Wednesday, 26 September 2012

BAB 1: Bidadari Salju

BAB 1
                   Kak Pah menepuk bahu pekerjanya yang terajin, Kayra. Kalau boleh diberikan trofi, sudah lama dihadiahkan buat anak gadis yang berusia 16 tahun ini. Dari petang tadi, Kayra masih belum berhenti membantunya berniaga. Sekejap membantunya memasak, membasuh pinggan, mengambil pesanan pelanggan dan menghantar pesanan. Sekarang ini sedang membantunya mengemaskan gerai yang bakal ditutup sebentar lagi.
              Hari ini memang murah rezeki para peniaga kerana pada awal malam tadi, di dewan Kuala Nerang  telah berlangsungnya sambutan tahun baru. Begitu meriah sekali sambutan daripada warga pekan Kuala Nerang. Dengar kata, kumpulan Senario dan Mas Idayu datang membuat persembahan di sana. Berduyun-duyun manusia memenuhi pekan Kuala Nerang sampai sesak jalan raya.

"Sudahlah tu, dah kemas pun. Dari tadi Kayra tak berhenti buat kerja. Cukup, biar Kak Pah yang sapu pula," tegur Kak Pah apabila melihat Kayra yang baru sahaja selesai mencuci lantai, sudah pun mencapai penyapu lidi.
Kayra hanya tersenyum lalu mengesat peluh pada dahinya.
"Tak apa Kak Pah, sikit je lagi. Kak Pah mesti penat. Dari petang tadi asyik menggoreng tak berhenti. Ramai betul pelanggan hari ni, kan? Syukur Alhamdulillah, murah rezeki Kak Pah."
Kak Pah tersenyum. Bertuahnya jika dia mempunyai anak seperti Kayra. Lemah lembut, berbudi bahasa dan sopan-santun. Pendek kata, cukup semua sifat anak solehah dalam diri gadis itu.
Kalaulah dia mempunyai anak lelaki, dah lama dia jadikan Kayra menantunya. Nak harapkan anak
daranya, si Tasnim tu, kerjanya asyik membuta dan merayau saja. SPM pun pangkat tiga. Nak cari kerja pun malas, asyik menghabiskan beras saja. Berangan pula tu, nak kahwin dengan orang kaya!
"Hmm... Syukur Alhamdulillah. Malam ni, banyak juga yang Kak Pah dapat. Err... esok hari Sabtu, kan? Kayra datang lewat macam biasa ke?" soal Kak Pah.
Selalunya kalau hari Sabtu bermula dari pagi, Kayra akan berniaga di Pekan Sehari membantu Pak Ali menjual ikan.
"Mmm... Dalam pukul 6.00 Kayra datanglah. Kalau hari sekolah pula, macam biasalah dalam pukul 3.00 Kayra datang kecuali hari Rabu dan Khamis sebab Kayra ada latihan kawad.
Lusa pun mungkin Kayra datang lambat sikit sebab Kayra nak tolong ayah kutip sekerap. Ayah tak berapa sihat. Kasihan pula kalau ayah kutip sekerap sorang-sorang," beritahu Kayra awal-awal.
"Rajin betul Kayra cari duit. Bertuah mak dan ayah Kayra dapat anak macam Kayra. Sejuk perut
mak Kayra mengandungkan Kayra. Tapi, Kak Pah kesian juga kat Kayra. Tak penat ke? Macam mana Kayra boleh buat semua tu? Sedangkan robot pun habis bateri, ini kan pula manusia macam kita," ujar Kak Pah sambil menutupkan payung di meja makan.
"Tak apa Kak Pah, Kayra dah biasa dah. Kalau Kayra tak tolong mak ayah Kayra, siapa lagi Kak Pah? Sekarang ni musim tak menentu Kak Pah, sekejap panas, sekejap hujan.
Tiga minggu menoreh, baru minggu ni ayah boleh kutip sekerap. Kalau Kayra tak cari duit, macam mana kami nak teruskan hidup," cerita Kayra dengan tulusnya.
Sabda Rasulullah S.A.W, "Berbuat baik kepada ibu bapa adalah lebih baik daripada mengerjakan solat, bersedekah, berpuasa, menunaikan haji dan umrah serta berjihad ke jalan Allah."
Setelah selesai mengemas gerai, mereka menuju ke kereta Proton Saga milik Kak Pah. Namun, enjin kereta tidak dapat dihidupkan biarpun berulang kali Kak Pah mencuba.
"Hisy, buat perangai pula kereta ni! Lama tak servis agaknya?" Kak Pah menggeleng berulang kali.
Tiba-tiba, Kak Pah dan Kayra tersentak apabila cermin keretanya diketuk. Abang Pian rupanya, pemilik gerai yang menjual minuman di sebelah gerai Kak Pah.
"Kenapa Kak Pah?" soal Abang Pian yang tidak dinafikan peramah dan baik hati.
"Entahlah kereta ni ha tak boleh hidup enjin," beritahu Kak Pah.
"Dah lewat malam ni, dah pukul 12.00. Mari saya hantarkan," pelawa Abang Pian dengan ikhlas.
Lalu, Kak Pah dan Kayra menerima pelawaan itu.
 

6 comments:

  1. salam..bidadari salju terbaik. sudah belin n katam. matop r. dah jadi novel pertama dalam hidup saya. pepehal jemput try karya saya di sini -> http://ashikakkoii.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. Novel nya nggak bisa baca lewat aplikasi kah

    ReplyDelete
  3. perfect....dramanya pun sy dah tonton..
    geram..sedih..sakithati...
    berkali2 sy menangis...

    ReplyDelete
  4. Saya dari Indonesia. Sudah nonton dramanya. Sekarang saya ingin beli novelnya. Bagaimana caranya. Bidadari Salju

    ReplyDelete
    Replies
    1. Awak bisa order dengan kak mia kiff penulis asli novel bidadari salju

      Delete