Friday, 7 December 2012

DI LARANG MASUK DALAM HATIKU BAB 7


KELUAR dari dewan peperiksaan, Kifayah menarik nafas lega. Tamat sudah peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran  Malaysia. Namun, dia tetap kecewa kerana tidak dapat memberikan sepenuh jiwa raganya dalam mengulangkaji pelajarannya untuk peperiksaan terpenting ini. Semoga hasilnya akan memberansangkan.
            “Kifa, macam mana paper sejarah tadi? Mesti okey kan? Kau kan sejarahwati sekolah.” Tegur Izzati, sahabat baiknya itu. Kifayah tersenyum mendengarnya.
            “Kau ni, merepeklah! Bolehlah jawab dari tak boleh. Eh, apa perancangan kau sementara tunggu result?” Soal Kifayah.
            “Aku rasa nak kerjalah. Nak pergi Penang. Kerja kilang kot? Sebab kakak aku cakap ada kerja kosong kat kilang dia.” Maklum Izzati.
            “Yea ke? Bestnya....”
            “Tak nak ikut aku? Jomlah!”
            “Ishh, aku bukan tak nak, aku nak sangat berdikari. Tapi, kau faham-faham jelah, mak dan ayah aku macam mana kan?” Balas Kifayah.
            Izzati mengangguk kepalanya kerana dia mengerti benar sikap makcik Peah dan pakcik Pian yang begitu menjaga dan mengongkong anak-anak daranya.

Kifa!” Elok sahaja kaki Kifayah melangkah masuk ke dalam rumah, suara emaknya sudah kedengaran melaungkan namanya. Kuatnya, rasa satu kampung dengar.
            “Yea mak!!!!!!!!!” Jawab Kifayah yang begitu penat kepala otaknya memikirkan soalan sejarah sebentar tadi. Namun, terpaksa juga menjalankan tugas hakikinya di rumah ini.
            “Tolong rebus bihun ni! Mak nak buat laksam!!!!!!” Jerit emaknya yang membingitkan telinga jiran sebelah menyebelah.
            Kifayah tanpa banyak soal terus sahaja menukar baju sekolah dan membantu emaknya di dapur.
            “Akak, macam mana periksa?” Soal Eja, yang sedang menghiris daun bawang.
            “Bolehlah...” balas Kifayah bersahaja.
             Rafeah mengerling Kifayah. Tidak dinafikan anak dara ke tiganya ini paling cantik dari yang lainnya.
            Sifatnya lemah-lembut, sopan-santun, rajin dan pemikirannya matang. Jarang membantah dan melawan kata-katanya, jika dibandingkan Hidayah, Eja dan Rihanna. Pendiam pun iya juga. Kalau tiada hal yang penting untuk dicakapkan anaknya ini lebih suka mendiamkan diri. Hendak dengar dia mengumpat seperti emaknya ini, memang susahlah. 
            “Dah habis periksa ni, bolehlah Kifa tolong mak sepenuhnya. Tak payah minta tolong Piah lagi. Upahnya tak payah bayarlah, mak dan ayah bela Kifa dari umur 1 hari tak pernah minta bayar pun kan?
            Lagipun, dapat pahala banyak bila tolong ibu bapa, masuk syurga. Syurga di bawah tapak kaki mak tau, selagi Kifa belum kahwin!” Beritahu emaknya bersahaja.
            Kifayah hanya mengangguk tanpa membantah. Kalau melawan pun bukannya pernah menang, kerana emaknya tidak pernah rasa dirinya salah.


Hari ini, emak Kifayah berniaga di Pasar Malam berdekatan bangunan pasar pagi. Hujan mula turun lebat sebentar tadi, pelanggan agak berkurangan.  Jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam namun, jualan masih banyak lagi.
            “Kifa, mulut tu cuba ramah sikit panggil pelanggan. Tengok macam anak Doyah si  Naim dan Naimah tu, bukan main riuh rendah memanggil pelanggan. Beli kak....abang....adik, makcik, bihun sup, laksa, laksam, mee kari, bakso hanya RM2.50 sahaja.....” Emaknya mempelawa pengunjung yang lalu lalang.
            Kifayah melepas keluhan. Dia memang bukan seorang yang peramah. Dia penuh sifat malu dan segan. Bukan seperti kakaknya Rihanna yang begitu peramah dalam berniaga. Hidayah dan Rihanna agak peramah dan kelakar orangnya.
            Begitu mudah mesra dengan orang sedangkan Kifayah lebih gemar mendiamkan diri jika tiada sebarang perkara yang penting untuk dicakapkan. Namun diam bukan bererti dia seorang yang kosong sebaliknya, dia begitu peka dengan situasi sekelilingnya.
            “Hai Kak Peah, beli bihun sup 10 bungkus, laksa dua.” Pinta Man Boroi, pelanggan Rafeah yang paling setia.
            Man Boroi mengerling gatal ke arah Kifayah yang sedang mencedok kuah sup ke dalam plastik.   'Semakin hari semakin cantik Kifayah nampaknya. Hai, kalau aku dapat.....' fikir Man Boroi.
            “Man, baru nampak muka. Lewat datang hari ni? Selalunya petang kamu beli. Kak Peah tertunggu-tunggu juga tadi.” Tegur Rafeah yang begitu mesra dengan Man Boroi.
            “Biasalah, hujan-hujan ni. Tertidur tadi kat rumah. Orang dah bujang sekarang ni.” Beritahu Man Boroi dengan senyum sengihnya, tidak lupa matanya sering mengisyaratkan makna tersirat buat Kifayah.           Kifayah pula langsung tidak berminat untuk memandang Man Boroi.
            'Tak cukup hensem ke aku? Comel macam teddy bear pun tak ingin pandang ke? Puas aku menyengih sampai ke telinga, kontrol macho lagi, alahai!' desis hati Man Boroi.
            “Bujang?” Tanya Rafeah yang terkejut.
            “Baru bercerai Kak Peah, saya dah tak sanggup simpan bini macam tu. Dah tak ada penyelesaian, mungkin jodoh kami dah tamat kot.” Cerita Man Boroi dengan suara yang sedih.      Sedangkan dalam hati untuk memasang niat untuk mencari isteri baru yang muda dan bergetah macam Kifayah. Kalau dapat, apa masalahnya? Ramai lelaki tua kahwin dengan perempuan muda. Bukannya dia tua sangat, baru 42 tahun. Lagipun, dia banyak duit pasti senang-lenang hidup Kifayah kalau menjadi isterinya.
            “Allahuakbar. Kasihannya kamu dan anak kamu Man. Sabarlah Man, sedihnya kak Peah dengar. Habis tu anak kamu siapa jaga?” Tanya Rafeah dengan nada kasihan.
            “Buat sementara ni bekas isteri saya yang jaga. Tapi saya selalu pergi hantar makanan kat anak-anak. Saya tak harap langsung bekas isteri saya tu.” Cerita Man Boroi lagi. Rafeah mengeleng-geleng kepala tanda simpati dan kesal.
            “Sabarlah Man, kasihan Kak Peah dengan nasib kamu ni. Kifa, Kifa tak kasihan ke, dengan abang Man ni?” Rafeah menoleh pada anaknya yang sedang mengikat kuah sup.
            Kifayah tersentak mendengarnya. Abang Man? 'Eeee, nak  muntah darah aku mendengarnya. Mak pun, boleh pula tanya soalan mencari maut. Nak kasihan macam mana? Lelaki ni asyik tersenyum gatal je pada aku dari tadi, macam happy je bercerai!' Rungut Kifayah dalam hati.
            “Kifa? Mak tanya ni?” Tanya Rafeah sekali lagi apabila tiada jawapan dari Kifayah. Kini dua pasang mata memerhatikannya. Emak dan Man Boroi.
            “Apasal tanya Kifa, Kifa mana tau?” Kifayah mengangkat bahu, membuat muka bosan. Serius lagi.
            “Mak tanya, Kifa tak kasihan ke, lelaki baik macam abang Man ni terpaksa bercerai dengan isteri dia?” Tanya Rafeah sekali lagi.
             Man Boroi pula tersengih gatal membuatkan Kifayah yang melihat begitu menyampah.
            'Wekk, lelaki baik? Baik apa macam ni?'
            “Nak kasihan apa pula, orang tu nampak happy je bercerai, lagipun cerai ni bukan perkara main-main. Talak kan hak suami. Ikut suka dialah, itu jalan yang dia pilih.
            Apasal Kifa nak kasihankan dia pula? Tak ada fasal. Kalau nak kasihan pun, patutnya kasihankan anak-anak dia yang jadi mangsa penceraian.” Begitu bersahaja suara Kifayah, namun menyentap hati orang yang makan cili api itu.
            Man Boroi berpura-pura selamba. Dia tahu, Kifayah nampak seperti tidak sukakannya. Dari tadi asyik menjeling tajam aje kalau memandang.
            “Baik sungguh hati Kifa. Abang Man pun rasa macam tu jugak, kasihan anak-anak abang. Tapi dah takdir, kami memang dah tak ada jodoh.” Jawab Man Boroi.
            Kifayah tersenyum sinis. Dia tidak suka jawapan seperti ini. Entah mengapa?
            “Kalau nak salahkan takdir, sampai bila kita ni tak akan sedar salah dan silap kita. Bila kita ditakdirkan gagal dalam hidup, tak kiralah gagal dalam perkahwinan ke, perniagaan ke atau selainnya, itu tandanya Allah suruh kita belajar cermin diri sendiri. Lelaki kan pemimpin dalam rumahtangga. Kenapa nak salahkan perempuan pula?
            Tentu ada kekurangan, kesalahan atau kelemahan kita yang menjadi punca kita gagal dalam hidup. Belajar memperbaiki kesilapan diri. Jangan asyik nak salahkan takdir dan orang lain saja.” Sindir Kifayah dengan sinis.
            Man Boroi tersenyum, cuba kontrol gigi rongaknya. Namun sudah namanya rongak, kontrol pun akan nampak juga.
            “Kifa ni, walaupun umurnya 19 tahun, tapi berfikiran matang kan, Kak Peah? Bertuah siapa yang dapat dia!” Man Boroi memuji Kifayah yang kini sudah diangan-angankan sebagai isteri barunya.  
            Dia tidak peduli Kifayah sudi atau tidak, mulai sekarang dia akan berusaha memiliki gadis ini. Mula-mula sekali, dia harus memikat dan mengambil hati Rafeah terlebih dulu.
            “Tengoklah siapa mak dia!!!” Rafeah dan Man Boroi sama-sama tergelak. Kifayah hanya membisu, malas mahu masuk campur. Buang masa sahaja, tak berfaedah sikitpun.

No comments:

Post a Comment