TERIK panas kian membahang. Setelah membuka khemah dan meja, Kifayah tekun
membantu emaknya dengan mengikat bungkusan laksa, laksam, mee kari dan bihun
sup menggunakan getah kemudian menyusunnya di atas meja jualan.
Kemudian
dia membungkuskan kuah-kuah makanan yang di jual itu pula. Ramai betul peniaga
yang berniaga di tapak pasar malam di depan Sekolah Menengah Tsung Wah.
Kifayah
mengesat peluh di dahi. Doyah, saingan sengit mereka sedang berniaga berhadapan
dengan gerai mereka. Anak bujangnya yang bernama Naim selalu mengerling Kifayah
namun Kifayah malas melayan. Nak mengoratlah kot?
Kawan-kawan
sekolahnya kebanyakan sudah mempunyai pakwe. Tapi dia, entah lah bukannya tidak
terfikir, cuma malas apabila mengenangkan masalah keluarga dan tanggungjawab ke
atas keluarga yang lebih berat daripada itu. Mak dan ayahnya pun bukan suka
sangat dia berkawan dengan lelaki.
Dunianya
hanya membantu emaknya di rumah dan berniaga. Kalau nak bercinta, mana
ada masa bergayut telefon ke, ber dating
ke, sebab jadual hariannya memang sibuk. Nak belajar pun tak sempat. Balik
sekolah, terus menuju ke dapur membantu emaknya menyiapkan barang-barang
berniaga. Petang pula, membantu mengemas rumah. Kini, tugasnya berganda apabila
dia turut mengikut emaknya berniaga pula sejak kakaknya Rihanna berkahwin.
Bermula dari petang sampai ke malam.
Walaupun
emak dan ayahnya nampak moden dan terbuka, namun mereka begitu menitik beratkan
soal didikan dari segi agama, sikap dan tabiat. Umur 5 tahun, Kifayah sudah
Khatam Al-Quran. Dari sekolah rendah lagi, Kifayah sudah di ajar melakukan
kerja-kerja rumah dan memasak.
Apabila
meningkat remaja, mak dan ayahnya memang sentiasa memastikan anak-anak mereka
menjaga pergaulan dengan lelaki dan orang luar.
Tidak pernah mereka dibenarkan keluar berpeleseran.
“Dah
siap bungkuskan semua?” Soal emaknya yang baru balik dari berbual dengan Doyah.
Sempat mengorek rahsia kuah laksa Doyah yang dikatakan sedap itu.
“Dah.”
Jawab Kifayah bersahaja.
“Mak
dah tanya Doyah, resepi kuah laksa dia. Alah, lebih kurang sama je macam kuah
mak. Mak sempat jeling bungkusan dia tadi, sikitnya, lagi sikit dari bungkusan
mak. Jangan Kifa risaulah! Bungkusan kita ni lagi banyak, mesti puas pelanggan
makan.
Eh,
apasal anak Doyah si Naim tu asyik dok tengok Kifa dari tadi? Kifa, jangan nak
menggatal ya?” Emaknya mula membebel.
“Mak,
Kifa tengah sibuk membungkus kuah ni, tak ada masa nak mengatal kat sini!”
Jawab Kifayah dengan muka masam.
“Tengok
tu, orang tegur tarik muka. Berdosa tau, buat mak macam ni. Ingat, kalau nak
mengatal cari yang senonoh sikit. Setakat anak Doyah tu, buat malu mak ja
nanti. Sekolah pun tak habis, berniaga pasar malam saja! Tak bertokoh nak buat
suami!”
“Mak,
apa mak merepek ni? Kifa baru 19 tahun, apasal cakap pasal 'suami' pula ni?”
Kifayah benar-benar sakit hati, tapi sebagai anak apa lah daya untuk membentak
lebih-lebih. Bukan boleh selesai masalah pun, emaknya akan membebel tidak tentu
hala nanti.
“Tak
adalah, mak cuma nak ingatkan Kifa je? Jodoh Kifa biar mak dan ayah yang
tentukan. Tak payahlah nak fikir....” Kifayah mengelengkan kepalanya. Perbualan
itu terhenti apabila pelanggan mula membanjiri gerai emaknya.
“Err,
laksa sepuluh bungkus, bihun sup lima, laksam tujuh bungkus!” Man Boroi
memberitahu Rafeah.
Matanya
tertancap pula pada Kifayah. Terlopong mulutnya. Fuyooo, cunnya budak ni!
“Ini,
anak Kak Peah yang mana pula?” Tegur Man Boroi dengan ramah.
“Ini
anak Kak Peah yang nombor tiga, Kifayah namanya. Rihanna kan dah kahwin,
sekarang ni giliran adiknya pula yang membantu.” Beritahu Rafeah dengan mesra.
Man Boroi mengangguk dan tersenyum pada Kifayah.
Kifayah
buat-buat tidak nampak. Menyampah melihat senyuman gatal lelaki itu. Gigi
sudahlah rongak! Ingat molek sangat muka dia tu? Tak sukanya.....
Man
Boroi menyambung lagi. Dia memang jenis bermulut manis dan pandai mengayat.
“Anak-anak
Kak Peah semuanya cantik-cantik, macam Kak Peah juga! Tapi Kifayah ni, saya
rasa yang paling cantik sekali dari yang lain. Sekolah lagi ke Kak Peah?” Tanya
Man Boroi yang berminat. Rafeah yang
mendengar pujian bertambah kembang semangkuk. Tidak muat rasanya kain yang
dipakainya ini. Hampir terkoyak pula.
“Tahun
ni nak ambil STPM. Lepas ni, giliran dia pula nak dikahwinkan.” Khabar Rafeah
dengan senyum.
Bulat
mata Kifayah mendengarnya. Eee, dia masih muda trang tang tang, mak dia dah
sibuk menjaja soal nikah kahwinnya. Tak terfikir lagi dia, kalau boleh dia nak
tunggu dulu keputusan STPM, kalau keputusannya baik dia akan menyambung
pelajaran kemudian bekerja selepas itu, barulah fikir soal kahwin.
Man
Boroi melirik gatal pada Kifayah yang sedang membungkuskan kuah itu. 'Amboi,
buat kerja penuh tertib anak dara ni! Ishh, dia jeling-jeling pula. Aduhai,
berkocak jantung den! Kalau dapat buat bini ni, sure tak keluar rumah
seminggu!'
“Banyak
membeli hari ni Man?” Tanya Rafeah lagi. Man Boroi segera mengeluh.
“Biasalah,
orang rumah saya tu, pemalas sungguh memasak. Asyik nak besarkan badan je kerja
dia. Makan sampai berpuluh-puluh pinggan sehari. Letih saya nak bela bini macam
tu. Pembantu rumah kan ada dua orang, itu yang semakin naik lemak dia tu! Pecah
kepala saya dibuatnya!!!” Man Boroi mengutuk isterinya yang gemuk gedempol itu.
Anak-anaknya
yang seramai tiga orang itu pun, ikut jejak isterinya. Semuanya kuat-kuat makan
dan sihat sungguh tubuh badan.
Kifayah
mencebik, mengutuk bini dia bukan main lagi! 'Yang badan dia gemuk, tak
sedar-sedar? Perut boroi kalah perempuan mengandung 9 bulan, kepala bulat, pipi
bertimbun macam kuih apam, selamba hina bini dia, memang dasar jantan tak sedar
diri!' Semakin menyampah Kifayah dibuatnya. Rafeah pula mendengar dengan penuh
minat.
“Ishh,
ishhh, kesiannya Man. Tak bolehlah macam tu, isteri ni kena jaga makan pakai
suami. Anak-anak Kak Peah, memang kak Peah didik dari sekolah rendah lagi buat
kerja-kerja rumah. Kifayah ni, memang kerja rumah A plus lah! Jangan kata
habuk, kuman pun susah nak jumpa dalam rumah Kak Peah tu! Rajin sungguh lah.
Memasak lagilah, kalah masakan kat hotel lima bintang! Lebih kurang macam
master chef yang masak.” Puji Rafeah yang begitu berbangga memuji anak-anaknya.
Kifayah
menarik muka masam. Wajah Rafeah direnungnya.
'Eee,
tak sukanya dengar! Apasal mak aku ni, menyemakkan nama aku pula? Dahlah puji
melambung tak kena tempat pula tu? Buat malu betul lah! Bagi nasihat bukan main
lagi, tapi makan minum ayah selama ni, kakak-kakak, aku dan adik yang ambil
tahu. Dia asyik sibuk siapkan barang-barang berniaga je kat rumah!'
Man
Boroi yang mendengar bertambah teruja untuk mengenali anak ke tiga Kak Rafeah
yang cun melecun ini.
'Sudahlah
cantik, pandai buat kerja-kerja rumah, rajin pula tu! Memang bertokoh nak buat
bini ni. Tapi si badak berendam kat rumah aku tu nak campak mana? Alah buang
jelah, bukan berguna lagi? Dah berkedut, berlemak sana-sini. Nak tengok pun
padam selera aku.' Man Boroi mengutuk isterinya.
“Iya
ke? Bertuah lah lelaki yang dapat kahwin dengan Kifa nanti. Beruntung sungguh!
Saya ni Kak Peah, dah semakin bosan mengadap bini saya tu. Balik rumah serabut
betul tengok penampilan dia. Rambut dia dah macam kilang kutu. Pemalas pula tu nak mandi, busuk jangan dok
katalah. Kalah kerbau Mat Soud!
Tapi
sebab itu je bini yang ada terpaksa lah Kak Peah, tutup biji mata dan lubang
hidung ni, menjalankan tanggungjawab saya dengan rela hati! Dah berbuih mulut
bagi nasihat. Macam tu juga jadinya. Dia nak apa semua saya bagi, gelang emas
sampai ke bahu, rantai emas sebesar tali ikat kapal selam, sampai berbirat
leher dia pakai itu pun, nak membeli lagi barang kemas bulan ni, duit poket
lagilah sebulan sampai RM5, 6 ribu!
Itu
pun kadang-kadang lebih dari tu saya bagi! Sedih sungguh saya, sebab isteri
saya tu, tetap tak mau berubah, makin teruk lagi ada lah. Entahlah Kak Peah
apalah malang nasib saya ni.” Man Boroi mengutuk bini dia lagi tanpa sedar, bau
badannya pun lebih kurang kerbau Mat Soud.
Kifayah
yang mendengar semakin jelek rasanya. Bertambah meluat dengan lelaki ini.
Lelaki jenis apa, suka memburuk-burukkan isteri sendiri. Mesti bukan lelaki
yang baik.
“Sabarlah
Man. Bertuah sungguh bini kamu tu, dapat suami bertanggungjawab macam kamu.
Macam-macam yang kamu bagi ya walaupun bini kamu tu busuk macam kerbau!” Rafeah
menasihatkan Man Boroi. Man Boroi mengangguk berulang kali.
“Err,
okeylah. Saya balik dulu, menganggu Kak Peah pula nak buat kerja. Bukan apa dah
lama saya pendam masalah saya ni, saya dah tak sanggup lagi nak bertahan. Dah
lama saya menderita. Anak-anak saya dah telefon banyak kali, lapar kat rumah
tu. Nak harap mak dia, kebulurlah tak makan jawabnya. Jangan kata nak masak,
nak pergi beli lauk kat kedai yang dah siap tu pun, pemalas. Asyik makan,
tidur!
Hmm,
tak sabar nak makan laksa Kak Peah. Saya ni pun kalau tak pekena laksa Kak
Peah, mahunya meroyan saya dibuatnya. Berapa semua?” Soal Man Boroi mengerling
gatal ke arah Kifayah.
Di bukanya dompetnya yang tebal dengan duit
itu dengan tujuan ingin menunjuk-nunjuk pada Kifayah dan Rafeah. Rafeah
apalagi, hampir juling biji mata dibuatnya melihat duit sebanyak itu. Rasa
begitu berbangga dengan Man Boroi. Bertuah sungguh bini Man Boroi.
Kifayah
mula mengira dengan malas. Menyampah
betul dengan sikap Man Boroi yang suka menunjuk-nunjuk itu.
“Semuanya
RM55.OO.” Beritahu Kifayah dengan muka serius pada Man Boroi yang tidak jemu
memandang wajahnya.
“Amboi,
sedapnya suara! Ini kalau menyanyi, mesti macam buluh perindu. Kalau Siti Nur
Haliza dengar, merajuk tak nak nyanyi dah!” Puji Man Boroi yang dirasakan tidak
tentu hala oleh Kifayah itu.
Man
Boroi menghulurkan RM 100 untuk Kifayah. Cepat Kifayah menarik tangannya
sebelum lelaki itu menyentuhnya. Dasar jantan miang! Menyampahnya.
“Tak
apalah Kak Peah, simpanlah baki tu. Sedekah dari saya, Kifa kan sekolah lagi.
Ini untuk belanja sekolah dia, ambil lah saya sangat ikhlas," Man Boroi
sengaja menampilkan sifat terpujinya. Rafeah tersenyum sampai telinga. Manusia
mana tidak gembira, dapat duitkan?
Membulat
mata Kifayah mendengarnya. Segera memprotes kebaikkan lelaki itu.
“Eh,
tak payah. Kalau nak bersedekah, bukan kat sini tempatnya. Ouchhh!!!” Kifayah
menahan sakit apabila pahanya ditampar oleh emaknya. Rafeah segera mengawal
situasi.
“Ya
Allah, terima kasihlah Man. Semoga murah rezeki Man.” Ucap Rafeah terharu.
Tersengih-sengih
Rafeah biarpun Man Boroi sudah pun berlalu. Not Rm 100 yang dipegangnya
dipandang dengan teruja.
“Mak
ni, suka hati dia je terima duit orang,” tegur Kifayah yang sangat tidak
berkenan dengan perangai emaknya ini. Kalau fasal duit, memang tiada kompromi.
“Biarlah,
dah orang nak sedekah. Kifa, err...duit baki yang Man bagi Kifa ni, Kifa bagi
kat mak je lah! Kan hari tu, mak yang bayar yuran STPM Kifa? Kiranya settle
lah yea,” pinta Rafeah yang Kifayah cukup faham sangat dengan perangai berkira
dan kedekutnya. Kifayah melepas keluhan dan mengelengkan kepalanya.
“Ambillah,
Kifa pun tak nak duit lelaki tu,” balas Kifayah. Apalagi sengihan Rafeah
bertambah lebar. Untungnya mempunyai anak-anak yang cantik-cantik. Sekarang
ini, dia akan menanti mana-mana lelaki kaya yang bakal berkenan dengan Kifayah.
Semakin senang hidupnya nanti.
Tepat
jam 10.00 malam, barulah mereka mula mengemas untuk pulang. Hari ini hasil
jualan agak baik. Cuma lima bungkus laksa saja yang tinggal.
Dalam
perjalanan pulang ke rumah menaiki Proton Saga Rafeah yang sudah berkarat itu,
Rafeah berbual-bual dengan Kifayah. Kifayah yang sememangnya bosan terpaksa
juga kerana telinga bukannya mata atau mulut yang bisa ditutup.
“Kereta
ni dah teruklah. Mak cadang nak minta kat Kak Hidayah lah duit. Nak beli kereta
baru.” Beritahu Rafeah.
“Mak,
kan Kak Dayah bagi mak sebulan seribu. Mana pergi duit tu? Tak cukup lagi ke?
Tak menyusahkan dia ke? Dia kan dah kahwin, ada tanggungan. Anak-anak tiri dia
lagi. Kereta ni mak baru je pakai dua tahun, tapi dah jadi besi buruk. Mak cuma
tahu naik je, tapi tak tahu jaga! Kalau Kifa tak cuci, alamatnya tak nampak rupa
kereta ni!” Tegur Kifayah yang tidak berkenan sama sekali dengan sikap emaknya.
Bukan
main lagi mengajar anak-anak erti bertanggungjawab, tapi dia langsung tidak
menunjukkan contoh yang baik. Seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan.
Mujurlah anak-anaknya semuanya berjenis kerana sudah dilatih sejak kecil
membuat kerja-kerja rumah sedangkan emaknya suka goyang kaki di rumah. Kerjanya
hanya menumpukan pada perniagaannya dan memberi arahan saja di rumah.
“Biasalah,
kereta ni mak guna buat kerja. Kereta baru nanti, mak nak guna pergi
jalan-jalan. Mak nak minta myvi lah! Seribu tu bukannya banyak Kifa, sekarang
ni semua belanja mahal. Itu untungnya kalau kahwin orang kaya. Hidup
senang-lenang. Abang ipar kau tu, bukan main baik lagi.
Tak
pernah lupa janji nak bagi mak dan ayah duit. Kak Rihanna kau ni yang mak
pening, senyap ja lepas kahwin. Balik sekejap je, bagi duit belanja! Lepas tu
terus blah. Macam mana, agaknya si Rosli tu jaga dia?” Bising Rafeah lagi.
Kakaknya, Rihanna sejak berkahwin dengan Rosli, senyap sunyi jadinya.
Langsung
tak balik rumah menjenguk keluarga sedangkan rumahnya bukannya jauh pun. Salah
mak dan ayahnya, terlalu mementingkan kebendaan dari budi bahasa menantu.
“Dahlah,
malas nak cakap pasal kakak kau tu. Janji tiap-tiap bulan, bagi duit kat mak
dan ayah! Itulah untungnya dapat suami kaya. Kifa pun, mak akan pastikan dapat
suami kaya juga.
Kifa,
mak rasa peliklah, jualan mak tak pernah habis. Selalunya mesti licin punya.”
Kifayah mengeluh. Bosan apabila emaknya membuka topik baru pula.
“Mak
bersyukurlah dengan rezeki yang ALLAH tentukan ni. Lebih 5 bungkus je, bukannya
banyak pun.” Balas Kifayah dengan suara yang keletihan. Dia kini hanya ingin
cepat sampai dan tidur.
“Tak,
mak dapat rasakan yang mak kena santau lah! Ada orang dengki dengan mak!”
Beritahu Rafeah.
Kifayah
mengeluh lagi. Inilah masalah manusia, bila berniaga tidak laku mula lah nak
salahkan orang lain, kena santaulah ada orang dengkilah! Kianat lah! Sedangkan
tanda-tanda kena santau pun tidak ada.
“Astafirallahalazim.
Mak, apa kena mengena santau pula ni? Cuba mak teliti diri mak tu, apa
kurangnya mak sampai jualan mak tak habis? Kita ni, harus bersyukur. Bila kita
bersyukur, masalah yang besar jadi kecil, benda yang kurang, rasa cukup!
Kan,
Kifa dah tegur mak banyak kali, kepuasan pelanggan tu yang penting bila
berniaga. Mak masak memang sedap tapi satu je, pelanggan tak puas makan sebab
sikit sangat. Tak berbaloi dengan harga. Kalau Kifa pun, Kifa pilih gerai
Doyah, biarpun sikit tapi berbaloi dengan harga.” Tegur Kifayah yang berdoa
dalam hati emaknya menerimanya.
“Iyalah!
Mulai esok, mak tambahkan sikit.” Rafeah akhir akur dengan pendapat anaknya
itu.
No comments:
Post a Comment