Saturday 13 October 2012

LAGU TEMA NOVEL BIDADARI SALJU

LAGU TEMA BIDADARI SALJU

                                                 


                                                         SAYAP TERLUKA *PANJI*
Sayap Terluka

Dalam keributan hembusan beliung
Terbanglah aku sang camar hina
Mencari singgahan andainya kau sudi
Menghampar kasih di pantai hati

Dah lama kupuja kini jadi nyata
Sayang hanya untuk seketika
Sayap ku terluka ditimpa bencana
Akhirnya diri aku sendiri yang sengsara

( korus )
Ku tahu diri ini bagai menggapai bintang di langit
Tersingkir jatuh tiada pernah kau peduli
Rapuhnya cinta kita patah terkulai di ranting hampa
Pedih terluka tiada siapa yang endahkan

Biar derita biar sengsara aku rela
Menjadi mangsamu
Akanku simpan di nurani ini kenangan antara kita
( hingga akhir nanti oh... )

(2)
Kini kan tinggal cinta dan kasihku
Umpama pungguk merindu bulan
Tak mungkin tercapai hasrat hati ini
Biarpun harus ku tunggu seribu tahun lagi

Friday 12 October 2012

BAB 2 PENAWAR TANGISKU

2




"Awal Nia balik? Dah habis ke nasi lemaknya?" Soal Aminuddin sambil terbatuk-batuk. Dia meraup buluh dengan pisau racipnya. Ingin membina sebuah sangkar burung. Ramai yang memuji rekaan sangkar burungnya unik dan kreatif. Sudah ada yang menempah sangkar burung darinya.

Dania melepaskan lelahnya setelah mengangkut peralatan-peralatan jualannya. Nafasnya dihela panjang. Penat juga hari ini.

"Hmm, awal habis pagi ni. Rezeki ayah. Ayah ni terbatuk-batuk, dah makan ubat ke belum?"Soal Dania dengan tegas. Bukan dia tak tahu betapa liatnya ayahnya ini nak makan ubat. Puas bagi motivasi, kaunseling dan psikologi. Macam-macam alasan yang dia bagi mengalahkan budak-budak. Eleh, mengata ayah konon, kau pun sama juga Dania. Bapak borek anak rintik!

"Semalam kan dah makan? Sudahlah! Bukannya sedap pun, lagipun ayah ni dah tua, sakit pun dah jadi sahabat baik. Makan lah ubat bergelen pun, tak adanya nak sembuh."Kata ayahnya sambil meneruskan kerjanya itu.

"Ishh, ayah ni degil lah. Nia tak kira, ayah kena makan juga ubat. Kalau tak Nia akan merajuk, tak nak cakap dengan ayah!" Dania bertegas kali ini.

"Iyalah! Ayah makan! Dania ni, tau je ayah kelemahan ayah kat mana. Kaki membebel!"Ngomel Aminuddin dengan gelaknya. Lalu dia memakan ubat.

Dania mengelengkan kepalanya. Kadang-kadang geram juga dengan kedegilan ayahnya. Dalam tidak sihat pun, masih mahu melakukan pelbagai kerja.

"Kan Nia suruh ayah rehat je, ayah kan tak sihat? Tak payahlah nak buat semua kerja ni," Dania mengulangi semula pesanan pada ayahnya itu.

"Nia pun tahu ayah ni bukan jenis yang suka duduk diam. Kaki ayah ni dah tak boleh berjalan, habis tu kerja apa sangatlah yang ayah boleh buat? Ayah dah banyak susahkan Nia. Sepatutnya dalam usia macam ni, Nia sambung belajar, bukannya susah payah cari duit nak bela ayah yang dah tua ni?" Aminnuddin mengeluh berat.

"Ayah, Nia tak kisah. Nia ikhlas lakukan semua ni. Dah jadi tanggungjawab Nia sebagai seorang anak untuk berbakti kepada orang tuanya. Nia cuma ada ayah sahaja dalam dunia ni. Saudara mara kita pun, entah kemana perginya. Kepada siapa lagi Nia nak menumpang kalau bukan dengan ayah?"Tiba-tiba situasi bertukar syahdu pula.

Aminuddin melepaskan keluhan yang berat. Berat mata yang memandang berat lagi bahu yang memikul. Sedih memikirkan nasib anaknya ini.

"Ayah ni dah tua, bila-bila masa ajal akan datang menjemput ayah. Ayah sentiasa mendoakan kebahagiaan dan keselamatan Nia. Berjanji dengan ayah, walau apa pun yang terjadi selepas ni, banyak-banyak bersabar, jangan berputus asa dari rahmat Allah. Teruskan kejar cita-cita Nia sampai Nia berjaya, ayah sayang Nia!" Aminuddin mengelus rambut ikal milik Dania itu. Dania yang mendengar berasa tidak sedap hati kerana tiba-tiba sahaja ayahnya bermain dengan emosi. Hatinya begitu terusik.



 


Dania mengayuhkan basikalnya selaju yang mungkin untuk sampai ke rumah. Selepas jualan nasi lemaknya habis awal tadi, dia terus ke pasar untuk membeli barang-barang basah kemudian ke pejabat pos untuk membayar bil elektrik dan bil air. Ramai betul orang di pejabat pos tadi, membazir hampir dua jam di situ.

Sudah seminggu Khaliff  memborong nasi lemak Dania. Pukul 9.00 pagi sahaja habis jualan nasi lemak Dania. Ramai yang merungut-rungut kerana sudah beberapa hari tidak dapat membeli kerana kehabisan. Pernah juga suatu pagi tu, hujan turun dengan lebatnya. Jualan nasi lemak agak merosot pagi itu. Boleh pula Khaliff datang memborong semuanya. Rasanya hampir-hampir 250 bungkus.

'Kadang-kadang pelik memikirkan pelanggan aku yang sorang tu, terlebih suka benar membeli nasi lemak aku ni! Dah tahap kronik sangat, katanya sudah ketagih. Hisyy, ingat aku ni jual air ketum ke? Tiap kali dia datang, suka tenung muka aku lama-lama. Sampai aku ni dah perasan, tapi belum sampai ke tahap syok sendiri. Pertama kali aku berjumpa lelaki pelik macam tu. Tapi entahlah, aku tak berminat langsung dengan dia, tak ada rasa sesuatu pun dalam hati.'

Teringat perbualan dengan lelaki itu dua hari yang lepas.

"Nia, saya sebenarnya nak kenal awak dengan lebih rapat lagi." Pinta Khaliff dengan suara yang begitu yakin. Berkerut dahi Dania mendengarnya.

"Hah? Kenal rapat? Macam mana tu?"Soal Dania dengan bendulnya. Tangannya ligat membungkus nasi.

"Pertama saya lihat awak, hati saya ni dah terpikat. Asyik terbayangkan wajah awak. Err, apa kata kita mulakan hubungan kita dengan ikatan persahabatan dulu? Saya harap err...awak sudi. Sebenarnya ini pertama kali saya cakap macam ni dengan perempuan. Saya sebenarnya sukakan awak..." Khaliff meluahkan isi hatinya.

Dania yang mendengarnya terlopong. Hampir-hampir mahu tercampak jantungnya kerana terkejut. Apa jenis lelaki lah ni, cakap terus terang, langsung tak ada kias-kias? Buat malu aku je...

Melihat reaksi negatif Dania itu membuatkan Khaliff segera berkata, "err, saya tak akan paksa awak terima saya. Awak fikirkan dulu. Saya betul-betul ikhlas." Ujar lelaki itu sebelum berlalu.

Dania tersedar dari lamunannya. ' Hissy, pehal pula aku terfikirkan mamat tu? Lagipun sekarang bukan masanya untuk aku memikirkan soal lelaki. Banyak benda lagi aku kena fikir dan ayah adalah keutamaan aku sekarang. Aku nak kumpul duit banyak-banyak, nak rawat kaki ayah sampai sembuh. Alhamdullilah, dalam minggu ini sahaja aku dapat simpan RM1000. Syukur alhamdullilah! Ingat jual nasi lemak, tak boleh cari makan ke? Kalau laku, memang boleh buat duit tau!'

Dalam kesungguhan Dania mengayuh basikalnya tiba-tiba sahaja sebuah kereta mewah dipandu dengan begitu laju melewati Dania. Kelajuan yang sangat menakutkan.

"Hisyy, apalah orang ni bawa kereta laju gila. Tak takut accident ke? Nak mati kot agaknya?" Sebaik sahaja menghabiskan katanya, tiba-tiba kereta yang laju tadi melanggar pembahagi jalan dan jatuh terbalik dihadapan mata Dania membuatkan Dania terlopong dan terkesima. Berdentum bunyinya!

Ya Allah, masinnya mulut aku!! Dania menelan air liurnya. Dia memerhati sekitarnya. Tiada kereta mahupun motosikal yang melewati jalan. Ya Allah, apa aku nak buat ni? Serta merta dia tenggelam dalam situasi cemas dan mendebarkan kerana pertama kali dia menyaksikan kemalangan secara langsung di depan matanya.

BAB 2 PENCABUL KALBU


2



Aufa Dhiya mengisi minyak ke dalam tangki motosikalnya sejumlah RM5.00. Setelah selesai, dia menghidupkan enjin motosikalnya dan kembali meneruskan perjalanan namun pahanya bagaikan bergetar.

'Apasal paha aku ni? Kena penyakit parkinson pula ke? Vibrate telefon rupa-rupanya. Hai, buat terkejut betul le, ingatkan terkena penyakit tadi. ' Desis hatinya. Terus sahaja dia berhenti di tempat pam angin. Dijawabnya panggilan itu. Namun wajahnya berubah apabila pemanggil itu adalah abahnya.


            “Aufa, abah ni,” lembut bicara abahnya itu.


“Hmm, ada apa abah call ni? Lama tak dengar citer, sibuk sangat lah kan, tapi sekarang ni ada masa pula nak call,” tanya Aufa Dhiya.


Dia yakin tentu ada sesuatu yang abahnya inginkan dari dia. Kalau tidak jangan harap hendak menghubungi dia bertanya khabar. Balik rumah menjenguk mama pun dua tiga bulan sekali. Itu pun sekejap sahaja pulang ke rumah.


            “Aufa sihat? Maaflah abah sibuk sikit sejak akhir-akhir, dapat banyak tawaran berlakon. Itu yang tak balik,” cerita abahnya dengan mesra.


            Uhh, sibuk berlakon konon. Sibuk dengan bini nombor dua dia lah tu! Sampai sanggup mengabaikan tanggungjawab terhadap mama dan Aufa Dhiya.


            “Tak pe abah. Dari Aufa kecil lagi, Aufa dah faham sangat masalah abah. Abah ada ke, tak ada ke, sama je.” Balas Aufa dengan sinis.


            “Aufa, errr macam ni. Abah errr, abah nak pinjam duit dari Aufa boleh? Sebenarnya abah belum dapat lagi payment lagi. Mungkin minggu depan dapatlah. Adik Aufa, Tini tu nak pakai duit. Nak beli buku, tolong abah boleh?” Pinta abahnya dengan suara yang lembut.


            Aufa Dhiya tersenyum sinis mendengarnya. Dia sudah agak, memang ini niat abahnya menghubungi dia. Hatinya begitu sakit, perit. Luka yang sedia ada, bertambah dalam jadinya. 'Ingat aku ni, cop duit ke? Sudahlah tanggungjawab dia, aku yang kena pikul! Sabar je lah dapat abah perangai macam ni.'


            “Kalau Aufa ada duit sekalipun, Aufa tak akan bagi pada abah. Rupa-rupa ni, niat abah telefon Aufa? Ingatkan nak tanya khabar Aufa dan mama? Selama ni Aufa dan mama bekerja keras nak teruskan hidup, dengan hasil titik peluh kami sendiri sedangkan abah langsung tak pernah ambil tahu dan bertanggungjawab pada kami.


            Aufa bukannya bergaji besar, abah. Gaji tu cuma cukup-cukup makan je, mama pun tak berapa sihat sekarang ni. Dah tak larat nak buat kuih macam dulu. Semua perbelanjaan rumah bergantung pada Aufa seorang. Abah pernah ke nak ambil tahu masalah kami? Sekarang ni, abah nak Aufa tanggung pula anak-anak abah tu?


            Hutang lama pun belum dibayar lagi, nak tambah pula hutang baru? Nak bayar balik konon, tak adanya abah nak bayar balik pun. Kalau abah ada duit, abah lebih suka habiskan duit tu pada bini baru babah berbanding mama.


Aufa tak akan bagi, sebab duit yang ada ni pun cukup-cukup untuk belanja Aufa dan mama. Sepatutnya abah bagi duit, bukan minta duit! Lain kali, kalau call setakat nak menyusahkan Aufa, baik tak payah call!” Terus sahaja Aufa Dhiya mematikan talian telefon.


Air matanya mula bergenang. Hatinya sakit. Kenapa abahnya bersikap begini? Langsung ke tiada rasa simpati dan empati pada dia dan mama? Sampai bila abahnya akan berubah? Dia sudah penat menunggu. Dia bukan sengaja hendak berkurang ajar namun abahnya semakin keterlaluan. Aufa Dhiya hanya kasihankan mamanya yang begitu setia pada abah sedangkan abah bukan sahaja mengkhianati mamanya, malahan langsung tidak bertanggungjawab serta adil dalam berpoligami.


            Aufa Dhiya menghidupkan motosikalnya dan kembali meneruskan perjalanan dengan hati yang sedih. Emosinya bagaikan terganggu memikirkan nasib dirinya ini.




DALAM perjalanan pulang ke apartmentnya, Khalish Aqimie berbual-bual dengan Muaz, sahabat baiknya yang sama-sama membesar di rumah anak-anak Seri Kembangan. Persahabatan mereka terus erat dan berkekalan sehingga dewasa. Kini Muaz sudah menjadi pengurusnya dan menyusun segala aktiviti seninya.


            “Hari ahad ni, ada majlis pelancaran untuk filem Ombak Pantai tu di Mid Valley, so kita akan gerak ke sana pukul 8.30 pagi. Siap lah kau hadap wartawan pasal gossip cinta kau dengan Liyana dah meletup-letup dalam paper, sampai bila nak diam je ni?” Tanya Muaz yang sedang memandu kereta Nissan Lady milik Khalish Aqimie.


            “Kalau aku cakap tak betul, orang tetap akan bercakap. Lagipun, Liyana tu macam sengaja buat pengakuan yang membuatkan orang dan wartawan memang percaya aku dengan dia memang ada affair. Apa masalah dia pun aku tak tau? Nombor telefon aku dia, dia tak ada….apatah lagi nak ada affair pula,” balas Khalish Aqimie dengan sedikit emosi .


            Dia sedar yang artis baru itu cuba mengodanya. Malas dia hendak melayan. Hatinya tidak tertarik langsung.


            Muaz tergelak kecil. Maklum sangat dengan perangai Khalish Aqimie ini.


            “Okey apa, kalau kau ada affair dengan dia. Cantik, hot, seksi, glamour…..lagipun, dia tu macam berminat je dengan kau. Dah banyak kali risik nombor telefon kau dari aku. Tapi macam biasalah, aku tau prinsip kau, nombor telefon kau hanya untuk orang yang terdekat dengan kau je sebab tu aku tak bagi,” balas Muaz sambil ketawa.


            Khalish Aqimie mengelengkan kepalanya.


            “Sudahlah malas aku nak cakap pasal ni, dia cantik ke, seksi ke, hot ke, itu pendapat kau. Tapi kalau aku, aku tak pandang semua tu. Aku lebih suka melihat perempuan dari segi dalaman, bukan luaran. Kalau luaran dia, dah boleh nampak dia tu jenis perempuan yang macam mana, memang aku tak akan berkenan.” Jawab Khalish Aqimie.


            “Kau ni tak habis-habis dengan perangai cerewet kau. Kalau kau nak yang perfect macam yang kau nak, susahlah. Sampai berjanggut putih pun kau tak akan ada bini. Kau tak jeles tengok aku? Dah ada bini, tak lama lagi bakal jadi ayah. Kau tak teringin ke nak ada keluarga? Kita ni anak yatim Qimie, sampai bila hidup sendirian. Tak mahu ke, membina keluarga sendiri, tak mahu merasa kasih sayang hidup berkeluarga?” Muaz mengutarakan isu ini.


Mama Yaniey pun, suruh dia memujuk Khalish Aqimie agar terbuka hati untuk membina keluarga.


Khalish Aqimie melepas keluhan. Tipulah kalau dia tidak cemburu melihat kebahagiaan Muaz bersama isterinya Lily. Lily pun sudah hamil sebulan. Tidak lama lagi, Muaz akan bergelar seorang ayah.


Cuma dia tidak yakin dengan kemampuannya untuk bergelar suami dan ayah. Dia takut kalau-kalau dia gagal. Gagal membimbing isteri dan gagal dalam mendidik anak-anak. Seperti mana gagalnya ibu dan ayahnya dalam mengemudi sebuah rumahtangga dan gagalnya mereka dalam mendidik dan membesarkan dia. Lagipun, susah hendak mencari perempuan yang memahami dirinya. Dia tidak layak memberikan kasih sayangnya pada sesiapa pun dan tidak layak juga menerima kasih sayang dari sesiapa pun.

Khalish Aqimie masih teringat lagi, ibu dan ayahnya tergamak membuangnya kerana dia bagaikan menjadi beban untuk mereka. Dia dibuang begitu sahaja di tepi jalan. Sepanjang dia membesar di rumah anak-anak yatim, tidak pernah ke dua ibu bapanya datang melawatnya dan membawanya pulang. Dia membesar tanpa kasih sayang. Hatinya tidak kenal erti kasih sayang dalam keluarga. Dia takut nasib yang sama akan menimpanya jika dia berumahtangga. Bimbang kalau-kalau isteri dan anaknya pula akan meninggalkan dia nanti seperti mana dia ditinggalkan ibu bapanya dulu. Tidak sanggup menerima dugaan begini sekali lagi.


“Malaslah Muaz, aku suka hidup sorang macam ni. Tak payah nak sakit-sakit kepala fikirkan masalah.” Jawab Khalish Aqimie menutup kegusaran hatinya.



Muaz mengelengkan kepalanya. Tahu sangat sifat degil sahabat baiknya ini. Dari kecil, hanya Muaz sahaja yang suka berkawan dengan Khalish Aqimie kerana Khalish Aqimie kadang kala suka bersendirian dan tidak gemar bergaul. Mujurlah semakin menginjak dewasa, Khalish Aqimie sedikit berubah. Kerjayanya sebagai pelakon membuatkan dia lebih matang dan bijak bergaul. Cuma masa mula-mula menjinakkan diri dalam bidang ini, ramai yang mendakwa dia sombong kerana dia lebih suka mendiamkan diri di lokasi penggambaran.

Muaz teringat lagi, kunjungan pelakon popular Ahmad Syah ke rumah anak-anak yatim suatu ketika dulu, benar-benar mengubah Khalish Aqimie. Keramahan dan kemesraan yang Ahmad Syah membuatkan Khalish Aqimie bertekad ingin mengikuti jejak langkah Ahmad Syah. Ahmad Syah bagaikan idola dan menjadi pendorong untuk Khalish Aqimie menceburi bidang seni. Ahmad Syah turut menganggap Khalish Aqimie seperti anaknya sendiri.


“Kahwin bukan nak bagi masalah tapi, nak selesai masalah. Kau ni Qimie, cubalah belajar lembutkan sikit hati kau tu. Kalau lah kau boleh jadi romantik macam watak Hariz dalam Ombak Pantai, alangkah indahnya dunia aku. Aku dan mama Yaniey orang yang paling bahagia sekali tau?


Berhasil juga yea, kelas lakonan aku tu? Mesti ramai yg suka lakonan kau.” Puji Muaz yang cukup berbangga dengan lakonan Khalish Aqimie dalam filem Ombak Pantai. Memang romantik habis mamat ini. Tentu cair hati semua wanita yang menonton lakonannya.


“Iyalah tu, aku ni habis geli tau tak berlakon babak-babak romantik macam tu. Sebab kau cabar aku yang aku terima tawaran filem ‘Ombak Pantai’ tu, kalau tak jangan harap. Kalau dalam reality aku nak jadi mat jiwang macam tu, huh kirim salam banyak lah, lepas ni make sure adegan-adegan romantik dalam tawaran yang seterusnya nanti, tak banyak sangat macam filem 'Ombak Pantai' tu, rimas aku!” Khalish Aqimie pun rimas untuk menonton semula lakonannya dalam filem romantik itu.


            Muaz tergelak besar mendengarnya.


            “Perempuan mana yang malang jadi bini kau nanti ya? Kesian dia…. Ya Allah…” Tiba-tiba saja Muaz menyeru nama ALLAH dengan panik dan tekejut.


Berdesit tayar kereta apabila Muaz menekan brek dengan tiba-tiba kerana sebuah motosikal tiba-tiba keluar dari stesen minyak tanpa menoleh kiri dan kanan. Akibatnya, pembonceng motosikal yang dilanggar itu terjatuh dan terbalik motornya.

Thursday 11 October 2012

BAB 1 PENAWAR TANGISKU

Bab 1



Sinar mentari mula memancar di ufuk timur, kedinginan pagi kian menghilang. Khaliff menghirup udara segar di Kampung Seri Menanti yang terletak dipinggir pantai yang indah. Sungguh indah dan permai suasana di desa berbanding kesibukan kota yang dinodai dek pencemaran-pencemaran alam.

Kedatangannya ke sini ingin melawat tapak projek pembinaan resort oleh syarikatnya. Alhamdullilah segala-galanya berjalan dengan lancar. Hampir 50% kerja-kerja pembinaan sedang giat dijalankan.

"Assalamualaikum En. Khaliff! Awal pagi ni?" Laung Pak Samad, pengawal keselamatan yang bertugas di pintu masuk tapak projek ini.

"Waalaikumussalam. Tak adalah awal, dah pukul 8.30 pun. Pak Samad bertugas shiff pagi ke minggu ni?"Soal Khaliff dengan ramah.

"Ahah, Pak Samad shiff pagi. Malamnya Sameon dengan Ismail yang bertugas. Er, En. Khaliff ni.....Pak Samad ada belikan nasi lemak lebih. Kita sarapan sama-sama. Air pun Pak Samad beli lebih ni." Pelawa Pak Samad dengan mesra.

"Ishh, buat susah-susah je."

"Apa pulak, selalunya En. Khaliff belanja Pak Samad makan, hari ni Pak Samad belanja En. Khaliff pula. Kalau En. Khaliff nak tau, nasi lemak ni adalah nasi lemak yang paling sedap dan popular kat kampung ni. Tiap-tiap hari memang laris macam goreng pisang! Rugi kalau tak cuba!" Begitu bersungguh-sungguh nampaknya Pak Samad mempelawa Khaliff. Khaliff tergelak kecil dan mengangguk.

"Hmm, kalau dah begini gayanya saya mesti makan juga ni!" Khaliff duduk dibangku bersebelah Pak Samad.

Nasi lemak daun pisang dibuka dan dihidangkan di hadapannya. Aromanya yang begitu wangi membangkitkan selera. Khaliff menyuapkan nasi itu, semulut...dua mulut....tiga mulut. Ya Allah, sedapnya tidak terkata. Siapakah gerangan makcik yang memasak nasi lemak sesedap ini? Seumur hidup Khaliff, rasanya ini kali pertama dia makan nasi lemak yang paling sedap.

"Sedapnya Pak Samad. Dah habis sebungkus saya bedal!" Puji Khaliff dengan penuh terujanya. Pak Samad tergelak kecil lalu menghulurkan sebungkus lagi nasi.

"Aik, banyak beli?"Soal Khaliff.

"Pak Samad kalau beli nasi lemak ni, memang beli lebih sebab tak pernah cukup. Dah dua hari Pak Samad tak makan nasi lemak ni, sebab gerainya tutup. Tak senang duduk Pak Samad dibuatnya." Beritahu Pak Samad pula.

"Ohh, kat mana gerainya? Siapa yang menjualnya?"

"Dania. Dia jual kat depan rumah dia, nun di simpang sana." Cerita Pak Samad.

"Sedap betul makcik ni buat. Jatuh cinta saya dengan masakannya Pak Samad!" Pak Samad ketawa mendengarnya.

"En. Khaliff ni, Dania tu bukan makcik, budak lagi. Umurnya baru 19 tahun, tengah tunggu keputusan STPM. Dia yang masak nasi lemak ni." Cerita Pak Samad. Khaliff menepuk dahi.

"Lah, ye ke? Manalah saya tahu. Iyalah, susah nak cari anak dara zaman sekarang ni yang pandai masak macam ni. Rajin betul budaknya ya?" Puji Khaliff yang mula berminat untuk mengenali gadis ini.

"Hmm, Dania tu memang bagus sungguh, terdidik budaknya. Tahun lepas, maknya meninggal dunia kerana kemalangan jalanraya. Ayahnya selamat tapi lumpuh akibat kemalangan tu. Jadi, dia yang mengambil alih tugas ayahnya mencari rezeki dengan menjual nasi lemak ni. Pandai mengaji budaknya, pelajar SPM terbaik sekolah. Tapi, dia tolak tawaran belajar kerana masalah kewangan. Sambung STPM pun dibiayai oleh gurunya. Kasihan dia." Cerita Pak Samad dengan penuh simpati.

Khaliff menganggukkan kepalanya. Dalam hatinya bagaikan mengeluarkan perintah agar dia menemui gadis ini yang tiba-tiba bagaikan menarik minatnya biarpun tiada lagi pertemuan antara mereka.


Jam menunjukkan pukul 6.30 pagi. Dania mula membungkus nasi lemaknya sebelum para pembeli mula membanjiri gerai kecilnya ini. Kalau tidak, tak menang tangan dibuatnya. Seawal pukul 4.00 pagi, Dania akan bangun dari tidur untuk memasak nasi lemak dan lauk pauk seperti sambal udang, telur rebus, kerang masak lada, daging masak kicap dan sambal sotong. Setiap hari dia akan memasak 25 kg beras untuk menampung permintaan pelanggan. Selalunya dalam pukul 10.30 pagi, nasi lemaknya sudah habis di jual.

Tiba-tiba sebuah kereta Toyota Harrier berhenti di sebelah gerainya. Turun seorang lelaki yang berkulit hitam manis memakai t shirt dan jeans biru gelap. Siapa dia ni? Tak pernah aku nampak pun? Pelanggan baru kot?

Lelaki itu tersenyum mesra dan Dania turut membalasnya. Sebagai peniaga yang mesra pelanggan senyuman itu adalah penting untuk memikat pelanggan, bukan mengorat pelanggan ya?

"Err, beli nasi lemak ke?"Soal Dania seperti biasa pada setiap pelanggannya.

"Awak ni, Dania kan?" Soal lelaki itu sambil matanya tepat menujah ke wajah Dania. Lain macam je mamat ni pandang muka aku?

"Ya, saya. Mana awak tahu nama saya?" Soal Dania.

"Err, semalam saya ada makan nasi lemak awak. Pak Samad yang beli. So, hari ni saya datang beli sendiri. Sedap nasi lemak yang awak masak. Rasanya dalam hidup saya, ini pertama kali saya makan nasi lemak yang paling sedap." Puji lelaki itu terang-terang.
            Merah padam muka Dania mendengarnya. Segan. Aku yang mendengar pula terasa malu. Biasalah nasi lemak buatan aku memang sedap pun, tak payah puji pun tahu. Tapi tak payahlah memuji melampau sampai macam ni, over pula mamat ni!  

"Oh ye ke? Hmm, terima kasih. Err, encik nak berapa bungkus? Lauk apa?" Soal Dania mengawal rasa malunya dipuji secara terang-terangan ini.

"Err, saya nak beli dalam 50 bungkus!" Dania terkejut mendengarnya. Terbuntang biji mata. Mak oi, 50 bungkus? First time dalam sejarah pembungkususan nasi lemak aku, ada seorang pelanggan yang membeli 50 bungkus sekaligus.

"Be... be..betul ke ni awak nak beli 50 bungkus? Saya salah dengar ke?" Soal Dania lagi sambil tersengih tawar. Lelaki itu tergelak kecil. Lucu melihat reaksi Dania ini, sudah pastilah terkejut, sekali nak beli borong 50 bungkus.

"Iya lah, saya serius. 50 bungkus! Kalau tak percaya, ini depositnya, Rm 50!" Kata lelaki itu. Dania tersenyum kambing. Hisyy, betullah dia nak 50 bungkus nasi lemak! Percaya..percaya....Percayalah!!!!

"Okey..okey...Saya bungkus sekarang. Lauk nak apa ya?"Soal Dania.

"Bubuh je segala lauk yang ada." Ujar lelaki itu lagi. Dania mengangguk tanda memahami. Dia mula menjalankan proses mentapaukan nasi lemak daun pisangnya. Kalau tak cukup, terpaksa lah aku guna plastik pula.
  'Ishh, mamat ni asyik renung muka aku je, arghh jangan dok perasanlah Dania. Dia tu tengok nasiyang kau bungkus ni! Buat kerja kau cepat!'

"Err, nak saya tolong awak ke?"Soal lelaki itu lagi. Dania tersentak, nak tolong? Eee, tak sesuai!!!

"Eh, tak payah! Tapi, awak kena tunggu sebab banyak juga yang saya kena bungkus ni. Kejap lagi pun, mesti pelanggan datang membeli. " Beritahu Dania.

"Takpa. Lama macam mana pun saya sanggup tunggu," kata lelaki itu. Hai, lain macam bunyinya? Tak boring ke dia? Dah tak ada kerja lain agaknya?

"Err, apa kata kalau awak pergi mana-mana dulu, dalam sejam ke awak datang balik, sebab saya rasa lambat juga nak siap ni? Sebab pelanggan setia saya pun boleh tahan juga ramainya. Awak ambil dulu sebungkus dua untuk isi perut. Kang pengsan pula awak menunggu nanti!" Kata Dania sambil tangannya membungkus nasi lemak. Cekap, pantas dan cermat.

"Takpe, saya tunggu. Kalau ada pelanggan lain yang nak cepat, awak kasi kat mereka dulu." Dania sekadar mengangguk. Dia bukan apa, cuma rasa tidak selesa kerana lelaki itu berdiri mengadapnya sambil memeluk tubuh tetapi matanya asyik merenung ke mukanya. 'Kalau aku perempuan gatal, boleh lah beb! Masalahnya aku cukup tak suka spesies lelaki yang suka usha-usha ni! Serba salah jadinya nak buat kerja.'

Dania menayang muka selamba dan tangannya semakin laju membungkus nasi lemak. Pelanggan mula mengerumuni gerai Dania, tidak menang tangan dibuatnya. Mujurlah sahabatnya Hayati, jiran sebelah rumah tiba-tiba baik hati ingin menolong Dania.
         ' Tapi, apa mimpi si Hayati ni? Selalunya, anak dara Pak Ali ni paling liat nak bangun pagi? Matahari dah menegak atas kepala barulah Hayati ni bangun dengan muka serabainya. Biasalah, anak orang senang, lain lah aku ni. Kalau kerja berlingkar dalam selimut alamatnya tak berasap dapur aku tu! Bau semacam je si Hayati ni, mesti tak mandi ni? Tapi muka berbedak dan bergincu, lepas tu asyik kontrol cun habis, tersenyum sengih sambil memandang lelaki yang masih setia menanti. Hai, kesian pula bila tengok muka dia. Asyik tersenyum je, langsung tak marah bila tempahannya lambat disiapkan. Ada juga manusia terlebih sabar macam gini dalam dunia.' Sesekali Dania mengerling pelanggan 'paling sabar', yang asyik merenung muka dia. 

Tepat jam 9.05 pagi, barulah Dania berjaya menyiapkan 50 bungkus nasi lemak yang telah di tempah oleh lelaki yang setia menunggu selama hampir satu jam tanpa jemu. Muka pun asyik tersenyum memanjang. Ada juga manusia macam ni dalam dunia. Penyabar tahap gaban. Kalau aku, dah lama aku bakar gerai ni!

"Err, semuanya RM100...Maaflah, awak. Lambat siapkan, biasalah pagi-pagi selalunya ramai yang datang membeli, semuanya nak cepat sebab mereka tu pergi menoreh lah, hantar anak sekolah lah!" Cerita Dania dengan sopan santun. Hayati yang sedari tadi melirik nakal lelaki ini terus menyampuk.

"Hmm, betul tu. Kami minta maaflah! Err, awak ni nama apa yea? Cantik kereta? Kalau tak salah, awak ni tuan punya tapak projek resort kat hujung kampung kan?"Soal Hayati dengan suara yang sengaja dimanjakan dan badan yang sengaja diliuk lentokkan. Biar menonjolkan bentuk tubuhnya yang seksi ini.

"Err, saya Khaliff. Hmm, saya saja datang melawat tapak projek tu. Kebetulan ke sini sebab, ramai yang puji nasi lemak cik Dania memang sedap. Jadi saya pun dah menjadi salah seorang pelanggan setianya sekarang." Beritahu lelaki yang bernama Khaliff sambil matanya menghala ke arah Dania yang sibuk mengemas gerai nasi lemaknya yang sudah habis jualan.
           Orang lain yang tanya dia, tapi menengoknya orang lain. Kuat betul tarikan magnet gadis ayu bernama Dania ini. Cantik, berwajah lembut dan cukup memikat hatinya biarpun hanya memakai t shirt yang tiada jenama dan track suit. Tudung pun di sarungkan ikut suka hatinya, dan kelihatan senget. Mungkin ketulusan yang ada diwajahnya membuat gadis ini begitu menarik.

Dania sesekali mengerling lelaki itu. ' Ishh, dapat nasi lemak blah lah cepat! Dah lah terpacak kat sini hampir sejam! Apa ke halnya yeop? Nak minta kerja jadi pembalut nasi lemak pula ke dengan aku? Sorry, jawatan kosong tak ada okey?' Desis Dania dalam hati.

"Err, Khaliff....boleh kita berkenalan? Saya Hayati!" Hayati menghulurkan tangannya membuatkan Khaliff tersentak dari khayalan cintanya.  Dia terus menyambut salaman tangan itu.

"Sure,why not...Err, Dania tak nak berkenalan dengan saya ke? Saya Khaliff..."Ucap lelaki itu setelah berusaha sedaya upaya menarik tangan yang dipegang kemas oleh gadis yang bernama Hayati itu.           Kemudian menghulurkan tangannya kepada Dania pula. Berharap agar Dania menerima salam perkenalannya ini. Berkerut dahi Dania dibuatnya. Salam bermakna harus bersentuhan dan berpegangan tangan. Aduhai, aku masih belum mahu mencemari kesucian tanganku ini, dengan sentuhan lelaki yang tidak berhak.Kurang ajarkah aku, kalau aku berterus terang?' fikir Dania.

"Err, maaflah. Saya tak boleh bersalaman dengan awak. Haram hukumnya,"tegur Dania bersahaja.              Hayati terlopong mendengarnya. 'Minah ni sombongnya, kalau aku salam tangan dia sampai ke petang pun aku sanggup! Alah, dosa sikit ja karang taubatlah masa tua! Ya Allah, manusia...manusia...itu pun kalau umur panjang. Mati bukan kenal muda atau pun tua. Bila Izrail datang memanggil, jasad terkubur diperbaringan. Seluruh tubuh akan menggigil....'

Khaliff terkedu mendengarnya. Perlahan-lahan dia menarik tangannya dan air mukanya sedikit berubah.

Dania terus berkata, "awak janganlah terasa hati, saya ni sebenarnya bukannya nak tunjuk alim. Saya pun bukannya bagus sangat. Tapi tak salah kalau kita saling ingat mengingati sesama kita."

"Err, tak apa. Maafkan saya. Saya faham, saya sebenarnya yang salah. Err, esok boleh tak kalau awak bungkuskan nasi lemak 100 bungkus? Ni saya bayar siap-siap. Saya belikan nasi ni untuk pekerja binaan saya. Mereka semua tu, memang suka makan nasi lemak awak ni. Pandai awak masak, jatuh cinta saya dibuatnya..." puji Khaliff dengan ikhlas. Bukan jatuh cinta pada nasi lemaknya, tapi juga pada orangnya. Dania terkesima mendengarnya. Bukan kerana sebutan 'jatuh cinta' itu tapi, pesanan nasi lemak 100 bungkus esok.

"Awak ni, biar betul. Nasi lemak 100 bungkus esok?"Soal Dania dengan mata yang terkebil-kebil.

"Emm, tapi saya datang pukul 10. Kasihan pula tengok awak tadi, mana nak siapkan tempahan saya, mana nak siapkan tempahan pelanggan tetap awak." Dania memanjat kesyukuran. Baguslah kalau Khaliff datang ambil tempahan pukul 10.00 pagi. Hanya Allah sahajalah yang tahu betapa kalutnya aku tadi.

"Err, kalau macam tu saya pergi dulu. Terima kasih," ucap lelaki itu.

"Sama-sama Khaliff! Datang tau esok, saya tunggu awak." Laung Hayati dengan gaya over acting gediknya. Khaliff hanya tersenyum sebagai balasan.

Dania menyambung kerjanya seperti biasa, namun sedikit pun tidak berpaling apabila lelaki itu yang menekan hon. Hanya Hayati sahaja yang melambai-lambai.

"Hensemnya!!!!" Puji Hayati dengan penuh dramatik. Dania tidak pedulikan kata-kata itu. Biarlah si Hayati ni merapu sorang-sorang dia.

"Nah, upah kau sebab tolong aku...." Dania menghulurkan sedikit duit untuk Hayati.

"Tak payah. Aku dah banyak duit. Aku datang tolong kau pun sebab Khaliff tu. Agak-agak, dia tu suka aku tak? Berkati aku letak bedak ni!  Esok, aku datang lagi tau, tolong kau. Tak sabar nak jumpa Khaliff tu! Dia tu bagaikan prince charming aku tau! Aku akan pastikan dia jatuh cinta dengan aku. Aku sanggup tau berkorban masa tidur aku demi untuk dia? Sekarang ni nak balik sambung tidur balik. Huargghhh......" Hayati menguap luas tanpa menutup mulut. Dania bagaikan terpukau dek bau itu. Mak oi bau, Allah sahaja yang tahu betapa busuknya. Inilah yang dikatakan cantik pada luaran semata-mata agaknya? Sabar jelah wahai hidung...

Penawar Tangisku

Jom baca karya Mia Penawar Tangisku...Ini adalah karya pertama Mia yang Mia tulis pada usia 21 thn, so dah 8 tahun usia karya ini....

PENAWAR TANGISKU

PROLOG


"Abang minta maaf Mun,abang terpaksa mungkiri janji setia kita. Abang inginkan zuriat Mun. Tapi dah hampir 6 tahun kita kahwin, Mun masih tak dapat bagi abang zuriat sedangkan kita dah puas beriktiar. Abang betul-betul ikhlas kahwin dengan Kartika. Abang berjanji, abang akan berlaku adil." Pinta Johari pada isterinya yang sudah lencun dengan air mata.

Dia sedar tiada wanita yang mahu berpoligami. Dia juga sedar yang bermadu juga bagaikan sumpahan untuk setiap kaum wanita. Namun sebagai lelaki, dia tidak boleh menipu diri sendiri. Dia mencintai dua wanita dalam masa yang sama. Kartika adalah cinta pertamanya. Namun, kerana cinta yang terhalang dek kerana orang tua Kartika menyebabkan hubungan mereka terpaksa diputuskan. Akibat dari kekecewaan itu, Johari mengahwini Maimun yang merupakan pilihan keluarganya.

Kartika kembali semula dalam hidupnya apabila kedua ibu bapanya meninggal dunia. Kartika juga yang memberikan dia nafas untuk meneruskan perniagaannya yang hampir bankrap. Kini syarikat barunya, adalah hasil budi baik Kartika padanya. Cinta mereka bagaikan kembali tersulam. Sukar untuk menolak cinta itu kerana sudah bermukim di dada.

"Terpulang pada abang. Mun, dah tak ada perkataan yang sesuai lagi untuk dikatakan, sebab hati Mun dah terluka. Mun nak bercerai, Mun tak sanggup dimadukan." Pinta Maimun dengan hati yang sangat terluka. Begitu mudah suaminya memberi alasan sebegini padanya. Dia langsung tidak boleh menerimanya sampai bila-bila.
 
Tergamak Kartika dan Johari mengkhianatinya. Bernikah senyap-senyap di Thailand. Tidak menyangka kebaikan Kartika selama ini, hanya lakonan semata-mata. Perempuan tak guna itu merampas suaminya hanya kerana dia tidak mampu memberikan zuriat.

Johari tergamam mendengarnya. Tidak, dia sayangkan Maimun. Dia tidak sanggup melepaskan isteri pertamanya.

"Mun, jangan buat abang macam ni. Abang cintakan Mun, abang sayangkan Mun. Abang tak ada niat nak mengkhianati Mun. Ini semua takdir Mun, percayalah abang." Rayu Johari.

"Buat apa nak simpan Mun lagi? Mun ni tak berguna kan? Tak boleh nak bagi abang zuriat. Mun ni perempuan mandul! Abang jangan cuba nak berjanji, Mun rasa abang tak akan dapat berlaku adil pada Mun. Bila perampas tu, dah berjaya bagi abang anak, abang dah tak akan ingat Mun lagi dah. Mun tak mahu, kat akhirat nanti, abang menanggung beban dosa ni.

Sekarang, ni Mun dah tekad. Mun nak cerai juga...! Wekkk!!!" Tiba-tiba Maimun terasa mual dan mahu muntah. Terus saja dia berlari ke singki dan mengeluarkan segala isi perutnya. Johari turut berasa bimbang segera mendapatkan isterinya itu.

"Mun....kenapa Mun? Mun....?" Panggil Johari dengan cemas.

Berulang kali Maimun muntah akhirnya, Maimun terkulai kerana pengsan. Johari panik dan cemas melihat keadaan isterinya itu. Meluru dia pada Maimun, terus sahaja Johari membawa isterinya ke klinik dengan hati yang bimbang.



Maimun mengusap perutnya yang belum kelihatan. Berita baik namun datang pada waktu yang salah. Dia mengandung? Akhirnya impiannya ingin bergelar ibu akan tercapai. Namun, dia telah kehilangan suaminya. Suaminya telah menduakannya hanya kerana dia tidak mampu memberikan zuriat. Tapi kini, dia telah mengandung. Dia berjaya membuktikan yang dia tidak mandul.

Air mata mengalir lesu. Anak ini, anak ini akan menjadi kekuatannya untuk berjuang dalam nafas hidup. sesukar mana pun langkah yang bakal diatur selepas ini, dia akan cuba menguatkan semangatnya demi anak ini.

"Mun, abang minta maaf Mun. Abang tahu abang dah lukakan hati Mun. Tapi semuanya dah berlaku Mun. Janganlah kita berpisah, anak ni anak kita.. abang sayangkan Mun dan anak kita. Abang minta ampun Mun, tolong jangan minta perpisahan dari abang....demi anak ni, Mun sendiri tau kan impian abang,"Johari merayu pada isterinya ini yang nampaknya semakin tawar hati dengannya.

"Selepas saya melahirkan anak ni, kita bercerai." Balas Maimun.

"Mun, abang minta ampun Mun...jangan buat abang macam ni Mun. Tolonglah Mun," rayu Johari dengan hati yang sangat pedih.

Dia akan terus memujuk hati isterinya yang terluka. Betapa bahagianya dia kerana Maimun akhirnya hamil setelah 6 tahun mereka berkahwin. Johari sedar akan salahnya, namun dia tidak akan biarkan Maimun berundur dari kehidupannya.



 

Bahagianya....

Hari ini Mia dah masukkan bab 1 pencabul kalbu...sama2 kita membacanya...
Pencabul kalbu mengisahkan dua manusia yang ditakdirkan bersama. Namun, kehidupan mereka bagaikan banyak perbezaan&sukar. Sebenarnya, tidak. Mereka sebenarnya memang saling melengkapi antara satu sama lain tanpa disedari. Masing-masing mencabul kalbu pasangan dengan sifat dan perangai mereka....terimalah buah tangan ke 3 dari Mia, untuk anda semua. sebarang teguran yang profesional amatlah dihargai.

BAB 1 RAJA DIHATIKU KAYU


1

Bukkkk!!!  Aril tersembam ke tanah setelah Ah Leong menendang kepalanya dengan sekuat tenaga. Darah keluar menyembur dari mulutnya. Terhambur segala kebencian dan kemarahan di situ. Derita sakitnya semakin bertambah. Tiba-tiba matanya tertancap pada pisau Rambo yang berada di tepi tangannya. Perlahan-lahan pisau Rambo yang tajam itu dicapai dan digengam erat. Berkerut wajah menahan kesakitan kerana di libas pedang samurai milik Ah Leong di bahagian lengan, leher, perut dan kakinya. Warna merah kian yang menghiasi t.shirt putihnya. Terbaring dia dalam kesakitan yang kian mencengkam itu.

            Ah Leong tersenyum kemenangan. Hatinya puas, puas kerana pembelot ini akan mati ditangannya.

            “Hahahahah….akhirnya, lu langsi lu mati! Lu cuba cari fasal sama gua! Lu sendiri tau, yang gua ni siapa hah? Lu sendiri tahu yang gua tak akan lepaskan lu, sampai lubang cacing gua tetap cari sama lu! Mampus lu…” jerkah Ah Leong penuh semangat mengangkat pedang samurai yang berkilat itu, ingin dilibas ke leher Aril untuk menamatkan riwayatnya. Biar putus kepala pembelot ini.

            Aril masih mampu berfikir pantas dalam keadaannya yang sudah parah itu. Lantas bangun dan….

            “Arghhh!!!!!!!!!!!” Aril sedaya upaya menggunakan kudratnya yang masih bersisa dengan menghunus pisau rambonya ke perut Ah Leong yang berhati binatang itu. Lelaki ini harus dibunuh kerana dia akan membunuh Arrisa, insan yang dicintainya. Ah Leong sama sekali tidak akan melepaskan Arissa setelah menghapuskan dia.

            Terbeliak mata Ah Leong dibuatnya. Darah menyerbu keluar dari perutnya, semakin lama semakin membasahi pakaiannya.  Nafasnya mula tersekat-sekat akhirnya dia rebah dan mati.

            “Aril!!!!!!” Jerit Arissa dengan cemas dan paniknya sambil meluru ke arah Aril yang sudah rebah semula. Berkerut wajah Aril menahan sakit yang teramat. Namun Aril redha sekiranya dia mati sekalipun, nasib Arissa sudah terbela. Tiada siapa lagi akan memusnahkan dan menganggu hidup Arissa lagi.

            Kepala Aril segera diampu ke paha Arissa. Air matanya terus mengalir lesu melihat insan tercinta sedang bertarung dengan maut.

            “Aril, awak mesti kuat. Aril, awak tak boleh tinggalkan saya, saya cintakan awak…” ucap Arissa bersama tangisan yang lebat.

            Aril yang menyelamatkan dia dari sarang pelacuran Ah Leong. Demi cinta mereka Aril sanggup belot pada Ah Leong. Aril merupakan konco-konco Ah Leong namun mereka saling jatuh cinta dan Aril bertekad untuk membawa dia keluar dari neraka hidup itu. Namun, mahal bayaran untuk nafas hidupnya apabila nyawa Aril kini menjadi taruhan.

            “Arissa…., sa..saya….cintakan aw…awak…” Terketar-ketar suara Aril sambil mengelus lembut pipi insan tercinta ini. Demi cintanya dia sanggup mati. Demi cintanya dia sanggup menentang walau satu dunia sekalipun. Arissa menganggukkan kepalanya berulang kali. Semakin kuat tangisannya.

            “Awak tak perlu cakap apa-apa sayang. Saya tahu awak cintakan saya, saya juga cintakan awak. Awak mesti kuat, saya bawa awak ke hospital,” Arissa cuba memapah Aril.

            “Dah terlambat sayang. Masa saya…dah…..sampai…” sukar Aril mengeluarkan bicaranya. Matanya semakin kuyu.

            Arissa menggelengkan kepalanya berulang kali.

            “Tidak, awak tak boleh tinggalkan saya. Awak dah berjanji nak sehidup semati dengan saya. Tolonglah jangan buat saya macam ni….Saya mesti bawa awak ke hospital sekarang juga, awak jangan berdegil!” Jerkah Arissa dengan air mata yang berlinangan. Aril mengelengkan kepalanya.

            “Tidak sayang, dah….dah ter….lambat. Maafkan…sa…ya. Sa…ya terpak…sa mungkir….janji…pada awak…mungkin….dah sam…pai ajal saya….ja..ga di…ri ya sayang? Saya….cin….takan…awak….” begitu perit sekali Aril meluah kata.

            “Mengucap Aril…mengucap……ingat Allah,” pesan Arrisa sambil mengajar Aril melafazkan syahadah. Berbisik perlahan ke telinganya dengan suara yang tersedu-sedan. Mata putih Aril telah kelihatan. Bibirnya terkumat-kamit,  nafasnya mula tersekat-sekat, dan akhirnya, Aril pergi mengadap Illahi.

            Arrisa memejamkan matanya rapat-rapat dan hanya memeluk Aril dengan erat bagaikan tidak mahu melepaskan insan tercinta pergi, tiada lagi kata-kata yang mampu diluahkan, kerana Aril tidak mungkin hidup kembali. Teringatkan pesanan Aril padanya seminggu yang lalu.

            “Sayang, kalau saya mati, janji dengan saya jangan ratapi kematian saya. Selalu sedekahkan Al Fatihah dan Yassin untuk saya. Percayalah, cinta awak tetap bersemadi dalam hati saya. Kenangan cinta kita adalah yang terbaik pernah saya lalui dalam hidup ini. Terima kasih kerana membahagiakan saya. Teruskan kehidupan awak…..awak mesti kuat dalam melalui hidup ini tanpa saya. Janji dengan saya. Ya sayang?” Arissa terus tenggelam dalam arus perasaannya. Hanya tangisan sayu mengiringi perpisahan mereka. Aril kini sudah kaku dalam pelukannya.

            “Cut!” kata Shamril, pengarah filem Gangster KL pada pelakonnya, iaitu Khalish Aqimie, Liyana dan krew-krewnya setelah babak yang terakhir untuk filem ini telah selesai.

Semua krew-krew penerbitan menarik nafas lega termasuk pelakon-pelakonnya. Hampir dua bulan bertungkus lumus menyiapkan filem aksi ini, akhirnya berjaya di sempurnakan dengan baik.

            Khalish Aqimie bangun lalu menuju ke ruang rehat. Muaz, pengurusnya memberikan tuala untuknya. Peluh yang merinik dahinya di lap kering.

            “Fuhh, tahniah Qimie, memang hebat lakonan kau kali ni. Aku yakin filem ni pun, bakal meletup juga. Filem Ombak Pantai  pun, aku dengar ramai yang bagi respon yang baik.” Puji Muaz melambung.

            Khalish Aqimie tersenyum keletihan. Sepanjang hari ini, masa dihabiskan di set pengambaran filem Gangster KL. Tambahan pula, dia melakukan aksi lasak tanpa bantuan stuntman. Mujurlah segala-galanya berjalan dengan lancar.

            Khalish Aqimie masuk ke dalam bilik persalinan untuk menukar pakaiannya. Setelah selesai, dia keluar semula dan bertemu dengan pengarah filem ini iaitu shamril.

            “Tahniah Qimie, good job. Aku memang selesa bekerjasama dengan kau. Akhirnya selesai juga, lapang dada aku,” Puji Shamril dengan bangganya.

            Khalish Aqimie adalah pelakon yang professional, berdisiplin, dan berbakat besar. Oleh kerana itu, popularitinya semakin meningkat naik. Dia bagaikan pelaris filem-filem kerana bakat dan popularitinya ini.

            Khalish Aqimie tersenyum mendengarnya.

            “Sama-sama Shamril, aku pun happy bekerja dengan kau. Alhamdulilah semuanya dah selesai.” Keletihan jelas terpancar di muka masing-masing.

            “Suntingan akan disiapkan secepat mungkin, aku akan make sure proses dubbing pun akan dibuat dalam jangka masa yang aku tetapkan tu. Nanti aku confem balik dengan PA kau.” Maklum Shamril.

Khalish Aqimie mengangguk kemudian bersalaman dengan Shamril dan krew-krew penerbitan yang lain. Setelah itu dia kembali ke tempat rehat dan mengemaskan pakaiannya ke dalam beg.

            Liyana yang sudah bersiap untuk pulang mendekati Khalish Aqimie yang sedang hangat digosipkan bercinta dengannya. Hari-hari gossip percintaan mereka menghiasi dada-dada akhbar, majalah dan blog-blog hiburan. Siapa tidak gembira digosipkan dengan lelaki idaman Malaya ini? Tambahan pula, namanya semakin dikenali ramai disebabkan gossip ini. Lagipun dia sendiri pun tidak memberi apa-apa komen kalau ada wartawan yang bertanya soal ini. Selamba dia menjawab ‘no coment, kami memang berkawan rapat, kami masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.’ Sedangkan mereka tidak pernah pun menjalin hubungan yang serius.  

            “Hai Qimie…errr, kita keluar minum, nak tak? Penat kan hari ni? Tekak ni, rasa dahagalah....” Tanya Liyana dengan lembut.

            Qimie menoleh ke arah Muaz yang hanya mengangkat bahu. Kalau dahaga, di lokasi kan disediakan air minuman. Matanya tertancap pula pada kuku Liyana yang panjang itu. Dia cukup pantang dan tidak berkenan dengan perempuan yang gemar menyimpan kuku. Baginya pengotor manusia jenis ini.

Memang begitu tabiatnya, kalau mana-mana perempuan berbual dengannya, dia akan membelek kuku terlebih dahulu. Bukan saja perlu bersih, terjaga malahan cara potongan pun perlu cantik. Tapi kalau serupa langsuir jadinya, memang sah lah jenis yang macam mana perangai dan sifatnya.

            “Sorry, saya dah balik ni, penat sangat. Maybe next time,” beritahu Khalish Aqimie dengan muka yang manis. Ikatan persahabatan harus juga di jaga sesama artis.

            Liyana memuncungkan mulutnya, manja. Tapi tidak mungkin dia mampu memaksa Khalish Aqimie pula. Tidak pernah lelaki ini menunjukkan minat terhadapnya. Memang betul-betul professional dalam bekerja. Soal peribadi langsung tidak di sentuh. Kecewanya dia.

            “Okey, saya balik dulu, see you again. Bye!” Ucap Khalish Aqimie kemudian berlalu untuk pulang ke apartmentnya. Belum sempat Liyana meminta nombor telefon lelaki itu, Khalish Aqimie terus berlalu. Melepas lagi nampaknya. Hubungan yang ingin dipanjang tidak kesampaian. Tapi dia tidak akan berputus asa.

Sunday 7 October 2012

Hari Yang Sepi dan Disepikan oleh Penyepi

Assalamualaikum....

Hmmm, tak lama lagi Mia akn update beberapa e novel utk Mia kongsikan buat sume k.... Jika ada sebarang teguran atau kritikan Mia terima. Cuma penulis biasa seperti Mia masih hijau dlm bidang penulisan& dalam proses pembelajaran. Jika tidak suka tegurlah secara berhemah dan kukuh alasannya jangan sampai menjatuhkan semangat orang lain sehingga menyinggung perasaan. Setiap orang ada kelemahan & mesti belajar memperbaikinya. Begitu juga dengan Mia.

Bergelar penulis novel bukanlah untuk mengejar glamour@royalti. Mia cuma menghadiahkan apa yang hati Mia rasa melalui pengalaman hidup Mia dan persekitaran Mia. Mia cuba berkarya jauh dari kotak pemikiran semasa. Mia selitkan unsur emosi yang keterlaluan, aksi, saspen, mistik, cinta dan air mata dalam Bidadari Salju.

Balasan Tuhan buat manusia angkuh seperti Hariz. Dia yang keras hati akhirnya lemah kerana gadis yang pernah dibencinya. Ramai yang tidak gemarkan watak Hariz ini. Seperti pelakon juga, selalunya watak antagonis memang selalu akan dibenci jika pelakon itu berkesan membawa lakonannya meskipun dia bukan jahat. Mia happy juga ramai yg tidak menyukai watak Hariz yang lemah jiwanya dan mudah menangis hanya kerana seorang gadis bernama Kayra. Ini bermakna Mia berjaya garapkan watak ini hingga meninggalkan kesan buat para pembaca. Selalu kita baca mesti heronya, macho, kuat, pembela kaum wanita, ego tapi, Mia cuba menukarkan kebiasaan itu. Ramai yg boleh nampak apa yang Mia buat, dan ada juga yang tidak boleh terima. Hakikatnya, di zaman moden ini senario ini berlaku. It's ok, Mia dapat belajar sesuatu melaluinya.....

TQVM buat anda yang sudi baca karya Mia dan menyukainya. Harapan Mia agar Mia terus bernafas dalam dunia penulisan ini biarpun kadang kala semput juga dibuatnya.. Sayang anda semua.



'Aurat dihati lebih penting untuk dijaga berbanding aurat di badan. Bermakna hati tidak liar dan tidak mengikut nafsu syaitan. Jika aurat dihati tidak dipelihara, maka menutup keseluruhan badan pun tidak menjamin seseorang itu dari berbuat kemungkaran dan dikala itu, aurat dibadan tidak mampu menyelamatkan dia lagi.'

Friday 5 October 2012

PROLOG PENCABUL KALBU


PROLOG


Khalish Aqimie memeluk lututnya sambil cuba menekapkan telinganya dengan ke dua belah tangan. Air matanya mengalir. Jelas tekanan terpampang di wajah kecilnya. Ke dua ibu bapanya bergaduh lagi. Itulah yang selalu berlaku seandainya ke dua manusia ini bertemu. Tengkingan ayahnya YANG, dijawab dengan tengkingan oleh ibunya bagaikan mengegarkan ketenangan dalam rumahtangga yang semakin lama hilang.

                “Kau tau tak, aku menyesal sangat kahwin dengan kau. Hei, perempuan bodoh je yang boleh tahan dengan perangai kau tau tak? Kau buat rumah ni macam hotel. Tu, anak kau langsung kau tak peduli. Aku dah benci dan menyampah tengok muka kau, tau tak? Kalau macam ni, baik kau tak payah balik! Kau pergi, berambus! Kau gilakan sangat pelacur tu kan? Kau kahwin je dengan perempuan kotor tu! Itu je perempuan yang layak untuk lelaki tak guna macam kau!” Tengking ibunya dengan kuat.

                “Kurang ajar! Hei, kau ingat aku suka sangat ke mengadap muka kau ni! Perempuan kurang ajar macam kau ni, lelaki bodoh je yang akan simpan buat bini. Kau jangan ingat aku tak tau tembelang kau selama ni. Kau selalu bawa jantan balik ke rumah kan, masa aku tak ada! Kau pun sama perempuan jalang! Aku dah bosan hidup dengan kau tau tak?” Tengking ayahnya pula.

                “Biarlah, suka hati akulah. Macamlah kau tu baik sangat! Memang aku dah ada penganti kau, lebih baik dari jantan tak guna macam kau ni. Sia-sia saja aku habiskan hidup aku kahwin dengan kau. Ada laki, macam tak ada laki! Lebih baik, aku menjanda lagi baik dari jadi dapat suami haprak macam kau ni! Aku akan keluar dari rumah ni, dan kau ceraikan aku sekarang!” Cabar ibunya lagi.

                “Hei, kau ingat aku kebulur sangat ke nak simpan kau? Baik, aku ceraikan kau dengan talak 3. Kau berambus dari rumah ni! Berambus!!!!” Tengking ayahnya dengan kuat.

                Khalish Aqimie membukakan matanya apabila pintu bilik di kuak. Kelihatan ibunya meluru ke almari dan mula sibuk memasukkan baju-bajunya ke dalam beg. Biarpun Khalish Aqimie tidak pernah di beri perhatian dan kasih sayang oleh ibu dan ayahnya, namun sebagai anak yang masih belum mengerti nafas hidup, dia tetap memerlukan belas ehsan dari ke dua insan yang membawanya ke dunia ini.

                “Ibu, ibu nak ke mana ni?” Tanya Khalish Aqimie lalu memegang tangan ibunya. Terus saja badannya ditolak kasar.

                “Kau jangan nak menyibuk boleh tak? Pergi sana! Bapak kau dah ceraikan aku! Kau pergi hidup dengan bapak kau, dan betina sundal tu!” Marah ibunya tanpa sikit pun rasa simpati pada anaknya yang masih berumur 6 tahun itu.

                “Ibu nak tinggalkan Qimie ke? Ibu...ibu...jangan pergi. Kalau ibu pergi Qimie macam mana?” Tanya Khalish Aqimie dengan tangisan yang mula lebat.

                “Hei betina, anak kau ni, kau bawa sekali okey! Jangan nak tinggalkan beban kau kat sini. Pandai kau beranak, pandailah kau bela dia. Aku tak ada masa nak bela anak haram ni, anak ni belum tentu lagi anak aku! Kau berambus, bawa budak ni!” ayahnya yang tiba-tiba muncul terus menengking ibunya.

                “Kau ni memang tak guna tau tak? Aku tak akan bawa budak ni, kau nak kata apapun, katalah. Ini anak kau bodoh, berani ya kau kata anak ni anak haram! Kau jangan nak samakan aku, dengan betina sudal simpanan kau tu! Memang kau ni lelaki bangsat, tau tak? Aku memang benci kau sampai mati. Jadi apa saja yang berkaitan dengan kau, aku tak kebulur nak simpan. Kau buatlah, apa yang kau nak buat pada anak kau ni! Aku malas nak ambil tau!” Berlaku pergelutan antara ke dua ibu bapanya. Badan ibunya ditolak kasar, kaki ayahnya menendang belakang ibunya.

Khalish Aqimie hanya mampu menangis sekuat hati melihat ibunya dikasari bapanya. Dia benar-benar takut. Takut melihat keganasan ini.

                Ibunya terus sahaja meluru keluar, namun ayahnya terus mendesak ibunya agar membawa Khalish Aqimie bersama. Tangannya diraih kasar, terus sahaja dia ditolak keluar dari rumah. Betapa hinanya dirinya di mata ke dua orang tuanya. Langsung tiada rasa simpati dan kasihan pada anak mereka yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa ini.

                “Hei, betina! Kau bawa budak ni kalau tak, aku pijak dia sampai mampus!” Jerkahnya ayahnya. Khalish Aqimie memegang lututnya yang sakit. Berdarah!





Khalish Aqimie memegang telinganya yang perit dipiat oleh ibunya  yang terus memaki hamunnya. Lutut dan sikunya yang berdarah kerana dihumban ayahnya keluar rumah tadi masih terasa sakitnya. Salahkah dia menangis kerana kesakitan ini?

                “Hei bodoh, kau boleh diam tak? Kau ni, dengan bapak kau sama je! Menyusahkan hidup aku!” Maki hamun ibunya lagi. Tiba-tiba telefon ibunya berdering. Terus ibunya menjawab. Nada suara yang keras tadi telah bertukar lembut.

                “Hello, sayang. Hmm, lelaki tak guna tu dah ceraikan Shima. Shima dah keluar dari neraka tu. Iya ke sayang? Okey, nanti Shima datang pada sayang. Anak Shima? Errr, anak Shima...er...jantan tak guna tu yang bela. Shima seorang je ni, okey sayang. Kejap lagi Shima sampai. Iya, Shima pun rindu...okey, sayang mandi wangi-wangi tau, bye. Love you! Muahhh!” Khalish Aqimie menoleh pada ibunya. Seingatnya, ibu tidak pernah bercakap selembut ini dengannya. Dia seolah-olah menjadi tempat ibunya melepaskan kemarahan dan kebencian pada ayahnya.

                “Sial betullah kau ni, menyusahkan aku tau tak? Kenapalah kau lahir kat dunia ni, kau ni Cuma bawa beban je dalam hidup aku? Silap akulah, tak pijak-pijak kau sampai mati masa kau kecik-kecik dulu! Bodoh!” Sempat lagi ibunya menunjal-nunjalkan kepalanya.

                Khalish Aqimie hanya teresak-esak mendengarnya maki hamun ibunya. Hati kecilnya rasa begitu pedih. Tidak pernah ada sekelumit kasih sayang yang dicurahkan padanya. Hanya kemarahan, maki hamun dan pukulan yang diterimanya saban hari.

                Kereta dihentikan oleh ibunya di tepi jalan.

                “Kau nampak tempat tu?” Tanya ibunya. Khalish Aqimie menoleh ke arah bangunan yang  ditunjukkan itu.

                “Kau pergi dalam sana. Mereka tu akan kutip kau dan bela kau. Aku tak ada masa nak bela dan aku tak ada duit nak tanggung kau. Macam mana aku benci bapak kau, macam tulah aku benci tengok muka kau! Hidup kau lebih baik kat sana berbanding hidup dengan aku,” beritahu ibunya lalu keluar dari kereta. Mengambil beg yang memuatkan baju anaknya. Kemudian membuka pintu di tempat duduk anaknya, menarik tangan Khalish Aqimie dengan kasar. Dia sudah membuat keputusan akan mencampakkan anaknya ke rumah anak-anak yatim ini.

                “Ibu, Ibu nak bawa Qimie ke mana ni? Ibu....ibu.....” terus sahaja tangan kecilnya bergantung pada ibunya. Pintu pagar tempat itu ditutup. Mungkin kerana malam.

                Ibunya yang tidak mempedulikan dia terus berlari laju ke kereta. Khalish Aqimie cuba berlari mendapatkan ibunya yang sudah masuk ke dalam perut kereta. Cermin kereta ibunya diketuk berulang kali.

                “Ibu, ibu jangan tinggalkan Qimie. Qimie janji Qimie tak akan nakal. Qimie tak akan susahkan ibu. Ibu....Ibu.....” jerit anak kecil itu, namun kereta ibunya terus berlalu meninggalkan dia di situ bersama tangisan yang kuat.

                Dimanakah sifat belas kasihan dalam diri manusia yang bernama ibu ini? Tergamak meninggalkan anak kecilnya yang tidak berdosa di tepi jalan? Kuatkanlah kau, wahai si anak kecil menempuhi dugaan hidup dalam usiamu yang baru mencecah 6 tahun ini. Kasih sayang yang kau dahagakan sudah kering tanpa sekelumit ehsan pun. Ibu bapamu telah menjadikan kau anak yatim selagi belum tiba masanya.