Muaz dan Khalish Aqimie saling berpandangan. Cemas
dan panik. Terus sahaja Muaz keluar dari kereta dan mendapatkan mangsa
kemalangan itu. Orang ramai mula mengerumuni kawasan tersebut. Khalish Aqimie
cepat-cepat menutup mukanya, bimbang kalau ada yang terperasankan dia. Namun
sesekali diangkat juga kepalanya untuk melihat gerangan yang dilanggar itu.
Muaz segera menegur gadis
yang sudah bangun dari baringan dan duduk.
“Cik tak apa-apa? Cik okey
ke?” Tanya Muaz pada gadis itu yang sedang menahan sakit. Gadis itu mengangkat
kepalanya. Mukanya mencuka. Marah pastinya.
“Kau ke yang bawa kereta
spesies purba ni?” Tanya gadis itu. Terkedu Muaz mendengarnya. Fuh, mulut boleh
tahan perempuan ni! Aduhai mangsa kemalangan naik darah. Bersiap sedialah
menghadapinya.
“Iya saya….maaf cik, saya memang tak nampak cik tadi. Cik
tiba-tiba je keluar dari stesen minyak tu…”Muaz cuba mententeramkan keadaan.
Semakin berangin nampaknya
gadis ini.
“Apa? Jadi awak nak tuduh
saya ni, salah lah? Mentang-mentang saya ni naik motor, awak tu naik kereta,
awak boleh sesuka hati langgar saya? Kalau saya bawak lori balak, dh lunyai
kereta purba awak dengan awak-awak sekali, tau tak?” Tengking gadis itu. Muaz
menarik nafas, mentenangkan dirinya buat seketika.
“Cik, okey tak payah
panjangkan hal ni. Saya minta maaf, motor cik rosak ke? Cik luka ke? Saya akan
bayar semua,” pujuk Muaz lagi.
Gadis itu menjeling dan
bangun kemudian membelek motosikalnya. Hanya lampu depan sahaja yang pecah.
Cuba menghidupkan semula enjin, mujurlah masih boleh digunakan. Cuma kakinya
dan lengannya yang luka.
“Kaki dan lengan cik luka
tu, mari saya bawa ke klinik. Err, macam nilah, motor cik ni masih boleh
gunakan? Biar saya yang bawa sampai klinik depan sana. Cik naik kereta dengan
kawan saya…” Muaz berbicara lembut.
Sengaja ingin mengenakan
gadis ini. Tentu sekali kemarahan gadis ini akan hilang sekejap lagi setelah
bertemu dengan Khalish Aqimie. Almaklumlah, siapa yang tidak kenal Khalish
Aqimie. Pelakon kesayangan ramai. Sekejap lagi tentu gadis ini menyesal dan
malu kerana memarahinya.
“Okey…tapi boleh percaya
ke?” Tanya gadis itu lagi.
“Nah, pegang dompet saya.
Kalau saya buat jahat, nanti terus je serah benda ni kat balai polis,” jawab
Muaz.
Gadis itu merenung tepat
ke muka Muaz.
“Eleh, iyalah tu…Okey,
tengok muka moleklah sikit dari penyangak. Boleh kot percaya?” Sindir gadis itu
sinis. Muaz hanya mengangkat bahu. Mulut perempuan ni, memang satu kapal dengan
Khalish Aqimie. Laser tahap maksimum dan tidak dapat diselamatkan lagi. Muaz
hanya mengangguk dan membawa gadis itu ke kereta.
Orang ramai mula meninggalkan
kawasan kemalangan itu kerana kemalangan tidak serius dan sudah bertemu jalan
penyelesaiannya.
Muaz
membuka pintu di bahagian pemandu dan bercakap dengan Khalish Aqimie.
“Qimie,
cik ni luka ringan sikit kat kaki dan tangan. Kau drive ke klinik depan sana tu.
Aku bawa motor dia ke sana…” maklum Muaz sambil menunjukkan klinik tersebut.
“Iya
ke? Hmm…bolehlah…” balas Khalish Aqimie lalu keluar dari tempat duduknya.
Perempuan yang dilanggarnya dipandang sekilas.
Sampai
ke tempat pemandu, pintu di buka. Namun gadis itu masih berdiri di depan pintu
kereta sambil mengamati wajah Khalish Aqimie. Muaz tersenyum memandangnya. Agaknya
dia mesti tengah fikir yang Qimie ni artis ke tidak? Pastinya dia sudah kenal
siapa Qimie. Hahahahaha, tidak syak lagi! Tidak sabar menunggu respon dari
gadis ini.
Muaz
dan Khalish Aqimie saling berpandangan dan tersenyum penuh makna.
“So,
cik…. silakan masuk. Dok fikir apa lagi? Kenapa cik asyik tengok muka kawan
saya ni? Cik kenal ke siapa dia?” Tanya Muaz sambil tersengih suka.
Tentu tergedik-gedik
jadinya perempuan ini apabila menyedari pelakon kegilaan ramai, Qimie kini
berada di sisinya. Pasti dia akan menjerit kegembiraan, silap haribulan Khalish
Aqimie dipeluknya nanti.
Gadis
itu mengangkat mukanya. Dia mencebik.
“Entah
le, macam pernah nampak pula muka dia ni.” Balas gadis ini bersahaja. Muaz
tersenyum lagi, dia sudah agak tentu gadis ini menyedari yang Khalish Aqimie
merupakan pelakon popular.
“Betul tu cik adik, muka
dia ni memang selalu orang nampak. Hmm cik,
cik fikir apa lagi ni? Agaknya memang betul apa yang cik fikirkan tu pasal dia
tu. Tak payah nak fikir panjang-panjang,” Muaz menambah pula. Khalish Aqimie
tersenyum sambil menjungkitkan keningnya pada Muaz. Seronok pula mengenakan
gadis ini.
“Oh, yea ke?Saya bukan apa, dari tadi saya
fikir kat mana saya jumpa kawan awak ni. Oh, saya tahu…….” Gadis itu
menganggukkan kepalanya berulang kali. Muaz dan Khalish Aqimie tersenyum lagi.
“Baru saya ingat! Hah,
saya rasa memang saya pernah tengok muka kawan awak ni. Dia ni ada iras-iras gambar
penjenayah yang dikehendaki polis yang ditampal kat papan kenyataan sana tu!
Jangan-jangan, awak ni penjenayah tu tak?” balas gadis itu dengan penuh yakin
sambil tangannya menujah ke muka Khalish Aqimie.
“Apa?”
Serentak Muaz dan Khalish Aqimie melaung kuat. Muaz menepuk dahi. Rasa ingin
tergelak pun ada.
Berubah muka Khalish
Aqimie mendengarnya. Gadis ini memang membuat darahnya menyirap. Muaz juga
terkejut mendengarnya. Kali pertama, orang tidak kenal Khalish Aqimie, perempuan
pula tu, Biar betul ni? Merah padam muka Khalish Aqimie menahan perasaan
bengang.
“Apa awak cakap? Saya ni
penjenayah?” Tengking Khalish Aqimie dengan geram. Gadis ini memang mencabar
kesabarannya.
“Biarlah, mulut saya kan?
Saya cuma cakap benda yang yang saya rasa betul. Tapi, kalau tuan punya badan
tu rasa tak betul, kenapa pula nak marah? Agaknya betullah tu,” selamba saja
gadis ini menuturkannya. Khalish Aqimie rasa kepalanya bagaikan mahu meletup.
Terus sahaja dia memarahi gadis itu.
“Hei,
awak ingat kami ni suka-suka buang masa layan perempuan kurang ajar macam awak
ni? Dah lah bawak motor, membuta tuli? Ikut suka hati awak je tadi. Mujur kami
sempat brek tadi, kalau tak dah nazak awak sekarang ni tau. Lesen awak ni,
lesen terbang ke? Bawa motor macam jalan bapak awak yang punya. Kalau nak kami
yang baik hati sangat ni, tolong bawa awak ke klinik, silakan masuk. Jangan
banyak soal, boleh tak?Kalau tak, awak naik motor cabuk awak dan pergi klinik
sendiri,” balas Khalish Aqimie dengan geramnya.
Gadis
itu tersenyum sinis. Bibirnya diketap geram.
“Oh
my god, apahal kau sebut bapak-bapak ni! Pantang aku tujuh keturunan main
bapak-bapak pula. Kau mesti tak ada bapak kan? Sebab tu kau kurang ajar macam
ni!!!” Sindir gadis itu dengan geram.
Khalish
Aqimie bertambah baran mendengarnya. Apatah lagi kata-kata itu memang
mendesingkan telinganya kerana tiada istilah ‘bapak’ dalam hidupnya. Sudahlah
dia penat, gadis ini pula mencabar kesabarannya.
“Kau….”
Terus saja Muaz memangkah kata Khalish Aqimie nampak semakin marah.
“Qimie
sudahlah, nak bergaduh macam budak-budak ni kenapa? Cik, tolonglah simpan
belerang tu dulu dalam mulut. Dah malam ni, kalau bertekak macam ni, alamatnya
kita kena tidur sini lah jawabnya. Klinik tu pun akan tutup,” Muaz menyelamatkan
keadaan yang semakin kacau.
Gadis itu mendengus marah
dan memandang tajam Khalish Aqimie.
“Okeylah,”
terus saja gadis itu masuk ke dalam kereta. Diikuti Khalish Aqimie.
Kereta
mula diluncurkan ke klinik.
Gadis
itu memalingkan muka keluar. Menyampah melihat muka lelaki sombong ini. Berani
betul menyebut nama bapak dia. Manusia yang paling dibenci. Istilah ‘bapak’
tidak wujud langsung dalam kamus hidupnya.
“Dah
sampai. Berapa je ganti rugi kau minta dekat dia tu. Apalagi, keluarlah, dah syok
sangat naik kereta mahal ni?” Sindir Khalish Aqimie dengan geram.
“Kau
ingat, aku suka sangat ke, naik kereta spesies purba ni? Aku tak minat langsung
lah! By the way, memang aku akan minta ganti rugi pun, bersiap sedialah bayar. Ingat
orang yang korang langgar ni, anak ayam ke? Uhhh!!” gadis itu terus keluar
dengan kaki yang terhenjut-henjut sedikit.
Khalish Aqimie hanya mampu
menahan sabar mendengarnya. ‘Ada ke patut Subaru Impreza aku ni, dia kutuk
kereta spesies purba? Ya Allah, sesungguhnya manusia penyabar itu adalah
manusia yang kuat.’ Khalish Aqimie cuba menenangkan dirinya. Muaz membawa gadis
itu masuk dalam klinik.
Sementara
menunggu Muaz, Khalish Aqimie asyik memikirkan gadis itu. Pertama kali, dia
berjumpa dengan seorang perempuan yang tidak mengenalinya dan teruja
memandangnya. Siap kutuk muka dia macam penjenayah lagi! Khalish Aqimie
membelek mukanya di cermin. Rasa macam tidak percaya pula. Sukar untuk menerima
kenyataan ini.
‘Buruk sangat ke, muka aku
ni? Rasanya semua orang puji yang aku ni hensem? Pelakon yang kacak dan pandai
bergaya. Tak cukup glamour lagi ke aku, sampai perempuan ni boleh tak kenal?
Sedangkan perempuan yang berpangkat nenek pun, boleh kenal muka aku apatah lagi
dia dalam kalangan gadis-gadis?’Desis hati Khalish Aqimie tidak berpuas hati.
Setelah selesai urusan,
Muaz kembali ke kereta. Gadis itu menapak ke motosikalnya namun diperhatikan
Khalish Aqimie dengan penuh minat. Rasa simpati mula meragut tangkai hatinya
melihat gadis itu berjalan terhenjut-henjut. Terbang segala marah dan
bengangnya pada gadis itu.
“Muaz, perempuan ni
tinggal kat mana?” Tanya Khalish Aqimie.
“Err, kata dia tadi, dia
tinggal kat rumah flat sana tu,” beritahu Muaz.
“Boleh ke, dia bawah motor
dengan kaki dia macam tu? Kau bawak motor dia, biar dia naik kereta. Kita
hantar dia sampai flat dia,” balas Khalish Aqimie. Terkedu Muaz mendengarnya.
Tidak menyangka Khalish Aqimie ada sifat belas kasihan pada gadis yang
mengutuknya tadi.
“Okey…” Muaz keluar dan
berbual-bual dengan gadis itu. Lama juga perbualan itu kerana nampaknya gadis
itu berkeras mahu pulang sendiri, namun apabila gadis itu sukar membawa
motosikalnya dalam keadaannya yang begitu, akhirnya dia akur. Khalish Aqimie
hanya memerhatikannya dari dalam kereta.
Gadis itu mendekati kereta
Khalish Aqimie dan masuk.
Khalish Aqimie terus
melajukan kereta, sesekali mengerling juga lengan gadis ini yang dibalut.
“Lain kali, nak bawa motor
hati-hatilah, mujur tak apa-apa. Khalish Aqimie bersuara. Dia sendiri hairan
dengan sikapnya ini. Tiba-tiba mahu beramah mesra pula dengan perempuan sombong
ini.
“Awak pun, lain kali nak
bawa kereta tu jangan nak tamak sangat, sampai satu jalan nak ambil space. Awak
tu bukan bawak kapal selam. Ingat sama
penjalan kaki dan penunggang motosikal. Diorang pun, penguna jalanraya juga,”
balas gadis ini selamba.
Khalish Aqimie mula
bengang. Menyesalnya bercakap dengan perempuan ini dan berbuat baik pula lagi.
“Excuse me, awak yang
salah tau tadi. Bukan kami okey? Kalau awak repot polis sekalipun, memang kami
tak salah. Awak yang salah. Awak ingat, awak bawak motor dalam hutan ke, tak
tengok kiri dan kanan dah? Main keluar ikut suka hati je,” balas Khalish Aqimie
dengan geram.
Perempuan itu diam
seketika. Tetapi diamnya ada makna.
“Berhenti je kat flat yang
bercat oren tu.” Kata perempuan itu bersahaja. Khalish Aqimie tersenyum
kemenangan. Agaknya perempuan ini, dah sedar akan salahnya. Itu yang tidak
menjawab lagi sindirannya.
Muaz sudah pun sampai dan
menghampiri mereka.
Gadis itu membuka pintu
kereta kemudian tersenyum sinis pada Khalish Aqimie dan merenung tajam mukanya.
“Lepas ni, terjun dalam laut, pergi cari kenderaan yang biasa awak bawak iaitu
kapal selam. Orang macam awak ni, tak sesuai langsung nak bawa kenderaan atas
darat. Okey?” Balas gadis itu lagi.
Berubah wajah Khalish
Aqimie mendengarnya. Membara hati dibuatnya. Menyesalnya, menolong perempuan
ini. Patutnya, Muaz langgar lari je tadi!!!! Arghhhh!!!!!
Gadis itu merampas kunci
motosikalnya lalu menadah tangan. Muaz mengangkat keningnya.
“Nak apa ni?” Tanya Muaz.
“Gantirugilah apa lagi, tu
motor saya yang rosak tu, siapa nak tanggung?” Pinta gadis itu lagi. Khalish
Aqimie melaung dari dalam kereta.
“Kau
bagi kat minah tu cepat-cepat sikit. Bagi je berapa pun, lepas tu, suruh dia
perbaiki motor tu, dengan otak-otak dia sekali! Kalau tak, tak lama lagi mati
katak lah dia kat tengah-tengah jalan tu, kena langgar lagi!” Sindir Khalish
Aqimie dengan geram.
Muaz
menghulurkan RM 200 pada gadis yang sudah tersengih suka. Langsung tidak
berbekas dengan teguran lelaki dalam kereta itu.
“Hmm,
RM 200? Okey, kalau diikutkan hati ni,
tak cukup tau duit sebanyak ni dengan sakit yang saya tanggung sekarang ni.
Tiba-tiba kesian pula nak bankrapkan awak berdua ni. Lagipun, saya tahu awak
berdua bukan berduit sangat. Kereta pun spesies zaman purba punya fesyen.
Hmm, bukan apa, dari cara
awak kan, yang tak sedar-sedar diri tu salah dari tadi, saya yakin lepas ni
awak akan accident lagi nampaknya. Kalaulah terlanggar lori, bas ekpress ke,
terjunam dalam laut ke, tentu kena keluar bajet besar kan, nak bayar bil
hospital, lepas tu, nak bayar pengali kubur lagi! Lepas tu, anak-anak awak dan
isteri awak pula, nak kena tinggalkan harta dan duit juga kan?
So cukuplah, bagi banyak
ni. Okey, semoga tak bertemu lagi ya, bye!” Perempuan ini menarik muka masam
dan terus berlalu dengan kaki yang berdengkot-dengkot.
Khalish
Aqimie yang bertambah geram cuba keluar dari kereta namun dihalang Muaz.
“Woi,
sudahlah tu! Tak cari fasal dengan perempuan tu. Tempat awam ni, kau tu public
figure, karang jadi isu pulak. Dah, jom balik!” Nasihat Muaz.
Khalish
Aqimie tidak jadi keluar. Namun mukanya masih merah padam. Sakit hatinya dengan
perangai kurang ajar perempuan itu.
“Dah
bagi aku drive, dengan marah kau macam ni, karang masin pula mulut perempuan
tadi…” Khalish Aqimie bertukar tempat duduk. Muaz mula meluncurkan kereta
meninggalkan perkarangan flat tadi.
hahaha...mmg lawak lh minah tu,hero malaya yg encom di kata kn muka penjenayah...dh kena lh tu bersua muka buku ngan ruas!nk jer depa dipertemu kn lg mahu gamat n jgn sudah nye qimie terrr fall li luv udah lh...hehe best sesngt n3 ne wat akk gelak sensorang dek....
ReplyDeleteTQVM akak....
ReplyDelete