Friday, 7 December 2012

PENAWAR TANGISKU BAB 3


Ya Allah, masinnya mulut aku!!  Dania menelan air liurnya.  Dia memerhati sekitarnya.  Tiada kereta mahupun motosikal yang melewati jalan.   Ya Allah, apa aku nak buat ni?  Serta merta dia tenggelam dalam situasi cemas dan mendebarkan kerana pertama kali dia menyaksikan kemalangan secara langsung di depan matanya.
            Dania meluru ke arah kereta itu dan segera dia menunduk untuk melihat mangsa kemalangan.  Kelihatan sepasang suami isteri bermandian darah terperosok di dalam kereta itu.
            Dania menekup mulutnya kerana terlalu terkejut. 
            “Err....encik....encik!!” Panggil Dania dengan kuatnya.  Sambil itu matanya meliar mencari kelibat manusia disekitar tempat kejadian.
            “Ya Allah....apa aku nak buat ni?  Tolong.....!!!  Tolong!!!!”  Dania menjerit meminta pertolongan.  Tiba-tiba dia terbau sesuatu, petrol kereta mula tumpah atas jalan. 
            Dania memegang kepalanya, Ya Allah.....!!  Janganlah kereta ini terbakar pula kat sini.
            “Encik,...encik....” Lelaki itu bergerak sedikit begitu juga pasangannya.
            “To....tolong...kami nak....”pinta lelaki itu dengan nada suara yang lemah. Dania tiba-tiba terpandangkan seketul batu sebesar penumbuk lalu dia mengambil batu itu.
            “Encik tutup mata ya?  Saya nak pecahkan cermin kereta ni.  Encik dan isteri encik kena keluar segera! Bimbang kalau kereta ni meletup ke, terbakar ke?”
            Pranggg!!! Cermin kereta akhirnya berjaya dipecahkan. Dania menggunakan sekuat tenaganya untuk menarik mangsa keluar melalui cermin depan yang sudah dipecahkan.
             Dania menarik isteri mangsa terlebih dahulu, dengan berhati-hati kedengaran suaranya mengaduh sakit.  Penuh berhati-hati Dania mengeluarkan isterinya dari kereta.  Berat gila badan makcik ni, namun digagahi juga.
            “Sabar...ya puan....”sempat lagi Dania turut sama berkongsi sakit itu.  Berjaya!  Kemudian  Dania mengeluarkan suami mangsa pula.  Syukur alhamdullilah, berjaya juga walaupun tangannya berdarah. 
              Syukur alhamdullilah, Dania berjaya menyelamatkan mereka berdua.  Dania mengurut dadanya tanda lega. Mujurlah kereta itu masih belum terbakar ataupun meletup.
            Isteri mangsa terbaring lemah dengan kecederaan di kepalanya, manakala suaminya mengalami kecederaan di kaki dan tangannya.
            “Syukur alhamdullilah. Encik...tunggu di sini ya?  Saya pergi dapatkan bantuan...” Dania segera berlari ke arah basikalnya lalu mengayuh basikal menuju ke telefon awam yang terletak di hujung jalan sana.  Namun, dia benar-benar kecewa dan marah apabila telefon itu rosak dan tidak dapat digunakan. 
            Ya Allah, apa aku nak buat ni?  Pergi minta bantuan orang lah!  Dalam kekalutan Dania mencari bantuan, toyota Harier milik Khaliff berhenti disisinya.
            “Dania, kenapa ni?  Awak nampak cemas sangat ni? Ya Allah, darah!  Kenapa dengan awak ni?  Jatuh basikal ke? Mari saya bawa awak ke hospital...” Khaliff menarik lengan Dania dengan segera.  Dania segera menahan sambil menarik nafas yang tercungap-cungap keletihan.  Dania hanya mampu mengelengkan kepalanya dulu.
            “Bukan darah saya, tapi ada orang kemalangan kat hujung jalan sana tu.   Mangsa cedera parah, keretanya terbalik.  Phone ni rosak, saya tak tahu nak buat apa ni?  Tolong Khaliff, saya buntu!!” Dania mengurut dadanya berulang kali.
            “Ya Allah, jom kita ke sana sekarang.  Basikal ni, awak letak dulu kat sini.  Mari naik kereta saya!  Saya call ambulans sekarang!”
            Sampai ke tempat kemalangan, Khaliff benar-benar terkejut. Rupa-rupanya umi dan babahnya yang menjadi mangsa kemalangan itu.   Mengucap panjang Khaliff.












Bab 3



            Sudah hampir dua jam umi dan babah Khaliff dirawat dalam wad kecemasan.  Khaliff benar-benar risau dan tidak senang duduk.  Sekejap bangun, sekejap berdiri,  mundar mandir dia ke sana ke mari. 
            “Sabarlah awak.  Banyakkan berdoa agar umi dan babah awak selamat.” Dania juga turut mengikut Khaliff ke hospital kerana dia benar-benar risaukan keadaan mangsa kemalangan yang diselamatkan itu.  Lagipun, Khaliff yang memintanya memangku uminya yang luka parah di kepala.
            Begitu kusut dan serabut sekali diri Khaliff tatkala ini.  Dia benar-benar diamuk resah dan bimbang.
            “Terima kasih Dania kerana dah selamatkan nyawa umi dan babah saya.  Kalau awak tak keluarkan mereka dari kereta tu, saya tak tahulah bagaimana nasib mereka.  Saya berhutang nyawa dengan awak. Kereta tu pun, dah terbakar.” Ucap Khaliff dengan suara yang begitu lirih.  Matanya sarat dengan kesedihan dan kerisauan.
            “Sabarlah awak. Awak jangan risau, saya yakin mereka akan selamat.  Banyak-banyakkanlah berdoa...”
            Syukur alhamdullilah, doktor yang merawat umi dan babah Khaliff memaklumkan yang  mereka selamat serta tiada kecederaan yang serius.  Babah Khaliff telah pun sedar dan tulang tangannya patah manakala uminya masih belum sedar tapi pendarahan di kepalanya sudah berhenti dan dia dilaporkan stabil.

Dania dan Khaliff masuk melawat umi yang masih belum sedar kemudian melawat babah Khaliff pula yang sudah pun sedar.
            “Babah...babah okey?”Soal Khaliff dengan risau.  Johari tersenyum kemudian matanya tertancap ke arah seraut wajah yang sudah berjasa kepadanya.
            “Babah okey.  Nak..., terima kasih kerana selamatkan pakcik dan makcik.  Budi baik anak, hanya Allah sahaja yang membalasnya...”ucap Johari dengan penuh terharu.  Dania tersenyum.
            “Yang penting pakcik dan makcik selamat.  Saya hanya menolong sekadar yang termampu sahaja.”Luah Dania dengan lembut.
            Johari mengangguk.  Tiba-tiba Dania teringatkan sesuatu.  Mulutnya terlopong dan mukanya cemas.
            “Ya Allah, dah lama saya kat sini.  Saya tinggalkan ayah saya sorang-sorang...”kata Dania dengan wajah risau.  Bimbang dengan keadaan ayahnya yang lumpuh itu menguruskan dirinya seorang diri.
            “Jom saya hantarkan awak balik. Babah, Khaliff hantarkan Dania pulang.  Nanti Khaliff datang semula..”


“Ya Allah...!!” Terbeliak mata Dania melihat kepulan asap yang terbit dari api yang marak, begitu rakus menjilat rumahnya.  Dania segera berlari keluar dari kereta.  Jantungnya bagaikan tercampak keluar, dia benar-benar cemas dan bimbang dengan keselamatan ayahnya.
            “Ayah...............!!!!!”  Jerit Dania dengan kuat sekali.  Air mata terus jatuh berjuraian ke pipi.  Pihak bomba dan penyelamat sedang bertungkus lumus memadamkan api.  Dania terus menjerit-jerit dan berlari pantas ke arah rumahnya.  Tiba-tiba badannya disambar.  Dania terus meronta-ronta sambil matanya tidak lepas-lepas memandang ke arah rumahnya yang sedang dijilat api yang marak itu.  Dia memikirkan betapa menderitanya ayahnya yang terpaksa menahan kepanasan.  Ya Allah selamatkan ayah aku....
            “Lepaskan saya....ayah saya ada kat dalam tu....ayah saya lumpuh, macam mana dia nak selamatkan dirinya...Ya Allah....Ayah....Tunggu Nia, Nia nak selamatkan ayah....Ayah....” Dania terus meraung.  Khaliff terpaksa memeluk Dania yang sudah seperti hilang akal itu.
            Dania terus meratap sayu, menangis dan meraung sekuat hatinya.   Ayahnya tidak dapat diselamatkan kerana api sudah semakin marak menjilat rumah Dania.

KARYA TERBARU BAYAR TUNAI ATAS CINTA





BAB 1

Affia Eishal berlari anak mendapatkan papanya, Haji Mustafa yang sedang tersenyum bangga padanya. Sudah pasti bangga dengan kejayaannya mengengam segulung ijazah ditangannya. Lantas dipeluknya erat papanya.
                Haji Mustafa menggosok kepalanya anaknya manja. Jubah konvo yang tersarung di sebatang tubuh anaknya itu dipandang bahagia. Kalau arwah isterinya masih hidup, tentu arwah isterinya juga gembira dengan kejayaan anak tunggal mereka ini.
                “Tahniah sayang, hmmm…papa betul-betul bangga dengan anak papa ni,” Affia Eishal tergelak mendengarnya.
                “Thanks papa, ni berkat doa papa juga tau.”  Affia Eishal melepaskan pelukan. Teddy bear dan sejambak bunga ros yang digubah indah diamatinya.
                Tiba-tiba matanya tertancap pada Ammar, kekasih hatinya yang sedang meraikan kejayaannya bersama keluarga tersayang. Mata saling bertatapan dan senyuman bahagia singgah seketika.
                Senyuman Haji Mustafa terus hilang apabila matanya singgah pada Datuk Kamaruddin sekeluarga. Macam mana dalam seluas-luas dunia, mereka bertemu pada hari ini? Parut semalam bagaikan ditoreh semula. Kejahatan lelaki itu pada arwah isterinya membuatkan dia benar-benar menyimpan kemarahan hingga hari ini. Cuma dia tidak mahu berdendam kerana arwah isterinya sentiasa berpesan, jangan sesekali menyimpan perasaan dendam pada Datuk Kamaruddin nanti kelak akan memakan diri. Namun dia hanya manusia biasa, mana mungkin dia bisa melupakan segalanya dengan begitu sahaja.
                Lelaki itu tergamak menodai isterinya sehingga isterinya mengandung. Namun kandungan itu keguguran dan dia tiada bukti yang kukuh untuk mengambil tindakan undang-undang pada lelaki itu. Datuk Kamaruddin memasukkan pil khayal dalam minuman isterinya ketika majlis makan malam syarikat usahasama mereka, Dejavu Corporation. Masih teringat pada malam jahanam itu, dia memukul Datuk Kamaruddin separuh mati. Boleh pula tanpa rasa jijik lelaki itu mahu dia berzina dengan Datin Lydia, isteri Datuk Kamaruddin pula sebagai ganti.
Akibatnya, Haji Mustafa menjual segala syernya dan sahamya di Dejavu Corporation dan memutuskan ikatan persahabatan antara mereka setelah peristiwa durjana ini berlaku. Sehingga ke hari ini, dia langsung tidak boleh bertentang empat mata dengan lelaki itu.
                Pandangan Haji Mustafa menghala semula pada anak gadisnya. Namun berkerut dahinya melihat Affia Eishal sedang berpandangan dengan anak teruna Datuk Kamaruddin.
                “Fia?” Panggil Haji Mustafa. Affia Eishal segera berpaling.
                “Hah, kenapa papa?”
                “Kenapa Fia tengok budak tu? Apa hubungan Fia dengan dia?” Tanya Haji Mustafa. Affia Eishal terkedu mendengarnya. Patutkah dia menceritakan hubungan istimewanya dengan Ammar?
                “Err…ohhh… itu Ammar papa. Kami satu kelas,” cerita Affia Eishal dengan muka berseri-seri.
                “What?” Rasa mahu tercabut tangkai hati Haji Mustafa. Jika dia tahu, anak si bedebah itu turut belajar di sini, sudah tentu dia menukarkan anak gadisnya itu ke tempat lain. Jangan-jangan Affia Eishal ada hubungan istimewa dengan anak bedebah itu? Pucat sudah muka Haji Mustafa.
                Affia Eishal segera menarik tangan papanya, menghampiri Ammar sekeluarga. Terkejut Haji Mustafa dibuatnya kerana tiba-tiba sahaja Affia Eishal berani mengambil tindakan ini.
                “Jom, pa…Fia nak kenalkan dia pada papa. Ammar….” Panggil Affia Eishal setelah menghampiri Ammar sekeluarga.
                Datuk Kamaruddin juga terkejut melihat kehadiran Haji Mustafa di sini. Sudah lama mereka tidak bersua muka. Dia juga sedar, dari pandangan sahabat lamanya ini, masih tersimpan perasaan dendam. Masam mencuka air mukanya biarpun kejadian itu sudah berlalu hampir 20 tahun yang lalu.      “Uncle, saya Ammar….kenalkan ini papa saya, papa…ini Affia. Kami satu kelas…” Ammar pula mencelah disaat ke dua orang tuanya saling berpandangan tanpa sebarang syak.
                Haji Mustafa memandang tajam wajah Datuk Kamaruddin. Dari matanya, jelas kelihatan kemarahan yang masih belum padam. Memang dia sangat benci melihat muka musuh ketatnya ini. Tangan Ammar yang dihulurkan padanya dibiarkan sahaja. Terus saja menarik tangan Affia Eishal supaya menjauh dari situ. Terpinga-pinga Affia Eishal dan Ammar dengan reaksi dan tindakan Haji Mustafa. Namun, Datuk Kamaruddin mengerti akan puncanya. Dia melepaskan keluhan.

Sebaik saja tiba di KLIA, Haji Mustafa segera melajukan langkah sambil memaut tangan anak gadisnya segera ke kereta. Tidak menyangka mereka boleh pula berada satu penerbangan dengan Datuk Kamaruddin sekeluarga. Sepanjang penerbangan dia bagaikan berada dalam microwave.
Haji Mustafa segera mengarahkan pemandunya, Azmie agar membawa mereka menjauh dari situ. Ammar yang mengejar dari belakang tidak sempat untuk berkata sepatah perkataan pun pada Affia Eishal. Dia hairan dengan sikap papa Affia Eishal yang bagaikan tidak menyukainya.
Affia Eishal hanya mampu memandang Ammar yang melambai ke arahnya. Bahunya pantas di peluk dan badannya ditolak masuk ke kereta. Takut dia melihat wajah asam kecut papanya. Dalam hatinya tertanya-tanya apakah masalah papanya dengan Ammar? Susahlah kalau masalah begini tiba-tiba datang melanda pula. Bagaimana dengan hubungan cinta mereka?
“Fia, papa andaikan papa tak ingat apa yang berlaku semalam termasuklah lelaki yang Fia cuba kenalkan pada papa. Siapa dia papa tak ingin nak ambil tahu. Yang papa ingat, papa hanya ke sana untuk meraikan kejayaan Fia. Siapa dia pada Fia, papa juga tak mahu tahu. Apa yang papa tahu, jangan sesekali menyebut nama lelaki tu, pada papa. Papa anggap Fia tak penah kenal dia, faham?” Haji Mustafa bersuara dengan perlahan namun penuh ketegasannya.
“Tapi papa, kenapa papa tak suka dia sedangkan papa belum kenal dia kan? Dia baik pa….So apa salahnya….” Segera Haji Mustafa memangkah kata anaknya. Baik konon? Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Dia sama sekali tidak akan izinkan anaknya mempunyai hubungan dengan keturunan perosak itu.
“Papa dah cakap tadi, dan anak papa cukup bijak untuk memahami cakap papa. Fia anak yang baikkan, jangan sesekali melawan cakap papa hanya kerana lelaki yang Fia baru beberapa hari tu.” Balas Haji Mustafa dengan tegas. Affia Eishal tergamam mendengarnya.
“Bak sini, telefon Fia.” Permintaan itu membuatkan Affian Eishal terpana mendengarnya.
“Tapi pa….” segera Haji Mustafa menyambar beg tangan anaknya dan menyelongkarnya. Telefon bimbit anaknya itu segera diambil dan disimpan.
“Kalau Fia sayangkan papa, jangan berhubungan lagi dengan lelaki tu.” Haji Mustafa memberikan amaran. Tergamam Affia Eishal mendengarnya.
Kenapa papa jadi begini? Apa salah Ammar? Tubir matanya mula berat, namun kerana perasaan sayang dan hormat pada papanya membuatkan dia mendiamkan diri apatah lagi melihat papanya sejak semalam bermuka masam dan marah padanya. Mungkin bila marah papanya reda dia akan cuba berbincang dengan papanya.