeah langsung tak kisah bagaimana paras rupa menantunya, janji kaya dan berharta, senang juga hidupnya nanti. Dalam kampung Talang ini, anak-anak daranya adalah yang tercantik sekali persis wajahnya ketika muda, memang jadi rebutan. Sekarang giliran Kifayah pula untuk dicarikan jodoh. Dia tidak mahu anak-anaknya ikut jejak langkahnya. Dia tersilap langkah kerana kahwin lari dengan Soffian. Akibatnya hidup susah kerana ingkar pada ibu bapa. Mujurlah, Opah Jah memaafkannya.

Soffian yang baru balik dari Ladang melepaskan lelah. Menuju segera ke peti ais, mengambil minuman.

"Dah masak nasi, Peah?" Tegur Soffian pada isterinya yang ralit membuat kerja.

Faham sangat, isterinya itu memang tak pernah nak melayan dia pun kalau dia balik penat-penat dari ladang.

Memang sibuk menyiapkan barang-barang berniaga.Tapi, dia tidak kisah kerana isterinya biarpun kuat berleter namun lebih bertanggungjawab atas perbelanjaan rumah daripada dia.

"Kifa dah masak kat ayah kan? Tu ada kat bawah tudung saji. Abang ni, buat apa lama-lama kat ladang tu? Memikat burung kan? Rumah kita ni, dah penuh dengan burung, siap haribulan boleh buka Taman Burung! Selama ni, tak pernah pun burung-burung awak tu bawa hasil kat rumah ni.

Tolonglah saya sesekali, berniaga. Ini tak, asyik ke ladang 'kepala' sawit awak tu, balik rumah tidur. Asyik-asyik tidur! Nak tunggu hasil ladang 'kepala' sawit tu lambat! Kita ni nak makan hari-hari. Abang tu cuma tau minta duit, beli rokok!" Leter Rafeah membuatkan semua telinga berdesing bagai disambar petir. Soffian mendengus.

"Awak ni, kepala sawit, kepala sawit! Kelapa sawitlah! Dari dulu saya menegur tak pernah nak simpan dalam otak." Tegur Soffian yang lucu mendengar kata-kata isterinya itu.

"Alah, sama juga bunyinya. Maksudnya lain. Hah, jangan nak tukar topik pula. Bila abang nak berubah ni? Suka sangat memikat burung! Kalau jadi jutawan burung tak apalah juga!" Rafeah menyambung berleter.

Pergaduhan laki bini itu hanya diperhatikan oleh anak-anak dan emak Rafeah tanpa berniat hendak menyampuk kerana telinga mereka sudah lali. Lagipun bukan serius pun pergaduhan ini. Memang tabiat mereka.

"Alah, darling...... janganlah marah. Itu lebih baik abang memikat burung tau, daripada memikat perempuan? Gigit jari darling nanti. Darling kan, kalau marah semakin cunlah. Geram abang tengok!!! Mujur tengah memasak, kalau tak......!" Soffian mula mengusik, membuatkan Rafeah menjeling tajam-tajam manja.

Suami lapuknya ini faham sangat bagaimana cara untuk mendiamkan peluru berpandunya dari terlepas.

Opah Jah tergelak lucu.

"Korang berdua ni kan, buat aku nak tamatkan zaman janda aku je......" Usik Opah Jah.

"Mak, jangan nak mengatal!! Amboi, tak padan dengan tua. Ingat dulu, janji apa dengan arwah bapak, nak bawa cinta sampai ke syurga kan?" Rafeah menyindir emaknya yang tersengih itu.

Kifayah dan Eja hanya mengeleng kepala melihat gelagat keluarganya itu yang memang gamat selalu.



 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


                                           
 

1 comment:

Anonymous said...

kelakar la bab ni! mak si Kifayah kelakar tpi kedekut pulak..haha