Friday, 7 December 2012

KARYA TERBARU BAYAR TUNAI ATAS CINTA





BAB 1

Affia Eishal berlari anak mendapatkan papanya, Haji Mustafa yang sedang tersenyum bangga padanya. Sudah pasti bangga dengan kejayaannya mengengam segulung ijazah ditangannya. Lantas dipeluknya erat papanya.
                Haji Mustafa menggosok kepalanya anaknya manja. Jubah konvo yang tersarung di sebatang tubuh anaknya itu dipandang bahagia. Kalau arwah isterinya masih hidup, tentu arwah isterinya juga gembira dengan kejayaan anak tunggal mereka ini.
                “Tahniah sayang, hmmm…papa betul-betul bangga dengan anak papa ni,” Affia Eishal tergelak mendengarnya.
                “Thanks papa, ni berkat doa papa juga tau.”  Affia Eishal melepaskan pelukan. Teddy bear dan sejambak bunga ros yang digubah indah diamatinya.
                Tiba-tiba matanya tertancap pada Ammar, kekasih hatinya yang sedang meraikan kejayaannya bersama keluarga tersayang. Mata saling bertatapan dan senyuman bahagia singgah seketika.
                Senyuman Haji Mustafa terus hilang apabila matanya singgah pada Datuk Kamaruddin sekeluarga. Macam mana dalam seluas-luas dunia, mereka bertemu pada hari ini? Parut semalam bagaikan ditoreh semula. Kejahatan lelaki itu pada arwah isterinya membuatkan dia benar-benar menyimpan kemarahan hingga hari ini. Cuma dia tidak mahu berdendam kerana arwah isterinya sentiasa berpesan, jangan sesekali menyimpan perasaan dendam pada Datuk Kamaruddin nanti kelak akan memakan diri. Namun dia hanya manusia biasa, mana mungkin dia bisa melupakan segalanya dengan begitu sahaja.
                Lelaki itu tergamak menodai isterinya sehingga isterinya mengandung. Namun kandungan itu keguguran dan dia tiada bukti yang kukuh untuk mengambil tindakan undang-undang pada lelaki itu. Datuk Kamaruddin memasukkan pil khayal dalam minuman isterinya ketika majlis makan malam syarikat usahasama mereka, Dejavu Corporation. Masih teringat pada malam jahanam itu, dia memukul Datuk Kamaruddin separuh mati. Boleh pula tanpa rasa jijik lelaki itu mahu dia berzina dengan Datin Lydia, isteri Datuk Kamaruddin pula sebagai ganti.
Akibatnya, Haji Mustafa menjual segala syernya dan sahamya di Dejavu Corporation dan memutuskan ikatan persahabatan antara mereka setelah peristiwa durjana ini berlaku. Sehingga ke hari ini, dia langsung tidak boleh bertentang empat mata dengan lelaki itu.
                Pandangan Haji Mustafa menghala semula pada anak gadisnya. Namun berkerut dahinya melihat Affia Eishal sedang berpandangan dengan anak teruna Datuk Kamaruddin.
                “Fia?” Panggil Haji Mustafa. Affia Eishal segera berpaling.
                “Hah, kenapa papa?”
                “Kenapa Fia tengok budak tu? Apa hubungan Fia dengan dia?” Tanya Haji Mustafa. Affia Eishal terkedu mendengarnya. Patutkah dia menceritakan hubungan istimewanya dengan Ammar?
                “Err…ohhh… itu Ammar papa. Kami satu kelas,” cerita Affia Eishal dengan muka berseri-seri.
                “What?” Rasa mahu tercabut tangkai hati Haji Mustafa. Jika dia tahu, anak si bedebah itu turut belajar di sini, sudah tentu dia menukarkan anak gadisnya itu ke tempat lain. Jangan-jangan Affia Eishal ada hubungan istimewa dengan anak bedebah itu? Pucat sudah muka Haji Mustafa.
                Affia Eishal segera menarik tangan papanya, menghampiri Ammar sekeluarga. Terkejut Haji Mustafa dibuatnya kerana tiba-tiba sahaja Affia Eishal berani mengambil tindakan ini.
                “Jom, pa…Fia nak kenalkan dia pada papa. Ammar….” Panggil Affia Eishal setelah menghampiri Ammar sekeluarga.
                Datuk Kamaruddin juga terkejut melihat kehadiran Haji Mustafa di sini. Sudah lama mereka tidak bersua muka. Dia juga sedar, dari pandangan sahabat lamanya ini, masih tersimpan perasaan dendam. Masam mencuka air mukanya biarpun kejadian itu sudah berlalu hampir 20 tahun yang lalu.      “Uncle, saya Ammar….kenalkan ini papa saya, papa…ini Affia. Kami satu kelas…” Ammar pula mencelah disaat ke dua orang tuanya saling berpandangan tanpa sebarang syak.
                Haji Mustafa memandang tajam wajah Datuk Kamaruddin. Dari matanya, jelas kelihatan kemarahan yang masih belum padam. Memang dia sangat benci melihat muka musuh ketatnya ini. Tangan Ammar yang dihulurkan padanya dibiarkan sahaja. Terus saja menarik tangan Affia Eishal supaya menjauh dari situ. Terpinga-pinga Affia Eishal dan Ammar dengan reaksi dan tindakan Haji Mustafa. Namun, Datuk Kamaruddin mengerti akan puncanya. Dia melepaskan keluhan.

Sebaik saja tiba di KLIA, Haji Mustafa segera melajukan langkah sambil memaut tangan anak gadisnya segera ke kereta. Tidak menyangka mereka boleh pula berada satu penerbangan dengan Datuk Kamaruddin sekeluarga. Sepanjang penerbangan dia bagaikan berada dalam microwave.
Haji Mustafa segera mengarahkan pemandunya, Azmie agar membawa mereka menjauh dari situ. Ammar yang mengejar dari belakang tidak sempat untuk berkata sepatah perkataan pun pada Affia Eishal. Dia hairan dengan sikap papa Affia Eishal yang bagaikan tidak menyukainya.
Affia Eishal hanya mampu memandang Ammar yang melambai ke arahnya. Bahunya pantas di peluk dan badannya ditolak masuk ke kereta. Takut dia melihat wajah asam kecut papanya. Dalam hatinya tertanya-tanya apakah masalah papanya dengan Ammar? Susahlah kalau masalah begini tiba-tiba datang melanda pula. Bagaimana dengan hubungan cinta mereka?
“Fia, papa andaikan papa tak ingat apa yang berlaku semalam termasuklah lelaki yang Fia cuba kenalkan pada papa. Siapa dia papa tak ingin nak ambil tahu. Yang papa ingat, papa hanya ke sana untuk meraikan kejayaan Fia. Siapa dia pada Fia, papa juga tak mahu tahu. Apa yang papa tahu, jangan sesekali menyebut nama lelaki tu, pada papa. Papa anggap Fia tak penah kenal dia, faham?” Haji Mustafa bersuara dengan perlahan namun penuh ketegasannya.
“Tapi papa, kenapa papa tak suka dia sedangkan papa belum kenal dia kan? Dia baik pa….So apa salahnya….” Segera Haji Mustafa memangkah kata anaknya. Baik konon? Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Dia sama sekali tidak akan izinkan anaknya mempunyai hubungan dengan keturunan perosak itu.
“Papa dah cakap tadi, dan anak papa cukup bijak untuk memahami cakap papa. Fia anak yang baikkan, jangan sesekali melawan cakap papa hanya kerana lelaki yang Fia baru beberapa hari tu.” Balas Haji Mustafa dengan tegas. Affia Eishal tergamam mendengarnya.
“Bak sini, telefon Fia.” Permintaan itu membuatkan Affian Eishal terpana mendengarnya.
“Tapi pa….” segera Haji Mustafa menyambar beg tangan anaknya dan menyelongkarnya. Telefon bimbit anaknya itu segera diambil dan disimpan.
“Kalau Fia sayangkan papa, jangan berhubungan lagi dengan lelaki tu.” Haji Mustafa memberikan amaran. Tergamam Affia Eishal mendengarnya.
Kenapa papa jadi begini? Apa salah Ammar? Tubir matanya mula berat, namun kerana perasaan sayang dan hormat pada papanya membuatkan dia mendiamkan diri apatah lagi melihat papanya sejak semalam bermuka masam dan marah padanya. Mungkin bila marah papanya reda dia akan cuba berbincang dengan papanya. 

1 comment:

  1. huh...sungguh mencabar maruah akn kisah silam haji mustafa dimane maruah isteri tercinta...diragut sahabat yg amat durjana!!!leh terlerai ke andai ank masing2 terijap hati dn perasan...

    ReplyDelete