Friday, 28 September 2012

BAB 1 DILARANG MASUK DALAM HATIKU



1
 



ARRIAN Syah
menyuapkan nasi ke mulutnya. Alangkah enaknya masakan emaknya, sehingga menjilat semua jari yang ada. Sedap sungguh gulai umbut pisang campur daging lembu ini. Kerinduan pada masakan emak yang mengheret kakinya agar pulang ke kampung pada cuti hujung minggu ini.

"Arri, bila hang nak kahwin ni? Mak teringinlah nak dapat menantu. Kempunan tahap kronik ni! Kak dan abang-abang hang semua dah kahwin. Hang dah nak masuk 26 tahun, dok tunggu apalagi?" Hasnah mula membuka topik yang merimaskan Arrian Syah.

Arrian Syah mula rasa bosan kerana emaknya, selalu akan bertanya soalan yang menyakitkan telinganya iaitu kahwin. Ini yang dia malas hendak pulang ke kampung. Soalan cepu gangsa ini yang kerap kali ditanya tanpa jemu padanya.

Siapa yang tidak mahu kahwin? Dia sebenarnya teringin juga nak kahwin dan mempunyai anak yang berderet-deret kalau boleh paling sikit pun satu team bola sepak. Perasaan gatal hendak berbini itu sesekali mencuit juga tangkai hatinya. Tapi, masalahnya dia belum jumpa perempuan yang mampu membuat hatinya dug dag dug dag, paling tidak pun rasa vibrate ke?

Dia ingin mengahwini perempuan yang dia cinta dan sayang sepenuh raga. Dia memilih kahwin kerana cinta, bukan kahwin paksa atau kahwin pilihan keluarga.Tapi masalahnya, sampai sekarang dia masih belum jatuh cinta lagi.

"Mak, kita tengah makan ni. Cakaplah fasal, resepi Chef Wan yang terbaru ke, resepi master chef ke, jalan-jalan cari makan ke, barulah sesuai. Sabarlah, Arri belum jumpa lagi yang sesuai. Lagipun, 26 tahun tu muda lagi lah mak, bukannya 60 tahun!" jawab Arrian Syah seperti selalu sehingga Hasnah naik jemu mendengarnya.

"26 tahun tu, bukannya muda Arri, lebih dari layak nak jadi bapak orang." Leter emaknya lagi.

" Dahlah mak, cakap pasal ni. Kalau jodoh Arri sampai, on the spot Arri rempit dari Penang bawa calon bini Arri jumpa mak, okey?" Pujuk Arrian Syah lagi.

Hasnah menjegilkan matanya. Perkataan rempit membuatkan hatinya dijulang api.

"Jangan nak mengatal nak merempit macam dulu. Tak serik-serik lagi accident? Ingat, janji Arri pada mak. No rempit-rempit, okey? Ingat dulu, masa hang eksiden siapa yang dok jaga hang? Tukar pampers, basuh berak dan kencing hang?" Hasnah memberikan amaran pada anaknya yang pernah bergelar mat rempit tersohor di Pulau Pinang beberapa tahun yang lalu.

Namun, kemalangan membuatkan anaknya serik dan bertaubat dari merempit. Minta-mintalah bukan taubat sambal belacan, hilang pedas makan balik. Taubat nasuha namanya.

Merah padam muka Arrian Syah mendengarnya. Malu! Tapi apa boleh buat kecederaan parah yang diterimanya membuatkan dirinya harus diuruskan dari hujung rambut ke hujung kaki oleh emaknya.

"Mak ni, janganlah cakap kuat-kuat. Malu tau kalau orang dengar. Alah esok-esok, manalah tahu sampai pula giliran Arri nak tukar pampers mak, Arri sanggup apa. Arri tau, mak adalah ibu mithali, sanggup buat apa saja untuk Arri.

Mak, mak janji jangan bocor rahsia kita tau? Ini soal hidup mati Arri, kalau orang lain tau habislah maruah Arri mak!" Arrian Syah berbisik perlahan pada emaknya. Hasnah mengeleng-geleng kemudian tersengih. Arrian Syah memang anak emak.

"Nak malu apa? Arri tu anak mak, dari kaki sebesar ibu jari, mak jaga hang. Mak taulah, dekat bakal bini Arri pun, mak tak akan pecah rahsia sulit ni. Tapi, Arri tu ingat pesan mak. Jangan dok bawa motor laju-laju sangat. Bahaya!"

"Iyalah mak, Arri dah tak buat kerja sia-sia lagi mak. Mak, siapa yang buatkan kuih ketayap ni?" Tanya Arrian Syah apabila matanya tertancap pada kuih itu.

"Siapa lagi? Isma lah! Dia kan tahu hang nak balik, itu yang dia buatkan kuih ni. Isma kan sukakan Arri, Adi kawan dengan dia dari kecil lagi. Macam-macam dia tu buat nak ambil hati Arri, tapi Arri sikit tak pandang dia sebelah mata. Nanti kena sambar orang, baru padan muka.

Mak berkenan sangat, cantik, lemah-lembut, pandai masak.... keluarga pun baik-baik. Arri nak yang macam mana lagi? Nak tunggu bidadari turun dari kayangan?" Hasnah menambah lagi.

Ismaliza? Jiran sebelah rumah yang Arrian Syah sedia maklum memang tangkap cintan dengannya sejak sekolah rendah lagi. Ini sudah kategori cinta cucu monyet. Masalahnya sekarang, hati lelakinya langsung tidak terpikat, kalau tidak sudah lama di sapu bersih Ismaliza itu, buat bini.

"Mak, Arri anggap Isma tu macam member je mak, tak boleh lah nak lebih-lebih. Mak sabaqlah, Arri belum bersedia nak jadi suami orang. Lagipun, nak kahwin ongkosnya kena banyak, duit pun tak cukup lagi. Macam mana nak kahwin?" Arrian Syah memberikan alasan.

Sebenarnya simpanannya sudah RM27 ribu. Kalau hendak berkahwin, memang lebih dari cukup setakat kenduri-kendara di kampung.

Hantaran dalam RM7 ribu atau RM 8 ribu. Bajet kenduri dalam RM 10 ribu, pi mai, pi mai memang cukup RM27 ribu. Lainlah kalau dia kahwin dengan anak raja atau artis popular, memang tak cukuplah jawabnya.

Hasnah mencebik.

"Iyalah tu, ingat mak tak tahu yang hang menyimpan duit kan? Jangan nak kelentong mak hidup-hidup." Tegur Hasnah.

Arrian Syah melepas keluhan. Bosan bercakap soal kahwin kerana buat masa ini, dia tidak berminat untuk bercinta pun dengan perempuan apatah lagi berkahwin.

Awek pun tak pernah ada seumur hidup. Lagipun, orang yang bercinta selalunya nampak bodoh contohnya rakan serumahnya Johan, Abang Lan dan Fadzli. Angau tak tentu masa, selalu senyum sorang-sorang macam orang gila, tidur termimpi-mimpi, mengigau-igau sampai dia pula jadi mangsa, kalau bergaduh pula sampai tak ingat dunia! Arrian Syah tidak dapat bayangkan dirinya dalam keadaan itu.

"Assalamualaikum," lembut suara memberikan salam. Hasnah menjenguk ke pintu dapur, melebar senyumnya.

Arrian Syah buat-buat bodoh, tahu sangat siapa gerangankah orangnya. Nak kata perempuan tidak tahu malu, kurang ajar sangat rasanya.

4 comments:

Anonymous said...

mia, nama watak hero dh tukar ye? klu x silap dulu nama nya adi putra kn? hehe..

Miakiff Azlisha said...

Ahah, dh tukar. Dh tukar sb nama ni dh ramai guna...dh tak syok jdnya..hehehe..

Anonymous said...

arrian syah, sedap nama tu, sama cam name ank tomok... hehe

Farah Huda said...

Bestnya